Semasa membelek buku-buku di rak perpustakaan di UIAM, aku terserempak dengan buku yang mengkritik dengan nada yang agak keras (bagi aku) terhadap seorang ulama Islam yang tersohor masa kini, iaitu Dr. Yusuf al-Qaradawi. Aku tidak mengetahui latar belakang orang yang mengkritik ini, tetapi aku dapati daripada sekapur sirih bukunya, beliau sangat membenci al-Ikhwan al-Muslimin termasuk pendekatannya. Daripada link yang diberikan hasil carian internet, pengkritik ini terdiri daripada kelompok salafi. Sila klik.
Buku yang berjudul al-Qaradawi fi al-‘ara’ ini ditulis oleh al-Sheikh Usamah al-Sayyid dan dicetak oleh Dar al-Mashari’, Beirut pada tahun 2002 setebal 362 halaman. Ia merangkumi lebih daripada 100 permasalahan yang bersekitar tentang pandangan Dr. Yusuf al-Qaradawi di dalam penulisannya dan ucapannya.
Aku tidak berhasrat untuk membahaskan tentang kandungan kritikan itu, tetapi apa yang aku ingin sebutkan di sini ialah tentang sikap seorang pengkritik terhadap seorang ilmuan Islam. Kritikan yang membina dapat diperhatikan menerusi kata-kata yang diluahkan dan nada yang disampaikan serta tujuan kritikan disampaikan. Memang menjadi keperluan untuk memberikan pandangan mahupun kritikan terhadap kenyataan seorang ulama kerana ia menjadi ikutan ramai tetapi biarlah dalam suasana penuh kebijaksanaan, nada yang baik dan tidak keterlaluan. Sebagai manusia biasa, tentunya tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan.
Sungguh pun demikian, aku berpandangan, menyampaikan kritikan itu tidak sekadar menggambarkan ilmu yang dimiliki oleh pengkritik tetapi ialah sikap dan akhlak pengkritik. Kritikan yang membina dapat menonjolkan lagi keizzahan dan himmah pengkritik itu sendiri. Tetapi, sekiranya dilakukan dengan membuta tuli, tidak bijaksana, tanpa mengikut prosedur dan main taram sahaja, akan menyerlahkan sikap dan peribadi pengkritik yang kurang baik. Takut pula hati pengkritik itu disarati dengan mazmumah dan kritikan itu tidak lagi ikhlas. Kebaikan yang diinginkan, tetapi keburukan pula yang dapat.
Walau bagaimana pun, sekiranya teguran demi teguran telah diberikan, tetapi masih berdegil dan permasalahan itu pula melibatkan perkara usul yang akan menjerumuskan masyarakat kepada mudarat yang lebih besar, pendekatan yang lebih bijaksana perlulah dilakukan. Ia tidak sekadar perlu kepada berani, tetapi bijaksana. Mungkin persoalan yang perlu difikirkan oleh sang pengkritik, adakah wujud kebijaksanaan sekiranya aku buat begini..?
0 Comments