Konsep pembelajaran tradisional kurang memberi ruang kepada murid bertanya dan menerima timbal balas daripada murid. Guru dianggap sebagai orang yang hebat dan segala kenyataan mereka tidak boleh dipersoalkan. Manakala anak murid pula tidak mengetahui apa-apa, hanya perlu menerima sahaja apa yang diajarkan oleh guru. Maka tidak hairanlah apabila hubungan antara guru dan murid tidak mesra, dan keadaan bertambah buruk apabila guru sangat garang teradap anak muridnya. Rotan sentiasa di tangan dan penampar menjadihukuman apabila anak murid tidak dapat menjawab persoalan yang diberikan. Dalam suasana begini, bagaimanakah murid boleh mengajukan persoalan kepada gurunya.
“Kalau nak bagi susu banyak, makan la nasi banyak sikit” Ujar emak pada isteri saya yang baru bersalinkan anak kami yang ketiga.
Isteri saya pun bertanya dengan penuh kehairanan “Mak, pasai apa kena makan nasik? Apa kaitannya dengan susu banyak”
Dengan nada yang sinis, emak membalas “Ikut je lah. Heh, orang sekarang ni banyak benar tanya”
“Bukan la apa, saja nak tau kenapa dan apa kaitannya” jawab isteri saya.
Hal ini turut terbawa sama dalam agama sehingga kita jarang sekali mempersoalkan kenapa begitu dan kenapa begini di dalam hukum hakam agama. Alasannya, dalam hal agama jangan banyak tanya. Ikut sahaja. “Jangan jadi macam orang Israel, banyak sangat tanya sampai dihukum oleh tuhan...” Nasihat seorang ustaz kepada anak murid, sambil merujuk kepada kisah perintah tuhan kepada bani Israel untuk menyembelih lembu. Memang benar, sekiranya sikap banyak bertanya tidak kena pada tempatnya, ia membawa kepada padah yang berat. Namun, tidak semua dalam perkara agama itu tidak boleh ditanyakan. Tujuan bertanya itu bukanlah untuk menyanggah arahan tuhan, tetapi untuk mencari hikmah, alasan, dalil dan sebagainya agar tidak menjadi penganut Islam yang membabi buta.
Di dalam Islam, ada perintah dan larangan. Di sebalik perintah itu ada yang dapat diketahui alasannya dan banyak yang tidak diketahui. Sebagai orang Islam, dia tidak boleh hanya bersembahyang sahaja tanpa mengetahui kenapa perlu dia sembahyang dan kenapa Allah perintah dia sembahyang. Tujuan membangkitkan persoalan ialah untuk membuktikan bahawa pelaksanaan perintah tuhan itu benar-benar lahir daripada keimanan yang berakar umbi di dalam benak hatinya, bukan dengan ikut orang atau segan pada orang. Apabila agama diajar dengan arahan yang bersifat autoriti tanpa memberi ruang kepada orang untuk bertanya, malah tidak dirangsang untuk berfikir kenapa dan mengapa orang Islam kena begitu dan begini, manusia akan rasa bahawa agama ini tidak rasional.
Impaknya besar. Orang Islam tidak dapat menguasai kefahaman Islam yang baik dan tidak mampu untuk berhujah dengan orang bukan Islam. Orang Islam buat Islam, bukan kerana dia faham tetapi hanya ikutan sahaja. Di dalam pendidikan, seorang yang memiliki kefahaman yang baik ia tidak sekadar boleh menerangkan tetapi dia dapat menangkis dan membalas hujah pihak musuh. Barulah dikatakan dia menguasai sesuatu topik itu baik. Adakah ini berlaku di dalam pengajaran subjek agama Islam di Malaysia?
“Ustaz, tak de buku lain ke?” saya persoalkan buku “maza yakni intimai li al-islam” yang menjadi silibus usrah kami kepada ustaz Jamaludin Jusoh yang menjadi naqib usrah ketika menuntut di al-Azhar dahulu. “Tiap-tiap kali usrah, buku ini sahaja yang digunakan” tambah saya lagi, yan ketika itu tidak berapa faham tentang kepentingan dan tujuan buku ini. Padan la, masa tu baru tahun satu.
Apabila orang Islam tidak menguasai Islam, maka bagaimana mereka ingin menyampaikannya kepada bukan Islam dan berhujah dengan mereka. Oleh sebab itu, biarpun kita hidup dengan bukan Islam begitu lama, tetapi peratus mereka yang memeluk Islam sangat sedikit. Apabila ada orang bukan Islam nak baca al-Quran, kita gelabah kerana masyarakat kita tidak faham Islam. Sepatutnya kita berhadapan dengan dia, dan ajar dia bacaan yang betul, malah bagi kefahaman kepada dia tentang ayat itu. Dengan ini ada peluang untuk kita berinteraksi dengan dia mengenai Islam. Bukan dengan menghalang dia.
Sepatutnya, apabila kita memperakui bahawa Islam adalah agama yang betul, kita kena berdepanlah dengan orang kafir. Rupanya, kita ni jahil dan tak tahu nak berhujah, kita marah dia baca.
0 Comments