Saturday, February 21, 2015

4 Ilmu Asas Kepada al-Maqasid Al-Syariyyah

Perbicaraan tentang al-Maqasid al-Syariyyah bermula dari mempelajari empat ilmu asas iaitu: 


1- Ilmu Fiqh iaitu Perbendaharaan hukum hakam Islam meliputi 4 cabang asas iaitu ibadat, muamalat, munakahat, jinayat. Ia akan menjelaskan perincian hukum hakam dalam pelbagai topik yang dikeluarkan dari sumber perundangan Islam. Ulama mengklasifilasikan perbendahraan ini kepada 4 cabang seperti yang terdapat dalam kitab Fiqh. Ilmu ini penting untuk mengetahui hukum hakam dalam semua cabang fiqh dan mendedahkan pendekatan ulama dalam mengeluarkan hukum. 

2- Usul Fiqh iaitu ilmu tentang tatacara mengeluarkan hukum daripada sumbernya. Ia akan menjelaskan konsep hukum dan membincangkan sumber2 perundangan Islam terutamanya sumber dari al-Quran, al-Sunnah, Ijma' dan Qiyas. Ia membincangkan kaedah2 umum dalam berinteraksi dengan nas yang penting untuk diketahui sebelum mengeluarkan sebarang hukum. 

3- Fiqh al-kitab dan Fiqh al-SunnahIa menjelaskan kepada kita tentang teks nas yang menjadi sumber kepada hukum. Terdapat banyak nas terutamanya dari al-Sunnah yang terdiri dari puluhan ribu hadis yang perlu diketahui sebelum mengeluarkan hukum. Ia mengkaji secara praktikal tentang cara / pendekatan ulama dalam mengeluarkan hukum hakam. Ada isu yang para ulama bersependapat, dan ada pula yang ulama berbeza pandangan sehingga wujudnya mazhab Fiqh. Ilmu ini penting untuk membimbing cara mengeluarkan hukum dan mengelakkan kita mendakwa tiada nas, tetapi di sana terdapat banyak nas yang tidak diketahuinya.

4- Ilmu Qawaid al-Fiqh iaitu kaedah umum yang terbina hasil dari pemerhatian terhadap perbendaharaan Fiqh. Ia akan membincangkan 5 kaedah utama dan kaedah2 cabang yang memudahkan kita untuk mengnalpasti hukum bagi sesuatu masalah. Ia bukan kaedah mengeluarkan hukum, tetapi boleh mengenalpasti hukum dalam seseuatu isu. 

Sebagai pelengkap kepada semua ilmu di atas, maka datanglah Ilmu Al-Maqasid yang mendedahkan rahsia2 perundangan Islam. Untuk merealisasikan Maqasid, perlu kepada pelaksanaan perundangan Islam. Maqasid makan ialah kenyang. Mengikut hukum biasa atau law of nature, tidak boleh kenyang, tanpa makan. Kepada sesiapa yang ingin membicarakan tentang maqasid, elok benar sekiranya mendalami keempat ilmu di atas.

Saturday, February 7, 2015

SAYA ISLAM, SAYA MENOLAK IDEOLOGI SELAIN ISLAM (Siri 3)

Apa erti Saya Meyakini Aqidah Islam (Siri 3)
SIKAP SAYA TERHADAP ALIRAN IDEOLOGI SELAIN ISLAM.

1. Apabila kita mengucap dua kalimah syahadah, ia bermakna meletakkan keseluruhan hidup dan mati kita ialah untuk mencari redo Allah, bukan redo manusia.(Doa Iftitah) “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku; semuanya kerana Allah”. Biarlah kita susah, asalkan Allah redo. Apa gunanya kaya di dunia ini tetapi mati masuk neraka. Parameter inilah yang perlu digunakan untuk mengukur seluruh aktiviti kehidupan seorang Muslim. 


2. Kita menolak semua bentuk ideologi yang hanya meletakkan matlamat kebahagiaan hidup di dunia SAHAJA. 


2.1. Adakah aliran sosialisme mengajak beriman kepada Allah? TIDAK. Mereka memperjuangkan keadilan sosial, malah ada di kalangan mereka mengatakan agama adalah candu masyarakat. 
2.2. Adakah aliran feminisme mengajak beriman kepada Allah? TIDAK. Mereka memperjuangkan hak wanita yang telah ditindas mengikut fikiran mereka. 
2.3. Adakah aliran pluralisme mengajak beriman kepada Allah? TIDAK. Mereka mengajak menerima semua agama kerana semua agama membawa kepada kebenaran. 
2.4. Adakah aliran sekularisme mengajak beriman kepada Allah? TIDAK. Mereka hanya mementingkan perkara yang dilihat dengan mata kasar sahaja. 

3. Ke semua aliran pemikiran itu hanya memperjuangkan kebahagiaan menurut pemikiran mereka tanpa berlandaskan agama dan wahyu. Apa yang baik pada fikiran mereka, itu adalah perkara baik. Sebaliknya, apa yang buruk pada fikiran mereka, itu adalah perkara buruk. Di dalam Islam, apa yang Allah perintahkan kepada kita, itu adalah perkara yang baik, meskipun bertentangan (pada zahirnya) dengan akal manusia. Sebaliknya, apa yang Allah larang, ia adalah perkara tidak baik, meskipun bertentangan (pada zahirnya) dengan akal manusia.

4. Ideologi selain Islam memperjuangkan urusan keduniaan. Dunia atau dalam bahasa arab disebut DUNYA bermaksud “dekat” dan “di sini” yang merujuk kepada kehidupan sebelum mati. Manakala AKHIRAT membawa maksud “akhir” iaitu lambat, jauh, last sekali yang membawa maksud kehidupan selepas mati. 

5. Beriman dengan hari akhirat mengajar orang Islam mempunyai misi selepas mati di akhirat yang mempunyai ukuran dosa dan pahala. Ia bukan sekadar pengakuan tentang kewujudan alam akhirat dan kebangkitan semula (resurrection), tetapi berusaha mencari kebahagiaan pada hari berkenaan (syurga) dan menjauhi segala kecelakaan (neraka). Ke semua panduan di alam itu hanya dapat diperolehi menerusi wahyu. Itulah pentingnya agama di dalam kehidupan. 

6. Terdapat sedikit persamaan dari sudut matlamat antara Islam dengan ideologi yang lain seperti memperjuangkan keadilan. Namun, itu tidak bermakna Islam dan ideologi itu sama kerana itu adalah kebetulan sahaja. Begitu juga, itu tidak bermakna kita boleh menganut ideologi itu berdasarkan persamaan tersebut. Memanglah manusia dan beruk ada persamaan dari sudut makan pisang, tetapi kita tidak boleh mendakwa manusia itu sama je dengan beruk. Perjuangkan keadilan dari acuan Islam, kerana ia akan membawa manusia ke akhirat. 

SEBAGAI MUSLIM MEMPUNYAI MISI KEHIDUPAN SELEPAS MATI DI AKHIRAT. MANA-MANA IDEOLOGI YANG TIDAK MEMBAWA MISI INI DITOLAK. 

Dr. Muhamad Faisal 
UKM

Islam vs socialisme, sila lihat sini http://myfaisalonline.blogspot.com/2014/12/islam-tidak-comply-dengan-sosialisme.html

Monday, February 2, 2015

ISLAM AGAMA YANG TERBAIK, IA PERLU DILAKSANAKAN

Apa ertinya Saya Meyakini Aqidah Islam? (siri 2)



1. Apabila kita mengucap dua kalimah syahadah, ia bermakna bahawa kita meyakini bahawa hanyalah Allah tuhan yang satu dan hanyalah Islam satu-satunya agama dan cara hidup yang betul dan terbaik. Oleh kerana ia merupakan sistem yang terbaik, kita perlu berusaha agar keseluruhan sistem yang terbaik ini dapat dilaksanakan agar semua orang dapat hidup bahagia. Sistem yang terbaik akan menjamin kehidupan yang bahagia.



2. Seseorang Islam yang solat, tetapi ia masih lagi menggunakan sistem riba bermakna ia kurang yakin dengan Islam yang menyediakan sistem yang lebih baik. Begitu juga, sekiranya ia masih lagi mengamalkan fesyen yang tidak menutup aurat atau mengamalkan perundangan ala barat. Mereka tidak yakin atau paling tidak, mereka kurang yakin dengan Islam.

3. “Tiada tuhan melainkan Allah” turut bermaksud tiada cara hidup yang terbaik melainkan cara hidup yang disediakan oleh Allah. Kalau masih menerima cara hidup yang lain, di mana letaknya nilai syahadah yang dia ungkapkan itu?

4. Berusaha melaksanakan Islam di dalam kehidupan merupakan usaha yang sukar kerana kita akan mengubah keseluruhan hidup manusia. Itulah nilai yang perlu dibayar oleh mereka yang mengucap dua kalimah syahadah iaitu usaha melaksanakan dakwah iaitu mengajak manusia kepada mengamalkan tuntutan Islam. Oleh kerana payahnya usaha itu, maka Allah datangkan dengan konsep “Jihad” iaitu usaha yang bersungguh-sungguh untuk melaksanakan tuntutan Islam dan ketahanan seseorang itu dalam memperjuangkan Islam. Pahala jihad sungguh besar kerana nilai kepayahan yang terdapat di dalam usaha dan perjuangan melaksanakan Islam. Tanpa jihad, Islam rebah.

5. Kalau Islam cara hidup yang terbaik, kenapa ia perlu susah sangat untuk diterima masyarakat dan perlu diperjuangkan begitu sekali. Tidak susah untuk difahami kerana 

5.1. Musuh Islam sentiasa tidak suka dengan Islam kerana apabila Islam dilaksanakan banyak kepentingan mereka akan hancur. Kalau semua orang pakai tudung, fesyen barat sudah tidak laku lagi. Kalau Islam dianggap terbaik, musuh Islam tidak dapat menguasai politik dunia dan ekonomi dunia. 

5.2. Apa yang terbaik ini selalunya bertentangan dengan keinginan dan nafsu manusia. Malahan orang Islam sendiri pun susah mahu terima Islam.

6. APA ERTINYA AQIDAH ISLAM YANG TERBAIK SEKIRANYA IA HANYA BERTEORI DI DALAM BUKU DAN KITAB TANPA DAPAT DILAKSANAKAN DALAM KEHIDUPAN. SIAPA LAGI YANG SEDIA BERUSAHA UNTUK MELAKSANAKAN ISLAM KALAU BUKAN DARI KALANGAN MEREKA YANG MEYAKINI AQIDAH ISLAM.