MERUNGKAI KEKELIRUAN "Adakah Politik Islam Ancaman Kepada Demokrasi?"

Ketika menulis artikel ini, ada pihak yang sedang membincangkan persoalan di atas seperti yang terdapat dalam poster di bawah. Saya tidak pasti sama ada mereka masih kurang jelas dengan maksud demokrasi dan politik Islam atau mereka memang befahaman sekularisme, pluralisme dan liberalisme yang tidak mahu terikat dengan wahyu (nas al-Quran dan hadis). 



Sebenarnya, sistem demokrasi adalah lawan kepada sistem syura. Demokrasi merupakan suatu kaedah dalam menentukan kebenaran bagi sesuatu perkara berdasarkan kepada suara ramai. Manakala syura pula merupakan sistem yang menentukan kebenaran berdasarkan kepada panduan wahyu. 

Syura bukan semestinya bermaksud mesyuarat. Lanjut, sila klik sini http://myfaisalonline.blogspot.my/2015/05/syura-bukan-bermaksud-mesyuarat-tetapi.html

Di dalam Islam, kebenaran sesuatu perkara itu mestilah dirujuk kepada wahyu terlebih dahulu, sekiranya tiada sebarang panduan di dalam wahyu, barulah kita boleh merumuskan berdasarkan kepada fikiran manusia. Islam agama yang mudah dan ia telah meletakkan bahawa asas kepada sesuatu perkara (yang bukan ibadat) adalah harus, melainkan sekiranya ada nas yang mewajibkan atau mengharamkannya. Sebagai contoh, asas dalam berhutang adalah harus, tetapi wahyu telah menetapkan bahawa kita tidak boleh membayar lebih kerana ia akan terlibat dengan hukum riba. Oleh kerana telah ada panduan wahyu, maka kita tidak boleh buat memandai dalam pembayaran hutang biarpun ramai yang kata boleh untuk bayar lebih. Dengan kata lain, sekiranya telah ada panduan dalam wahyu, maka tidak boleh menggunakan kuasa sokongan ramai untuk menghalalkan atau mengharamkan sesuatu. 

Ini bermakna, setiap orang Islam terikat dengan panduan wahyu. Kalau tidak mahu terikat dengan wahyu, itu adalah LIBERAL. 



Dalam perkara yang tidak terdapat panduan wahyu, kita boleh untuk berfikir dan membuat keputusan berdasarkan kepada suara ramai. Prinsip umum Islam seperti keadilan, kesamarataan dan kebebasan boleh digunakan untuk memandu membuat keputusan kerana ia sejajar dengan maqasid wahyu. Namun, setiap satu dari prinsip itu tidak boleh menyalahi dan mengatasi wahyu. Sebagai contoh, memang tidak terdapat panduan khusus dalam membuat undang-undang jenayah tetapi tidak boleh mengabaikan hukum Hudud dan Qisas. 

Berdasarkan kepada kenyataan di atas, bagaimana merungkai persoalan “Adakah politik Islam ancaman kepada demokrasi?”

Dalam menguruskan manusia (politik) terutamanya dalam masyarakat yang berbilang kaum, terdapat kecenderungan di kalangan segelintir masyarakat Islam yang tidak mahu terikat kepada panduan agama. Mereka berpegang kepada prinsip sekular iaitu rasa tidak terikat dengan agama dan pluralisme iaitu tidak boleh memaksakan nilai agama kepada orang lain. Mereka perlu memikir sendiri cara untuk mengurus itu tanpa melihat kepada panduan wahyu. Untuk mengelak dari disanggah, maka mereka membuat keputusan berdasarkan kepada suara ramai atau demokrasi. 

Politik Islam berteraskan kepada wahyu (nas), namun ada yang berpandangan bahawa politik Islam bersifat LITERAL kerana terikat dengan nas. Namun, kita sebagai orang Islam mestilah terikat dengan wahyu (nas).  Kalau tidak terikat, bermakna ia bebas atau LIBERAL. Pelaksanaan Islam walau bagaimanapun, bukanlah terlalu literal, kerana ia perlu difahami dari perspektif Maqasid bagi mengelak dari kefahaman yang beku tentang nas. Dsiplin ilmu ini dipanggil al-Siyasah al-Syariyyah. Untuk mengetahui tentang Maqasid yang menjadi teras kepada al-Siyasah al-Syariyyah, beberapa ilmu diperlukan iaitu ilmu Fiqh, Usul fiqh, Fiqh al-kitab dan Sunnah dan Qawaid al-Fiqh. Lanjut, sila klik sini http://myfaisalonline.blogspot.my/2015/02/4-ilmu-asas-kepada-al-maqasid-al.html 


Dsiplin ilmu Maqasid dan kefahaman wahyu yang jelas akan memandu manusia membuat keputusan yang betul. Ini akan membawa keadilan kepada semua masyarakat kerana kita yakin bahawa hukum Islam adalah hukum yang sesuai kepada seluruh manusia. Adakah politik Islam satu ancaman? Terpulanglah. Orang yang menganggapnya sebagai ancaman, biasanya mereka adalah SEKULARISME -> LIBERALISME -> RASIONALISME -> HUMANISME -> HUMAN RIGHT -> PLURALISME -> DEMOKRASI. 


Ringkasnya, bila ada wahyu, orang Islam kena ikuti panduan berkenaan sebagai mana ditegaskan dalam rukun iman yang ketiga. Wahyu bertujuan untuk memandu manusia menjalani kehidupan yang sejahtera dunia dan akhirat. 

Post a Comment

1 Comments

prihatin said…
alhamdulillah
pencerahan untuk pembaca.
kekeliruan yg dah lama perlu keberanian membaikinya.
akui dulu kebenaran dari ALLAH pencipta pengatur alam ini. soalamalan begantung kpd kemampuan n keadaan.