KESALAHAN BIASA DALAM PENULISAN LITERATURE REVIEW

Terdapat cara yang seringkali diikuti oleh pelajar dalam menulis tesis, tetapi cara ini hanyalah sekadar meringkaskan tulisan / artikel / dapatan kajian yang telah dibuat oleh pengkaji yang lain.  Kemudian mereka menyimpulkannya dalam satu dua perenggan sahaja ke semua ringkasan yang ditulis itu. Ini yang menyebabkan tesis menjadi tebal, tetapi tiada banyak analisis dan idea dari pelajar itu sendiri.

 


 
CONTOHNYA

Konsep Keganasan
 
Keganasan didefinisikan sebagai sesuatu ancaman yang menyalahi undang-undang antarabangsa yang melibatkan keganasan serius terhadap orang, harta atau sesuatu institusi dengan tujuan memajukan politik, ekonomi, agama atau ideologi (Syed Faruqi, 2003). Selain itu, keganasan diistilahkan sebagai penggunaan kekerasan dengan niat menimbulkan ketakutan kepada sasaran melalui strategi pertempuran yang dirancang untuk mencapai objektif politik (Arend & Beck 2013). Di samping, keganasan merujuk kepada orang dan kepada tindakan ganas seperti pengeboman, pembunuhan dan seumpamanya (Miller 2009).
 
Definisi yang dikemukakan oleh Laqueur (2002) juga hampir sama iaitu ancaman yang dilakukan melalui kekejaman dengan strategi pertempuran yang dirancang bagi mencapai matlamat yang dirancang bahkan ianya keganasan yang dilakukan secara sistematik oleh seseorang individu untuk mencipta dan menggunakan paksaan, ugutan dan ketakutan berdasarkan tindakan mereka untuk membawa perubahan sosio-politik. Laqueur menambah, keganasan juga merupakan keganasan asal yang telah muncul dalam pelbagai bentuk yang berbeza seperti dalam pergerakan agama, pemberontakan politik dan kebangkitan sosial. 
 
Keganasan menurut Paul Wilkinson (2006) dilihat berbeza dari kekejaman yang lain berdasarkan kepada beberapa karakter antaranya ia direka dan dirancang terlebih dahulu untuk mewujudkan suasana ketakutan yang melampau yang mana serangan diarah dan ditujukan secara rawak kepada sasaran dalam jumlah yang lebih besar. Ianya digunakan bagi mempengaruhi tingkah laku politik kerajaan, masyarakat atau kumpulan sosial yang tertentu walaupun tidak digunakan secara eksklusif. Akan tetapi ianya tetap melanggar undang-undang. 
 
Thorton (1964) dalam (Shaharom 2002) mengemukakan istilah keganasan adalah penggunaan pengganas sebagai tindakan simbolik yang dirancang untuk mempengaruhi kebijaksanaan dan tingkah laku politik dengan cara extra-normal, khususnya penggunaan atau ancaman kekerasan. Definisi hampir sama yang dikemukakan oleh James Poland (1991) iaitu keganasan merupakan suatu penciptaan yang disengajakan dan ketakutan yang dieksploitasi melalui ancaman keganasan terhadap orang yang tidak bersalah dalam mencapai perubahan politik.
 
Manakala Combs menyatakan keganasan adalah lakonan keganasan yang dilakukan ke atas sasaran yang tidak bersalah dengan harapan untuk mewujudkan suasana ketakutan bagi tujuan politik dan sistem agama (Combs, 2004). Menurut Silke (2003) pula, istilah keganasan yang digunakan adalah untuk menunjukkan perbuatan ganas yang melanggar sifatnya yang menentang norma dan hak asasi manusia.
 
Dari definisi di atas, dapatlah dirangkumkan bahawa keganasan memiliki tiga komponen utama iaitu pelaku, tindakan dan sasaran. Ia memberikan kekuasaan kerana berhak melakukan apa sahaja mengikut fikiran dan perasaannya. Malah keganasan juga suatu proses taktikal yang wujud dalam jenayah, ideologi, nasionalisme dan sebagainya. Ia merupakan tindakan yang melanggar undang-undang disebabkan aplikasi kekerasan atau ancaman kekerasan yang dilakukan adalah bertujuan untuk menakutkan masyarakat.
 
KOMEN; Penulisan di atasnya menjelaskan beberapa definisi tentang keganasan dari pelbagai pengkaji, kemudian dalam satu perenggan, disimpulkan sahaja semua pandangan itu. Sebaiknya pelajar perlu untuk menjelaskan dari awal lagi beberapa konsep atau jenis definisi yang digunakan oleh para pengkaji di dalam mendefinisikan keganasan. Kemudian, barulah pelajar membincangkan definisi itu berdasarkan kepada klasifikasi yang telah dibuat.

CONTOHNYA
 
Konsep Keganasan

Keganasan secara umumnya boleh didefinisikan sebagai sesuatu ancaman yang menyalahi undang-undang antarabangsa yang melibatkan keganasan serius terhadap orang, harta atau sesuatu institusi dengan tujuan memajukan politik, ekonomi, agama atau ideologi. Di dalam mendefinisikan keganasan ini, para pengkaji melihatnya dari tiga sudut iaitu pelaku, tindakan dan sasaran.
 
Dari sudut pelaku, kebanyakan para pengkaji melihatnya sebagai kelompok kecil yang biasanya tidak mendapat tempat di dalam masyarakat. Oleh sebab itu, mereka sengaja melakukan tindakan itu sebagai usaha untuk mendapat perhatian dari orang ramai bagi mencapai matlamat tertentu. Sebagai contoh, Combs (2004) menyatakan keganasan adalah lakonan keganasan yang dilakukan ke atas sasaran yang tidak bersalah dengan harapan untuk mewujudkan suasana ketakutan bagi tujuan politik dan sistem agama. Kebanyakkan pengkaji mengaitkan pelaku ganas ini dengan kelompok yang kecil kerana biasanya mereka akan melakukan tindakan itu bagi menunjukkan bahawa mereka mempunyai kekuatan yang besar.
 
Dari sudut tindakan pula, pengkaji mengaitkan tindakan itu sebagai ganas disebabkan matlamatnya untuk menaikkan emosi takut. Oleh sebab itu, mereka memilih untuk melakukan tindakan ganas itu di tempat awam seperti yang kita dapat lihat di WTC. Ini dapat dilihat dari definisi yang dikemukakan oleh beberapa pengkaji seperti Thorton (2015) dan (Shaharom 2002) yang mengaitkan istilah keganasan denagn tindakan simbolik yang dirancang untuk mempengaruhi kebijaksanaan dan tingkah laku politik dengan cara extra-normal, khususnya penggunaan atau ancaman kekerasan.
 
KOMEN: Apabila pembaca membaca sub tajuk, pembaca sudah mendapati idea tentang keganasan dari awal lagi dan ia adalah hasil analisis yang sistematik dari pelajar. Ini berbeza dengan tulisan yang pertama tadi di mana pelajar mengemukakan ringkasan pandangan dari para pengkaji, kemudian hanya menyimpulkannya dalam satu perenggan sahaja. Pembaca terpaksa teraba-raba apa sebenarnya yang ingin diperkatakan oleh pelajar sehinggalah pada perenggan yang terakhir, baru jumpa.

Post a Comment

0 Comments