IBLIS TERLEBIH LOJIK YANG MENJERUMUSKANNYA KE LEMBAH KEKUFURAN

Orang Islam yang kononnya berpegang dengan prinsip keadilan, kebebasan dan lain-lain yang berpaksikan kepada pemikiran sosialisme, kapitalisme, liberalisme dan lain-lain, hanyalah terpedaya dengan kehebatan pemikiran mereka. Kisah Iblis yang menolak perintah Allah patut menjadi renungan dan pengajaran kepada mereka yang terpedaya dengan lojik akalnya bila berhadapan dengan perintah Allah. 


Kebanyakan mereka yang terpedaya itu menumpukan hanya kepada tujuan (maqasid) perundangan Islam tetapi tidak kepada perundangan Islam itu sendiri. Orang yang tidak mempelajari dsiplin ilmu perundangan Islam amat terdedah kepada *kegelinciran* apabila membahaskan tentang maqasid. Mereka menggunakan maqasid sebagai ukuran untuk menentukan kebenaran sesuatu perkara, sedangkan dalam Islam kebenaran ditentukan oleh nas, bukan tujuan nas. 

Contoh - Allah mensyariatkan hukuman potong tangan kepada pencuri yang bertujuan untuk menghalang dari kecurian. Kalaulah hanya bersandarkan kepada tujuan hukuman, kita boleh guna hukuman lain seperti penjara dan denda yg lain. Pada zahirnya, cara itu pun boleh menyelesaikan masalah kecurian. Sebagai ingatan, hikmah pelaksanaan Islam tercapai apabila dilaksanakan keseluruhan sistem Islam dalam negara. 


Memahami nas, mestilah membaca kandungan nas di samping mememerhatikan juga tujuan (output) nas itu. Abila tidak melaksanakan tuntutan nas, bagaimana outputnya akan terhasil. Contohnya ialah kaitan antara kenyang dan makan. Makan melahirkan kenyang, maka kalau tidak makan, bagaimana mahu kenyang. 

Persoalannya - adakah tuntutan dalam nas itu, perintah makan atau perintah kenyang? Perintah melaksanakan hukum potong tangan atau perintah menghentikan kecurian?

Orang Islam yang taat, berusaha untuk melaksanakan perintah Allah sebaiknya dan semampu yang mungkin. Ia tahu pelaksanaan perintah Allah dengan cara yang betul akan melahirkan hikmahnya. Dia menerima autoriti Allah sebagai tuhan tanpa bantahan kerana dia sedar Allah tuhan yang maha mengetahui dan inilah teras kepada tauhid. 

Manakala, bagi orang Islam yang banyak cengkadak, mereka mencari bermacam-macam alasan bagi mengelak dari melaksanakan tuntutan nas kerana ia mungkin tidak selari dengan pandangannya. Mereka kata itu tidak adil, tidak sesuai lagi, pelaksanaanya selepas semua orang kaya dan lain-lain.

Allah sengaja memperihalkan kisah Iblis yang engkar dengan perintah Allah dalam pelbagai gaya bahasa lebih dari satu surah sebagai pengajaran kepada orang yang terlebih kritis. Kalau ikutkan analogi (qias) yang dikemukakan oleh Iblis memang kelihatan lojik. Api lebih baik dari tanah, maka tidak wajar api sujud kepada tanah. Dia berlagak hebat dan bongkak, akhirnya ia tergolong dari kalangan orang kafir. 

Ringkasnya, perbincangan tentang tujuan perundangan Islam ialah melihat sesuatu hukum secara "big picture". Ia akan lebih rasional namun jangan sampai rasional itu mengabaikan tuntutan nas (ta'til al-nas). Kalau terlebih rasional dan terlebih kritis, dikhuatiri akan jadi seperti Iblis.

Dr. Muhamad Faisal
Makkah al-Mukarramah
26 Jan 2017

#Dsiplin ilmu maqasid dipelajari selepas belajar dsiplin ilmu fiqh, fiqh al-kitab, fiqh al-sunnah, usul fiqh, fiqh perbandingan mazhab. Selepas belajar semua dsiplin ilmu perundangan Islam, barulah belajar tujuan perundangan Islam. Bagi orang non-Muslim, mereka mungkin banyak bertanya tentang output dan kehebatan perundangan Islam. Insya Allah akan diulas dalam kesempatan yg lain.




Post a Comment

1 Comments

Unknown said…
Pencerahan yg sgt baik....