TEMA AYAT AL-QURAN DALAM HUBUNGAN MUSLIM DAN ORANG KAFIR

Adakah hubungan antara orang Islam dan orang kafir hanyalah berteraskan kepada konsep berbaik-baik atau rahmatan lil alamin?. Mari kita lihat analisis terhadap keseluruhan ayat al-Quran yg menjelaskan hubungan ini. Terdapat sekurang-kurangnya ENAM tema ayat al-Quran berkaitan hubungan antara orang Islam dengan orang kafir. 
1- Ayat yang berkaitan dengan tema dakwah 
Ayat dalam tema ini memerintahkan orang Islam menyampaikan dakwah kepada orang bukan Islam. Ia berasaskan kepada Islam merupakan agama yang mulia dan terbaik. Dalam berhubungan dengan orang kafir, aspek dakwah jangan sekali-kali diabaikan kerana ia adalah prinsip penting dalam hubungan antara agama. Dakwah ialah menjelaskan kebaikan Islam dan mengajak manusia beriman kepada Allah tanpa paksaan. 
2- Ayat betkaitan dengan tema wala’ iaitu hanya meletakkan kesetiaan yg tertinggi kepada Islam
Ayat-ayat ini menyentuh tentang kewajipan orang Islam tidak menggadaikan prinsip agama apabila berhubung dengan orang kafir. Islam membenarkan meraikan mereka sebagai kawan, rakan dan sahabat tetapi tidak sampai kita meninggalkan solat, puasa atau mengabaikan hukum Islam yang lain.
3- Ayat berkaitan tema jihad perang iaitu mempertahankan diri apabila diserang
Ayat-ayat ini turun dalam konteks peperangan dan sekiranya orang Islam diserang. Jihad menandakan bahawa orang Islam mempunyai maruah diri dan perlu mempertahankan diri apabila diserang. 
4- Ayat berkaitan dengan keadilan kepada semua manusia / rakyat termasuk kepada orang kafir
Keadilan dalam berurusan dengan sesiapa pun merupakan perintah Allah meliputi orang Islam mahupun orang kafir. Mereka adalah rakyat yang perlu diurus dengan cara yang adil dan berhikmah. Haram menzalimi mereka, apatah lagi menindas dan mengambil harta mereka secara paksa. Ini sesuai dengan prinsip Islam yang menyuruh berlaku adil dan menunaikan amanah. Ia termasuklah kewajipan menyempurnakan janji dan memberikan hak kepada mereka yang berhak. 
5- Ayat berkaitan dengan sikap tegas dengan orang kafir 
Ada ayat yang Allah minta supaya orang Islam bertegas dalam perkara prinsip dan pelaksanaan hukum Islam. Ini selaras dengan prinsip tauhid yang tidak boleh dikompromi dengan yang lain. Berpegang dengan prinsip ini akan menjadikan orang Islam disegani dan dihormati. 
6- Ayat berkaitan dengan “Allah tidak menghalang berbuat baik dengan orang kafir” 
Ada dua ayat yang Allah tidak melarang orang Islam berbuat baik dengan orang kafir yang tidak memusuhi Islam. Ini bermakna, Allah tidak menyuruh berbuat baik kepada mereka secara khusus, tetapi tidak pula menghalangnya. Ayat ini perlu dilihat dalam konteks hubungan antara individu dan dalam konteks sikap mereka terhadap Islam. Tetapi dalam konteks kenegaraan, kerajaan perlu menyediakan keperluan yang mencukupoi dan kemudahan yang sesuai dan dengan keadilan Islam.
Kesimpulan 
Hubungan antara orang Islam dan orang kafir perlu dilihat secara menyeluruh. Hubungan ini tidak hanya dilihat dari sudut keadilan dan berbuat baik sahaja, tetapi perlu dilihat dari sudut tanggungjawab dakwah, ancaman dan sikap mereka terhadap Islam. 
Dr. Muhamad Faisal

Post a Comment

0 Comments