Thursday, December 29, 2016

PSIKOLOGI KHIANAT: PUNCANYA TERPEDAYA DENGAN KEGHAIRAHAN NAFSU, TERDESAK, TIPUDAYA SYAITAN & EGO

Secara fitrahnya, manusia suka kepada orang yang mempunyai sifat amanah dan membenci pengkhianat. Sungguh pun ia merupakan fitrah yang Allah telah berikan kepada setiap manusia, namun masih ramai manusia yg tergamak untuk melakukan pecah amanah dan berbuat khianat. Mereka sebenarnya gagal mengurus fitrah itu sehingga mereka terbabas ke jalan yang hina. 
 



4 SEBAB KENAPA MANUSIA SANGGUP KHIANAT DAN TIDAK AMANAH

1- Keghairahan menuruti nafsu

Keghairahan itu bukan sahaja sekadar keinginan, tetapi ia adalah perasaan tidak senang hidup melainkan setelah memperoleh perkara itu. Keghairahan yang tidak terkawal boleh menyebabkan manusia melanggar fitrahnya sehingga sanggup pecah amanah dan melakukan khianat tanpa rasa berdosa. 

Keinginan manusia itu tidak terbatas, apabila keinginan kita semakin tinggi, gelojak nafsu kita akan semakin ghairah. Tak percaya?? Apabila kita semakin lapar, hidung kita semakin sensitif, terbau-bau walaupun dari kejauhan. Bau telor goreng pun cukup mengiurkan. Sekiranya ada keghairahan yg tinggi, berhati-hatilah.

Contoh: Sekiranya seseorang itu mempunyai _high taste_ iaitu mempunyai tahap "rasa selesa yg tinggi" (seperti tidak boleh hidup melainkan dengan gaji Rm15k, memiliki rumah banglo dan mempunyai keta mewah dll), ia terdedah dengan sifat pecah amanah dan khianat. Sifat _high taste_ ini boleh menyebabkan sanggup melakukan apa sahaja bagi merealisasikan keinginannya. 

2- Ketika terdesak

Sewaktu terdesak, tidak semua orang sanggup menanggung keadaan itu sekiranya ada peluang untuk melepaskan diri termasuklah dengan melakukan perkara yang haram dan melakukan jenayah. Mungkin keadaan terdesak itu berbeza mengikut keadaan dan mengikut tahap kesusahan, namun secara umumnya, nafsu manusia cenderung untuk mementingkan diri sendiri berbanding orang lain. Semakin terdesak dan tertekan, lonjakan untuk melepaskan diri dari keadaan itu semakin kuat. Contoh: Dalam keadaan lemas, kita mencapai apa saja benda yg boleh menyelamatkan kita. 

3- Termakan tipudaya dan bisik rayu Syaitan 

Syaitan adalah makhluk yang paling licik untuk menyesatkan manusia. Dia bukan sahaja boleh memperdaya manusia, tetapi telah berjaya memperdaya bapa manusia iaitu Adam dan Hawa. Helah yg dikemukakan oleh Iblis berjaya melentokkan Hawa dan seterusnya Adam.

4- Ego dan gagal untuk berdepan secara berhujah 

Apabila manusia gagal untuk berhujah dan berhadapan secara gentleman, namun masih tidak berpuas hati dan tidak dapat menerima hujah berkenaan. Jalan pintas untuk berhadapan dengan situasi itu ialah dengan cara khianat, fitnah dan menjatuhkan orang. Begitu juga sikap ego dari menerima pandangan orang lain walaupun ternyata kebenaran, apatah lagi sekiranya pandangannya tidak diterima. Sikap ini sering melekat kepada sesetengah pemimpin kerana sebahagian mereka mahukan pandangan mereka itu diterima dan sentiasa betul. 

Abdullah bin Ubai, merupakan ketua orang munafiq, yang tidak berpuas hati apabila tidak dilantik sebagai ketua kepada Kaum Aus dan Khazraj. Walaupun telah dipersetujui oleh kedua belah pihak untuk melantiknya sebagai ketua. Tetapi apabila Rasulullah datang ke Madinah, mereka memberi laluan pada Rasulullah dan mengenepikan Abdullah bin Ubay. Kejadiannya ini telah menyebabkannya tidak berpuas hatu dan menyimpan dendam kesumat yang bersangatan sehingga banyak berbuat khianat dan memfitnah Rasulullah dan orang Islam.  

Note: KEINGINAN MANUSIA YG TERTINGGI IALAH KEINGINAN MANUSIA KEPADA KUASA
 

Friday, December 23, 2016

PANDUAN QURAN DAN HADIS DALAM BERHADAPAN DENGAN ERA FITNAH MAKLUMAT

Maklumat sebenar tak best, maklumat khabar angin yang best sebab ada rencah dan perisa. 

Penyebaran sesuatu maklumat dan khabar angin tanpa memeriksa terlebih dahulu kebenaran maklumat berkenaan merupakan satu fenomena yang semakin berleluasa pada masa kini. Hanya dengan beberapa gerakan jari jemari, seseuatu maklumat boleh tersebar ke seluruh dunia dalam masa yang singkat sahaja. Sekiranya maklumat yang tersebar itu baik, alhamdulillah. Akan tetapi, sekiranya maklumat yang tersebar itu salah dan palsu, tentunya ia boleh membawa kesan yang buruk terhadap diri sendiri, agama, masyarakat mahupun negara. 

Penyebaran khabar angin juga terhasil dari sikap gopoh gapah, tanpa usul periksa dan tanpa berfikir secara waras. Jari jemari bergerak lebih pantas dari mindanya, maka maklumat yang diterima terus disebarkan tanpa berfikir terlebih dahulu. Kadang-kadang, banyak pula maklumat yang disebarkan itu tidak dibaca pun. Ia adalah jelas berpunca dari ketagihan yang tinggi kepada media sosial seperti Facebook dan Instagram, dan ketagihan kepada whatsapp. 

Penyebaran maklumat yang bersifat khabar angin ini juga lahir dari sikap berasa hebat dan dilihat sebagai orang yang serba tahu dan berlumba menjadi orang paling awal tahu. Dari satu sudut, memang sikap ini baik kerana niatnya ingin menyampaikan maklumat kepada orang lain. Akan tetapi, oleh kerana banyak maklumat yang bersifat khabar angin, malahan kurang tepat dan palsu berlegar-legar dalam dunia maya, maka sikap berhati-hati dalam menyebarkan maklumat perlu diamalkan dan dibudayakan. Adakalanya maklumat tersebut disebar dalam bentuk pertanyaan "betul ke ni?, atau "sapa boleh sahkan?”. Tetapi sebenarnya, dalam sesetengah keadaan ia juga menyumbang kepada penyebaran khabar angin. Dalam ramai yang tidak tahu, telah mula tahu. 



Rasulullah SAW bersabda:

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ
Maksudnya: Seseorang itu boleh dianggap sebagai berdusta apabila menyebarkan setiap berita yang dia dengari. Riwayat Muslim.


Dalam menyelesaikan kemelut ini, terdapat 4 panduan yang perlu diamalkan. 


1- Dapatkan penjelasan dan maklumat lanjut ketika menerima berita khabar angin 

Elakkan dari membuat spekulasi dan sangkaan serta membina persepsi yang buruk ketika menerima sesuatu khabar angin. Pengesahan ini penting terutamanya apabila melibatkan perkara yang besar. Banyak contoh yang kita telah jumpa sebelum ini berita tentang kematian seseorang telah tersebar sedangkan dia masih lagi sihat. Sebaiknya, tunggulah hingga ke petang, atau pun hingga ke malam, atau pun hingga esok atau beberapa hari, sebelum mempercayai sesuatu maklumat apatah lagi menyebarkannya. 

Allah berfirman:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ


Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya). Akhirnya kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Surah al-Hujurat: 6) 



2- Tidak memandai-mandai 

Sejak alat media berada di tangan masing-masing, semua orang boleh menulis apa sahaja yang dia mahu, biarpun perkara itu dia tidak tahu, atau mempunyai maklumat yang sedikit mengenainya. Oleh itu, elakkan dari ghairah untuk menunjuk pandai dengan menulis tentang perkara ia jelas mengenainya. Rujuk kepada pihak yang lebih arif untuk kejelasan. Allah berfirman: 


وَإِذَا جَآءَهُمْ أَمْرٌ مِّنَ ٱلأَمْنِ أَوِ ٱلْخَوْفِ أَذَاعُواْ بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى ٱلرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُوْلِي ٱلأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ ٱلَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ  



Maksudnya: Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka rujuk perkara itu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka. Surah al-Nisa’: 83 


3- Kurangkan pergerakan maklumat bagi mengurangkan polemik 

Oleh kerana banyak maklumat yang bercampur baur antara yang betul dan palsu sehingga menimbulkan kekeliruan, kekacauan, perbalahan, pemusuhan malahan peperangan. Rasulullah menyarankan agar mengambil sikap untuk tidak memanaskan lagi keadaan yang sedia ada. Ini berdasarkan sepotong hadith sahih Riwayat Bukhari dan Muslim: 


انها ستكون فتنة القاعد فيها خير من القائم و القائم خير من الماشي و الماشي خير من الساعي

Maksudnya: Sesungguhnya akan terjadi fitnah, orang yang duduk (diam) adalah lebih baik daripada yang berdiri. Orang yang berdiri adalah lebih baik daripada orang yang berjalan. Dan orang yang berjalan adalah lebih baik daripada orang yang berlari. 

Ketika berlaku fitnah yang besar, elakkan dari memanaskan lagi keadaan. Dalam sesetengah keadaan, diam itu kadangkala lebih baik dari turut memburukkan lagi keadaan. Kalau ingin menyertai perbincangan itu, fikirkan cara untuk menyelesaikan masalah, bukan untuk merumitkan lagi keadaan. 


4- Buat kerja dan amal soleh. Tinggalkan berpolemik. 

Rasulullah menyarankan agar segera melakukan ibadat dan tinggalkan berpolemik. Ia bukan masanya untuk bercakap lagi. Banyakkan amalan, tinggalkan banyak cakap. 

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : ( بادروا بالأعمال الصالحة فستكون فتنا كقطع الليل المظلم يصبح الرجل مؤمنا ويمسى كافرا ويمسى مؤمنا ويصبح كافرا يبيع دينه بعرض من الدنيا ) رواه مسلم


“Bersegeralah melakukan amal soleh kerana akan terjadi fitnah-fitnah laksana malam  yang gelap gelita. Seseorang itu beriman pada pagi hari, namun pada waktu petang ia menjadi kafir pula. Ia rela menjual agamanya dengan sedikit harta dunia"

Wednesday, December 21, 2016

ALAM MAYA MELAHIRKAN PENULIS BERWATAK GANAS DAN KASAR - RUWAIBIDAH?

Biarpun beperwatakan lembut dalam dunia realiti, tetapi dalam dunia maya seseorang itu boleh berubah identitinya menjadi ganas dan kasar. Kenapa? Anonimity (tidak perkenal identiti) dan instantaneous (kesegeraan) adalah antara ciri terpenting kepada dunia maya. 




Kedua ciri ini boleh menjadikan penduduk alam maya ini kurang berasa malu dan hormat pada orang lain. Mereka berasa bebas untuk mencoretkan apa sahaja kerana mungkin mereka perasan mereka hanya berinteraksi dengan gadget sahaja. Sedangkan mereka berhadapan dengan jutaan penduduk di alam maya. Harga diri mungkin sudah kurang. 

Tulisan mereka kasar, coretan mereka sinis, ungkapan yg digunakan keras dan tajuk tulisan mereka ganas. Tanpa mengenal sasaran tulisan itu sama ada pihak berkuasa, ulama, orang tua, institusi raja dan sebagainya. Semua dibelasah bagaikan sasaran itu tidak berguna seduit pun sedangkan ketika penulis itu lahir, orang yg dikritik itu telah menabur jasa kepada agama, nusa dan bangsa lebih dari separuh abad. 

Mungkin kerana lupa sejarah dan tidak kenal harga diri, muncung senapang dihalakan kepada kumpulan sasar tanpa belas kasihan. Akibatnya ...

Ada juga mereka yg mungkin berasa bijak dan ingin menunjukkan serba tahu sehingga mengomen apa sahaja isu biarpun tanpa maklumat yg jelas. Mengadu domba, mencari kelemahan individu, menyebarkan buhtan (fitnah) tanpa tabayyun bagaikan sengaja mencipta haru biru dalam alam maya. 

Mungkin juga ada yg mencari populariti murahan dalam menulis isu2 yg sensasi untuk mempromosikan diri sedangkan tulisan mereka lebih mencetuskan dari menyelesaikan masalah. 

Kadangkala jari jemari lebih pantas dari pertimbangan akal yg waras dalam membuat coretan. Semuanya mahu jawapan dan respon yg pantas dan segera. Sekiranya mereka berfikir secara waras terlebih dahulu dan sambungkan sel2 otak, Insya Allah telah ada jawapannya dan tidak perlu kepada respon lagi. 

Mungkin ini yg dimaksudkan oleh Rasulullah sebagai Rubaibidah seperti di dalam hadis berikut:

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ((سيأتي على الناس سنوات خدّعات، يُصَدق فيها الكاذب ويُكذَّب فيها الصادق، ويُؤتمن فيها الخائن ويُخوَّن فيها الأمين، وينطق فيها الرويبضة))، قيل وما الرويبضة يا رسول الله ؟ .. قال: «الرجل التافه يتكلم في أمر العامة» . ؟

Dari Abu Hurairah r.a. ia berkata: Rasulullah sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh tipu helah, yang mana pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Pengkhianat akan diberi memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap ialah golongan Ruwaibidah”. Ada sahabat bertanya: “Apakah dia Ruwaibidah itu?” Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Orang lelaki bengap yang membicara tentang urusan orang ramai”. (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan al-Hakim, kata beliau: Sahih sanadnya)

Ringkasnya - Ruwaibidah ialah org tiada ilmu dan pengalaman, tetapi berlagak tahu dalam membicarakan urusan orang awam.

Inilah sebahagian hakikat alam maya yg kita hadapi pada hari ini. Gunalah media baharu dengan berhemah, masyarakat akan selamat.

Wednesday, December 14, 2016

KULIAH CINTA RASUL - RASULULLAH MENGETUAI PEPERANGAN SEBANYAK 27 KALI DAN MENGHANTAR UTUSAN PERANG SEBANYAK 38 KALI

Rasulullah tidak sekadar hanya berdakwah di sekitar masjid, tetapi baginda juga adalah ahli politik yg berusaha membangunkan sebuah negara Islam di Madinah. Dengan kata lain, DAKWAH DALAM JALUR POLITIK, Kesempurnaan Islam bukan setakat ibadat tetapi apabila Islam dapat menjadi asas dan mengatur kehidupan seluruh manusia. 


Memugar rasa kasih dan sayang pada Rasulullah ialah dengan cara menghayati susah payah Baginda dalam menyampaikan Islam dan membangunkan negara Islam Madinah selama 23 tahun. Di samping itu, menghayati keistimewaan peribadi Rasulullah yang hebat dan telah berjaya mentarbiyyah para sahabat menghadapi semua mehnah itu. Peranan Rasul ialah untuk menunjukkan dan membimbing cara melaksanakan Islam dalam kehidupan umatnya semasa dan selepas hayatnya. 

Kisah perjuangan Baginda dipenuhi dengan kebijaksanaan, ketangkasan, semangat juang yang tinggi, strategi politik yang mantap dan seribu macam kelebihan yang dimiliki oleh Baginda untuk membangunkan negara Islam Madinah. Baginda berhadapan dengan serangan musuh luar Madinah dan ancaman musuh dalaman, pengkhianatan munafiq dan termasuklah karenah mereka yang tidak yakin dengan Islam. 

Baginda tidak berdakwah dalam pentas yang indah dan memakai pakaian yang cantik, tetapi sepanjang 10 tahun di Madinah, Baginda mengetuai 27 kali ketumbukan tentera (ghazwah) dan mengutuskan sebanyak 38 kali tentera (sariyyah) bagi berhadapan dengan musuh. Baginda makan sehari dan lapar sehari, tiada makanan yang disimpan di dalam rumah, apatah lagi mengumpulkan harta yang banyak. 

Cobaan dan cabaran yang diterima oleh Baginda ialah dari 
- Permusuhan dari Quraysh yang merupakan kauh
- Permusuhan dari 3 suku kaum Yahudi 
- Permusuhan dari Munafiqin 
- Permusuhan dari Qabilah yang berdekatan Madinah
- Orang Islam yang terpengaruh dengan dakyah Munafiq 

Cuti Maulidur Rasul kali ini diisi dengan membaca kisah peperangan Rasulullah khasnya peperangan Badar dan Uhud yang penuh dengan ujian dan tarbiyyah yang mendidik jiwa para sahabat. Perjuangan dan kesungguhan yg penuh dengan suka duka cukup membekas ke dalam jiwa mereka meneliti setiap detik perjalanan kisah berkenaan. 



Kuliah CINTA RASUL perlu juga untuk menyelitikan kisah-kisah tarbiyyah dan pengajaran yang diambil dari peperangan Rasulullah. Erti sebuah sambutan kelahiran baginda ialah untuk menyemai kecintaan kepada baginda dalam memperjuangkan Islam dan memugar kefahaman dan semangat untuk menuruti jejak langkah baginda dalam memartabatkan Islam. 

Mudahan kita semua dapat mengikut jejak langkah baginda. 

Dr. Muhamad Faisal 

Nota: 
Ghazwah ialah pasukan tentera yang diketuai sendiri oleh Rasulullah
Sariyyah ialah pasukan tentera yang diutuskan oleh Rasulullah untuk misi tertentu dan diketuai oleh sahabat. 

Antara buku sirah yang terbaik ialah:
Qiraah siyasiyyah li al-Sirah al-Nabawiyyah - Muhammad Rawwas Qalah Ji 


Ghazawat al-Rasul - Dr. Ali Muhammad al-Sallabi


Tuesday, December 6, 2016

2% ORANG ISLAM DI MALAYSIA TIDAK BERKHATAN?

Saya agak terkejut apabila seorang pegawai tentera mendedahkan kepada saya setiap kali pengambilan rekrut baru, terdapat sekitar 20 hingga 30 dari sekitar 700-900 calon Muslim yang tidak berkhatan. Mereka terpaksa dikhatankan selepas mereka disahkan menyertai tentera. Ini belum lagi, mereka yg tidak tahu mengucap, rukun Islam dan iman, tidak tahu membaca alfatihah dan tidak pernah membaca al-Quran. Sekiranya tidak berkhatan, bagaimana solat dan ibadat mereka? 
 

Sewaktu menghantar anak berkhatan baru-baru ni, saya berbual dengan seorang parent yang usia nya sekitar 40 tahun. Dia menyebutkan dia berkhatan dahulu sewaktu umurnya 14 tahun. Saya boleh terima realiti ini kerana itu amalan itu sudah tidak lagi berlaku kerana kebanyakan berkhatan dibawah 12 tahun. Walau bagaimanapun, masih ada lagi yang tertinggal dari ibadat berkhatan. 

Mungkin ada beberapa faktor yang menyumbang kepada perkara ini seperti perceraian, kemiskinan, kedaifan, sabah/sarawak, dll. Mungkin juga ada perasaan malu untuk berkhatan apabila sudah dewasa. 

Permasalahannya, adakah usaha dakwah terlalu jauh dari objektifnya, pendidikan Islam masih belum mencukupi, sikap kurang tanggungjawab ibubapa/ penjaga dan masyarakat? 

 

Monday, December 5, 2016

ISLAMIC RENAISSANCE FRONT (IRF) DAN ........ TOLAK NEGARA ISLAM, PERJUANGKAN NEGARA SEKULAR

Membina sebuah negara Islam adalah suatu tuntutan Akidah. Sebaliknya, IRF dan "mereka yang sewaktu dengannya" pula, mahu kepada negara yang menghormati prinsip sekular. IRF adalah organisasi yang diketuai oleh Ahmad Farouk Musa dan sebahagian dananya diperoleh dari National Endowment for Democracy (NED). Sila lihat di sini NGO Malaysia yang terima dana NED


Antara buku yg mereka hasilkan adalah:

Di dalam buku ini terdapat pemikiran seperti berikut:

1- Mereka tidak mahu kepada negara yang menjadikan agama sebagai teras dalam perundangan negara. 
Kesasar = salah jalan dan tersesat

2- Mereka mahukan agar perundangan Islam hanya meliputi aspek peribadi sahaja dan tidak mencakupi aspek pemerintahan. 
Mendikte: Menentukan secara paksaan
Dhamir: Hati

3- Mereka menanggap agama adalah soal hati manusia yang tidak boleh dipaksa dengan undang-undang. Mereka menolak amar makruf dan nahi mungkar. dan juga membezakan antara dosa dan jenayah. 
Antagonistik: jahat dan tidak baik serta sering membuat nilai-nilai negatif.

4- Mereka anggap al-Quran itu tidak cukup untuk keperluan manusia, perlu kepada akal manusia untuk mentafsirkannya.
Kudus: Suci, wahyu
Terdapat kelemahan besar daripada apa yang diyakini sebagai kudus: Terdapat kelemahan dalam wahyu (Quran dan hadis).

5- Mereka tidak mahu kepada syariat, tetapi mementingkan maqasid.

Lihat juga:
...... mempromosikan nilai-nilai Islam yang fundamental seperti keadilan, kebebasan, kesamaan, tolarensi dan urustadbir yang baik. 


CORAK PEMIKIRAN DIATAS MEMPUNYAI UNSUR-UNSUR BERIKUT

1- SEKULAR - kerana agama hanya urusan peribadi sahaja sedangkan agama perlu mencakupi urusan kehidupan.

2- LIBERAL - kerana berasa mempunyai hak untuk mentafsirkan Islam mengikut pandangan mereka biarpun bersalahan dengan pandangan ulama yang muktabar. Menolak konsep absolute truth.

3- RASIONALISME - kerana menganggap di mana ada kebaikan dan kemaslahatan, di situlah syariat Allah. SEPATUTNYA, di mana syariat Allah, di situlah ada kebaikan dan kemaslahatan.

4- HUMAN RIGHT - kerana mementingkan hak asasi sedangkan manusia gagal membezakan antara hak dan keinginan. LIhat penjelasannya disini Keliru hak asasi dan keinginan

5- PLURALISME - kerana kerana berpegang dengan prinsip kebenaran itu relatif. Biarpun pandangan mereka jelas bertentangan dengan Islam, tetapi masih terus memperjuangkannya.

6- DEMOKRASI - Lihat penjelasannya disini Demokrasi VS Syura


BERIKUT ANTARA PROGRAM YANG IRF ANJURKAN 

 




#Panel jemputan pun liberal??
#Penganjur terdiri dari IRF, G25, Penang Institute



Sunday, November 27, 2016

ISLAM DAN KHATAN ADALAH PERKARA FITRAH. SIAPA YG MENOLAK HUKUM ISLAM,MENOLAK FITRAH

Khatan adalah salah satu dari perkara fitrah di dalam Islam. Antara maksud fitrah ialah naluri (الجبلة والطبع). Ia bermakna segala hukum Islam itu sesuai dengan fitrah dan kejadian manusia. Dengan kata lain, Allah menetapkan segala hukum itu sesuai untuk naluri manusia. Allah yang menjadikan alam dan manusia, Allah tahu apa yg sesuai untuk manusia. 

Manusia memerlukan kepada fitrah seperti khatan, makanan, pakaian, perkahwinan dan tempat tinggal, begitu juga manusia memerlukan kepada semua hukum Islam yg sesuai dengan fitrah manusia. Ada tak perkara yang Allah perintah itu bertentangan dengan fitrah manusia?

Islam adalah agama fitrah kerana segala peraturan yang terdapat di dalam Islam semuanya bersesuaian dengan fitrah manusia. 



Sekiranya ada yang tidak solat, tidak puasa, tidak menutup aurat, menolak hukum tuhan, bermakna mereka menolak fitrah. Ia bagaikan orang menolak makan, minum dan berkahwin. Mudahan kita dapat beramal dengan Islam yg sesuai dengan fitrah manusia. 

Wednesday, November 23, 2016

AL-QURAN MENDEDAHKAN KELEMAHAN PSIKOLOGI ORANG MUNAFIQ


Orang munafiq tidak mampu menahan emosi dan psikologi apabila diasak dengan pendedahan sifat, identiti dan ciri-ciri nifaq. Mereka secara automatik akan melenting dan berang apabila disebut semua sifat2 itu biarpun tidak disebut nama mereka. Al-Quran telah mendedahkan kelemahan psikologi orang munafiq ini di dalam Surah al-Munafiqun: 4. 

يَحْسَبُونَ كُلَّ صَيْحَةٍ عَلَيْهِمْ ۚ هُمُ ٱلْعَدُوُّ فَٱحْذَرْهُمْ ۚ قَٰتَلَهُمُ ٱللَّهُ ۖ أَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ

Maksudnya: (Oleh kerana orang Munafiq berasa bersalah), mereka menyangka setiap jeritan ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasakan mereka. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya - dari menerima kebenaran)? Surah al-Munafiqun: 4


Orang munafiq ialah mereka bersikap mengelak, mengelat, kurang minat dengan Islam, tidak berapa selesa dengan hukum Islam dll. Hatinya lega apabila peminta sedekah tidak datang kepadanya. Mereka lebih selesa kehidupan yg tidak diikat dengan hukum Islam. Lebih parah lagi, mereka suka memberi alasan, malahan menentang usaha ke arah pelaksanaan cara hidup Islam. 

Manakala Orang Islam yg sejati pula ialah mereka yg sentiasa berusaha untuk memartabatkan hukum Islam dan melaksanakannya. Segala perintah Allah dijunjung dan cuba dilaksanakan semampu mungkin. 

Ketika Nabi Ibrahim A.S diperintahkan supaya menyembelih anaknya Nabi Ismail A.S, kedua-duanya berusaha patuh dan memudahkan pelaksanaannya. Apabila Bani Israel diperintahkan menyembelih lembu, mereka banyak pertanyaan, beralasan dan mencari jalan agar dilambat-lambatkan perintah Tuhan. 

Mudah-mudahan kita terlindung dari memiliki ciri nifaq dan apatah lagi menjadi orang munafiq. 



(وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَىٰ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ رَأَيْتَ الْمُنَافِقِينَ يَصُدُّونَ عَنْكَ صُدُودًا)
[Surat An-Nisa' 61]

Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah," nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu.

Dr. Muhamad Faisal

Sunday, November 20, 2016

DAKWAH DAN GERAKAN ISLAM DI MALAYSIA BERJAYA: ALIRAN SEKULAR MELAYU TIDAK BERANI SANGGAH HUKUM ISLAM SECARA TERBUKA

Antara kejayaan usaha dakwah dan gerakan Islam di Malaysia ialah mengetengahkan Islam sebagai cara hidup sehingga kumpulan sekular melayu bagaikan tiada kekuatan untuk menentang arus kesedaran Islam yang semakin deras. Mereka kelihatan tidak berani kedepan  untuk menentang pelaksanaan dan hukum Islam secara lantang seperti 20-30 tahun sebelum ini. Ketika diperkenalkan enakmen Jenayah Syariah 30 tahun dahulu kedengaran suara yang memandang sinis seperti "kalau nak makan sup tangan, pergilah ke Kelantan”. Kini suara-suara seperti itu tidak lagi kedengaran melainkan suara-suara nakal yang sayup kedengaran dari kejauhan sekali sekala. 

Kita boleh lihat kejayaan usaha dakwah dan gerakan Islam dalam contoh2 berikut: 

-> Kalau dahulu, ustazah pun pakai selendang yg diletakkan di atas bahu, tetapi kini tudung menjadi suatu yang trend pula. Kedai tudung online bercambah bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. Malah terdapat orang yang malu kalau tidak pakai tudung. 
-> Kalau dahulu, kuliah Maghrib sekali sekala, itu pun dalam bab ibadat sahaja. Kini Kuliah Maghrib di masjid dan surau hampir setiap malam dan setiap hujung minggu khususnya di kawasan bandar dan pinggir bandar. 
-> Kalau dahulu, bila sebut hudud aja, terus dikaitkan dengan agenda politik PAS sehingga disebut “Hudud PAS”. Kini Hudud boleh diterima oleh hampir semua orang dan mereka faham itu adalah agenda Islam yg perlu diperjuangkan oleh semua orang Islam. 
-> Kalau dahulu, memberi derma untuk isu kemanusiaan di luar negara dianggap sebagai janggal. Tetapi kini tabung derma kemanusiaan untuk luar negara semakin banyak sehingga ada pihak yang mengambil kesempatan atas kemurahan hati orang Malaysia. 
-> Kalau dahulu, orang memandang sepi dengan institusi tahfiz, kini sekolah tahfiz tumbuh berkembang dan mendapat sambutan hangat apatah lagi sekolah gabungan tahfiz dan sains. 
-> Kalau dahulu, pelaksanaan undang2 Jenayah Islam hanyalah secara retorik sahaja, tetapi kini pelaksanaannya sudah kepada tahap pindaan Akta dan Enakmen. 
-> Kalau dahulu, kehadiran masyarakat ke program agama agak menyedihkan, kini kehadiran agak menggalakkan, malahan masyarakat sanggup membayar hingga ratusan ringgit untuk hadir program agama. 
-> Kalau dahulu, orang memandang hina dengan Islam, tetapi kini semua benda dan jenama ingin dikaitkan dengan Islam. 
-> Kalau dahulu, pasukan polis, tentera, jururawat dll tidak mempunyai uniform menutup aurat, tetapi kini telah ada uniform khusus yg menutup aurat. 
-> Kalau dahulu, bank Islam susah mahu cari makan, kini Hong Leong Islamic Banking mendapat anugerah perbankan Islam yg terbaik. 
-> Kalau dahulu, pakai kopiah putih dianggap sebagai penyokong PAS, kini kopiah putih diterima oleh semua orang. 
-> Kalau dahulu, hanya tentera sahaja ada unit agama iaitu KAGAT, kini PDRM pun sudah ada iaitu Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA)

Berdasarkan kepada beberapa contoh di atas boleh dikatakan bahawa itu adalah hasil kejayaan usaha dakwah yang berterusan yang dijalankan oleh gerakan Islam di Malaysia sejak sebelum merdeka lagi. Kejayaan ini bagaikan sebuah arus kesedaran Islam yang kuat sehingga sesiapa yang tidak mengikuti arus perkembangan ini akan ketinggalan. Oleh sebab itu, kita dapati:*

-> Pengeluar filem dan stesyen TV,  terpaksa menyediakan program Islamik atau ala Islamik bagi memenuhi citarasa rakyat yang sudah beralih dari program anugerah bintang filem kepada program realiti Islam.
-> Ahli perniagaan terpaksa menggunakan jenama Islam untuk melariskan perniagaannya, memakai kopiah untuk memberikan keyakinan kepada awam, dll.
-> Penerbit buku pula beralih kepada buku-buku Islamik, dan ada yang diceduk dari karya Indonesia untuk dihidangkan kepada pembaca, kerana minat pembaca yang telah berubah. Majalah hiburan seperti Mangga sudah tiada lagi di pasaran dan URTV pula diterbitkan atas Ihsan sahaja. 
-> Ahli politik pula, terpaksa memanggil para ustaz untuk menarik kehadiran kepada program mereka kerana masyarakat sudah kurang percaya pada ahli politik yang korup. 
-> Peniaga pula sibuk melariskan produk mereka dengan makanan dan pakaian sunnah.

-> Ramai yg terpaksa mengiakan pindaan RUU355 biarpun mungkin hati mereka ada sedikit keberatan untuk menerima pindaan itu. Paling tidak pun, mereka tidak menentangnya secara terbuka.

*Ini adalah sebahagian contoh sahaja

BIARPUN SECARA TERPAKSA, TETAPI BIARKANLAH MEREKA MULAKAN SECARA TERPAKSA. DIHARAPKAN LAMA-LAMA MEREKA IKHLAS. Budak yang berumur 6 tahun, mengerjakan solat mungkin kerana disuruh oleh guru. Biarpun terpaksa, apabila ia berumur 16 tahun, dia sudah boleh buat secara ikhlas. 

Bagi musuh Islam, ARUS KESEDARAN ISLAM INI PERLU DISEKAT. Sekiranya dibiarkan, arus ini lama kelamaan akan mengukuhkan dan menegakkan lagi Islam sebagai cara hidup. Islam dan kufur  adalah perkara yang berlawanan. 

Bagaimanakah cara yang dirancang oleh musuh Islam? 

Arus kesedaran ini perlu ditolak secara halus. Mereka perlu: 
1- Arus kesedaran ini perlu DISEDERHANAKAN (Moderate)  
2- Arus kesedaran ini perlu DIALIHKAN kepada aspek kerohanian sahaja
3- Arus kesedaran ini perlu DICOP sebagai pengganas dan daiesh
4- SEMARAKKAN PERBEZAAN DAN KHILAF sesama kumpulan Islam





Tuesday, November 8, 2016

SURAH ALFATIHAH MINTA KITA AWASI PERANCANGAN MUSUH


Kita perlu melihat perjalanan gerakan Islam dari perspektif musuh Islam yg tidak senang dengan Islam. Tidakkah dalam setiap rakaat solat, kita membaca Surah al-Fatihah yg menyebutkan agar kita tidak mengikut jejak "*al-maghdub alayhim wala al-Dallin*" iaitu orang yg dimurkai dan juga orang yg sesat. Ahli tafsir menyebutkan mereka itu adalah Yahudi dan Nasrani. Tidak penting sangat siapa mereka, tetapi yg paling penting ialah apakah rancangan jahat mereka untuk merosakkan orang Islam. 

Apa perancangan musuh terhadap Islam??? Kalau ketika peperiksaan, "memahami soalan adalah sebahagian dari jawapan", maka dalam dunia yang penuh dengan konflik pada hari ini, "memahami strategi musuh, sebahagian dari Islam"

Dalam hal ini, bahagian strategic kepada Amerika menyebutkan sendiri beberapa rancangan mereka untuk menguasai umat Islam - yg boleh dibahagikan kepada beberapa kategori. 

KATEGORI PERTAMA: Bantu kumpulan tradionalist menghadapi kumpulan fundamentalist dengan cara:

1- Perbesarkan kritikan tradisionalis terhadap keganasan kumpulan fundamentalis dan ekstremisme dan galakkan perbezaan pendapat antara tradisionalis dan fundamentalis. 
2- Elakkan pakatan antara tradisionalis dan fundamentalis
3- Galakkan kerjasama antara modenis dan tradisionalis, dan tingkatkan kehadiran dan tokoh modenis di institusi tradisionalis
4- Diskriminasikan antara pelbagai sektor tradisionalisme
5- Galakkan mereka yang mempunyai pertalian rapat dengan modenisme - seperti Mazhab Hanafi sebagai mazhab yang berbeza dengan mazhab lain, untuk mengeluarkan pandangan hukum sehingga menjadi pandangan yang popular. Dengan cara ini boleh untuk melemahkan autoriti kuasa wahabi dan ia akan dilihat pandangan yang kebelakang
6- Galakkan populariti dan penerimaan penerimaan masyarakat dengan sufism


SUMBANGAN AL-MARHUM SAID HAWWA DALAM BIDANG PENYUCIAN JIWA

Dalam pertemuan dengan Sheikh Dr. Muaz, anak kepada Sheikh Said Hawwa, beliau menjelaskan tentang penulisan ayahandanya berkaitan dengan ilmu Tazkiyatun Nafs. Penulisan beliau dalam bidang ini diolah berdasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah, agar ilmu ini diterima oleh semua aliran, termasuklah salafi. Penulisan yg ada sebelum ini banyak ditulis oleh ahli sufi seperti Imam Al-Ghazali ada yg tidak diterima oleh aliran salafi kerana banyak aspek emosi yang bersandarkan kepada hadis daif. 





Al-Marhum berpandangan ilmu kejiwaan Islam perlu diketengahkan untuk memenuhi keperluan orang Islam kepada aspek kejiwaan bagi mengelakkan hubungan yg keras dan kasar. 

Manhaj salafi yg literal dan agak keras dapat dikendurkan pendekatannya dengan ilmu akhlaq kerana dakwah Islam memerlukan kepada akhlaq yg murni. Justeru ilmu ini penting kepada orang Islam dan sebagai pelengkap kepada dakwah itu sendiri. Begitu juga, Manhaj sesetengah ahli sufi yg mungkin terlibat dengan takwil yg sangat jauh perlu dirapatkan agar mereka tidak terlalu jauh. 

Dengan sumbangan al-Marhum, para ulama Saudi mula membuat penulisan di dalam bidang penyucian jiwa. Antara buku mereka yg mendapat sambutan yg hangat ialah La Tahzan tulisan Sheikh Aid al-Qarni. 

Sheikh Muaz juga menjelaskan bahawa Sheikh Abd Majid al-Zindani telah mengambil saranan al-Marhum Said Hawwa untuk menekankan aspek kejiwaan sehingga salah satu silibus diajar di Jamiah al-Iman di Sanaah, Yaman. Walau pun orientasi jamiah al-Iman ini berdasarkan manhaj salafi, tetapi masih menerima aspek tazkiyat Al-Nafs. 



FARAH ADEEBA TV AL-HIJRAH TERKEJUT. PERJUANGAN DEMOKRASI, HAK ASASI DAN KEBEBASAN DI MALAYSIA SEBENARNYA SUDAH LAMA MENDAPAT TAJAAN.

Baru-baru ini kita menerima sebaran Whataspp dari Farah yg terkejut dengan agenda pihak tertentu di US yang inginkan sebuah negara yang mempunyai elemen kebebasan antara agama dan memisahkan agama dari politik / kerajaan. Dalam wawancara dengan tetamu dalam segmen berkenaan, TV al-Hijrah terpaksa merombak soalan, walau bagaimanapun tetamu berkenaan, menurut Farah, masih terus mengalihkan perbincangan kepada aspek demokrasi, kebebasan dan hak asasi. 


Sebenarnya, perancangan US untuk membawa kebebasan dan demokrasi ke seluruh dunia termasuk di Malaysia tidaklah mengejutkan sangat kerana ia telah pun berjalan secara terbuka dan boleh disearch di dalam Google. Mungkin Farah terkejut sebab dia bertemu secara bersemuka dengan orang berkenaan.

Salah satu organisasi yang terpenting di Malaysia ialah National Endowment for Democracy (NED) yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang bernaung di bawah Kongres US, Department of State. Ia mendapat tajaan dari syarikat gergasi dunia seperti Google, Microsoft, Coca Cola dan lain2 bagi membawa misi kebebasan, demokrasi dan hak asasi ke seluruh dunia menggunakan model US yang berteraskan sekularisme, rasionalisme, pluralisme dll. Dengan dana yang begitu besar, mereka membiayai lebih dari 1000 projek setiap tahun di berbagai negara di seluruh dunia, kepada organisasi / NGO yang ingin membawa misi dan mencapai objektif mereka. 

Di Malaysia, NED telah bergerak memberikan sumbangan sekitar hampir 1 juta USD setahun sejak dari 2005 hingga kini seperti yang dapat dilihat dalam rajah di bawah. 




Dengan jumlah yang begitu besar, mereka yang menerima tajaan berkenaan bergerak di Malaysia sebagai NGO dan organisasi yang menjalankan penyelidikan, memberikan pendidikan kepada rakyat agar dapat hidup secara lebih demokrasi, meraikan hak asasi dan kebebasan bersuara; dan juga secara tidak langsung menjadi kumpulan pendesak kepada kerajaan. Apa yang menjadi masalahnya ialah sebahagian dari desakan dan usaha mereka itu bertentangan dengan nilai tradisional melayu dan nilai masyarakat ketimuran, yang paling penting sekali ialah bercanggah dengan syariat Islam. Namun mereka menganggapnya sebagai nilai yang universal. 

1- Islamic Renaissance Front (IRF) - yang mendapat USD 50-75k setiap tahun sejak 2014 dan ia cuba membawa wacana Islam baru yang berteraskan kepada demokrasi dan kebebasan. Mereka menulis buku seperti Wacana Pemikiran Reformis dan ada juga memanggil tokoh yang dikaitkan dengan pemikiran Liberal seperti Ulil Absar dari Indonesia dan Mustafa Akyol dari Turki untuk memberikan syarahan di Malaysia. Mereka tidak menggalakkan pelaksanaan hukum hudud. Mereka menggalakkan wacana yang mempunyai elemen demokrasi dan kebebasan. 

2- Lawyers of Liberty - mendapat USD40k setahun sejak 2011, merupakan sebuah organisasi yang memperjuangkan hak asasi dan mempertahankannya menerusi saluran undang2 dari perkara yang mencabul perlembagaan dan undang2 atau apa2 perkara yang dianggap tidak rasional dari perspektif mereka. Organisasi ini mengumpulkan para peguam bergerak memperjuangkan ketidak adilan kepada mana-mana pihak. 

3- Malaysia kini dan TV Kini. Merupakan portal berita yang menyediakan berita dan pandangan yang bebas dan pelbagai dari perspektif demokrasi, hak asasi dan kebebasan. MalaysiaKini mendapat USD100k setiap tahun selama 4 tahun berturut2 antara tahun 2009-2012 dan TVkini pula mendapat USD 35k setiap tahun sejak 2014.
4- Merdeka Center - yang mendapat sekitar USD 60-70k merupakan pusat kajian yang menjalakan kajian dan survey umum terhadap isu-isu yang berlaku di dalam negara. 

5- International Republican Institut (IRI)- mendapat dana yang sangat besar antara USD350k hingga USD400k dan pernah mendapat sehingga USD800k. 

Dengan dana yang banyak dari NED sehingga RM2-3 juta setahun dan pernah mencecah RM4juta, mereka mempunyai gerakan yang tersusun. Oleh sebab itu, projek, program  dan usaha yang berkait dengan hak asasi, demokrasi dan kebebasan, termasuk kebebasan agama merupakan usaha yang sering nampak di alam maya kerana mendapat biaya antaranya dari NED. Mungkin ada di sana banyak lagi maklumat dan aktiviti yang tidak didedahkan telah pun dilakukan bagi mengukuhkan perjuangan hak asasi, kebebasan dan demokrasi di Malaysia. 

Tetamu itu ialah 
David N. Saperstein is the Ambassador-at-Large for International Religious Freedom. He was confirmed by the Senate on December 12, 2014, and was sworn in and assumed his duties on January 6, 2015.
dan juga ini 

P/s: Kena selebriti bercakap dahulu, baru rakyat sedar. Hmm..

Khutbah : HAK ASASI: KENAPA JUDI HARAM? SAYA TIDAK GANGGU ORANG LAIN

Sidang Jumaat sekalian,

Kita mungkin pernah mendengar cerita atau dialog antara seorang pendakwah dengan seorang kaki judi, apabila pendakwah itu menegurnya, dia pun menjawab “Apa salah saya, saya tidak kacau orang lain, saya juga tidak ambil duit orang, saya hanya bertaruh sahaja, kalau saya kalah saya redo. Itu hak saya. Kenapa pula haram?”


Begitu juga dengan kisah seorang pendakwah dengan seorang wanita, ketika pendakwah itu mengajaknya supaya memakai tudung dan menutup aurat dengan sempurna. Tiba-tiba, wanita tadi menjawab: “Allah tidak melihat kepada perkara zahir. Apa yang lebih penting adalah dalaman kita iaitu taqwa, pakaian itu hanyalah zahir sahaja.”

وَأَنَّ هَـٰذَا صِراطِى مُستَقِيمًا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُم عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٲلِكُم وَصَّىكُم بِهِۦ لَعَلّكم تَتَّقُونَ

Maksudnya: Dan Bahawa Sesungguhnya Inilah jalanKu (Agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan Yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. Surah al-An’am: 153. 

Sidang Jumaat sekalian,

Itu adalah sebahagian daripada dialog yang menggambarkan salah satu bentuk pemikiran yang ada pada hari ini yang dinamakan dengan pemikiran liberal yang berasaskan kepada hak asasi. Ia merupakan pemikiran yang membahayakan akidah Islam kerana ia berasaskan kepada rasional dan lojik semata-mata, yang mementingkan keinginan atas nama hak asasi manusia lebih daripada tuntutan agama.

Manusia seringkali keliru dan gagal membezakan antara hak asasi dan keinginan. Apa yang mereka anggap sebagai hak asasi, tetapi sebenarnya bukan. Ia merupakan keinginan hawa nafsu sahaja yang sememangnya tidak terbatas.

Manusia menyangka bahawa :
- berjudi itu adalah hak asasi mereka untuk berhibur 
- minum arak itu adalah hak asasi mereka untuk ketenangan
- berzina itu adalah hak asasi mereka untuk kepuasan 
- menukar jantina itu adalah hak asasi mereka untuk rasa jati diri
- membuka aurat itu adalah hak asasi mereka untuk berhias 

Apakah benar semua itu hak asasi? atau itu hanyalah keinginan manusia?