Thursday, June 22, 2017

29 RAM: RAMADAN BULAN KAWAL NAFSU, SYAWAL BULAN MELEMPIAS NAFSU?

Nafsu tidak terkawal punca kepada masyarakat jadi haru biru dan dunia tonggang terbalik. Nafsu itu liar. Sifatnya sukar dikawal, keinginannya macam-macam dan angan-angannya tinggi. Oleh sebab itu, nafsu itu dikatakan sentiasa muda, biarpun tuannya sudah tua.



Tidak sedikit orang yang gagal mengawal kehendak dan keinginan nafsu. Ramai sahaja yang sanggup membunuh, berperang, mendengki, memfitnah, merasuah, mencuri, merompak, merogol, salah guna kuasa, merebut kuasa, mabuk, berdebat dll. Maknanya, yang jadi tonggang terbalik dunia ni dan kecoh sana sini berpunca dari NAFSU YANG TIDAK TERKAWAL. 

Ramadan adalah bulan mengawal nafsu. Apabila nafsu dapat dikawal, ramai orang boleh jadi baik. Oleh sebab itu, dalam bulan Ramadan ni ramai orang datang surau, banyak orang memberi derma dan sedekah, baca Quran dll. Pada bulan Syawal, masjid/ surau mula kurang banyak. 

Syawal bulan melempias nafsu? Performance sebenar iman kita adalah pada bulan Syawal kerana Ramadan adalah bulan latihan. Mudah-mudahan kita istiqamah melakukan amalan sehingga bulan Syawal dan seterusnya. Ibadat yang kita istiqamah pada bulan Ramadan, ada harapan untuk diteruskan pada bulan Syawal. Terus kawal nafsu pada bulan Syawal dan bulan yg seterusnya kerana ia adalah hasil TAQWA Ramadan. 

Selamat Mengakhiri Ibadat Ramadan

Dr, Muhamad Faisal 

Wednesday, June 14, 2017

20 RAMADAN: BERAMALLAH SEHINGGA MENCAPAI TAHAP IKHLAS, BUKAN MENUNGGU IKHLAS BARU BERAMAL

Ikhlas adalah aspek dalaman manusia yang dikaitkan sebagai sebab akhir kenapa kita melakukan sesuatu perkara iaitu melakukan amalan hanya kerana Allah. Amalan dilakukan bukan kerana kepentingan tertentu tetapi untuk Allah. Oleh sebab itu, apabila kita ikhlas, kita terus melakukan amalan sama ada ketika keseorangan atau ketika ramai, ketika dipuji atau tidak. 


Kita tidak menanti iklhas baru beramal, tetapi kita perlu beramal hingga mencapai tahap ikhlas. Kita mungkin rajin melakukan solat sunat ketika di masjid, tetapi apabila di rumah tidak melakukan solat sunat  malahan doa pun tiada. Ketika Ramadan, kita rajin baca Quran tetapi sebelum Ramadan, kita tidak sentuh pun Quran. Tidak mengapa kerana mungkin sesuatu amalan itu dikerjakan ketika kita belum lagi sepenuhnya kepada Allah. 

Ini mungkin ada tanda tidak ikhlas dalam beramal, namun ia adalah proses yang perlu kita lalui untuk mencapai tahap ikhlas. Menanti ikhlas baru beramal, mungkin hanya kita sedekah 50 sen sahaja kerana jumlah sedekah itu yang ikhlas. Atau hanya solat tarawih 2 rakaat sahaja, kerana kalau lebih tidak ikhlas pula. Ini silap, kerana kita perlu beramal hingga mencapai tahap ikhlas. 

Proses kerohanian bagi mencapai tahap ikhlas mengambil masa yang lama. Sesuatu amalan itu dilakukan secara istiqamah bertahun-tahun barulah ia menjadi sebati dalam hidup. Akhirnya, sesuatu amalan itu dilakukan sama ada di hadapan orang atau pun ketika keseorangan.  

Ikhlas bukan suatu perkara yang mudah seperti disangka. Ia selalu diserang hendap oleh nafsu manusia yang ingin dipuji, dipandang hebat dan dimuliakan yang secara tidak sedar kita tertipu dengan amalan yang dilakukan. Justeru, niat bukan sekadar menyebutnya di awal melakukan amalan, tetapi ia perlu sentiasa hadir di dalam hati bahawa amalan itu dilakukan “kerana Allah”, bukan kerana makhluk yang lain. Ia mengambil masa yang panjang sehingga amalan kita menjadi sebati dengan diri kita. 

Istiqamahlah dalam beramal. Setakat 20-30 hari belum cukup lagi untuk menjamin kita terus kekal. Namun, kita perlu terus bertahan, bukan sekadar akhir Ramadan, tetapi untuk selepas Ramadan. 

Dr. Muhamad Faisal

Monday, June 12, 2017

IBLIS MEMPERDAYA BUKAN DENGAN RUPA YANG MENAKUTKAN TETAPI RUPA MENAWAN


Iblis dan Syaitan merupakan makhluk halus yang seringkali dibayangkan rupanya macam hantu yang buruk, menakutkan dan menyeramkan. Kalaulah syaitan datang dalam rupa yang seperti itu, adakah ramai atau sedikit yang akan ikut Iblis dan Syaitan?? Hmm. Hanya sedikit sahaja manusia yang mengikutinya.



Namun, Syaitan datang memperdaya manusia dalam bentuk bisikan angan-angan, desakan dan gesaan yang menyukakan hati manusia, lagi mengecurkan air liur. Semua itu sepadan dengan nafsu manusia yang sentiasa muda dan keinginan manusia yang tidak terbatas. Oleh sebab itu, manusia mudah terpedaya dan jadi jahat tu. Tambahan pula, bapa kepada manusia pun pernah ditipu dan diperdaya oleh Iblis. Ini menjadikan manusia mudah diperdaya.

Ya, ia datang dalam bentuk rumah besar, kereta mewah, kedai yang luas, pangkat yang tinggi, kedudukan yang dihormati, wang yang banyak, wanita yang cantik, pujian dll. Seronok tak kalau kita dapat semua ini? Ya pastinya kita suka. Namun, kita mungkin tidak mampu untuk mendapatkan ke semua keinginan itu dan segala angan-angan kita. Bagi yang ingin menikmati juga semua keinginan itu, biarpun tidak mampu, dia sanggup menipu, mencuri, menjatuhkan orang, memberi dan menerima rasuah, membunuh orang C4, pecah amanah, salah guna kuasa dan sebagainya.

Inilah peranan Iblis dan syaitan. Mereka melakukan kerja-kerja menyesatkan manusia ini dengan sungguh2, siang malam pagi petang. Dia memang bersumpah untuk menyesatkan manusia dan kehadirannya ke dunia ini memang untuk itu. Ini semua disebut dalam al-Quran. Ringkasnya, jangan bayangkan rupa Iblis itu buruk dan menyeramkan, tetapi ingat bahawa wajah penipu ini berpenampilan cantik dan menarik.


Iblis memperakui bahawa dia hanya surrender iaitu tidak mampu memperdaya satu kelompok sahaja iaitu hamba Allah yang ikhlas sahaja. Semoga kita tergolong dalam kumpulan ini dan kita berlindung dengan Allah dari tipudaya syaitan.

Dr. Muhamad Faisal

AL-QURAN ITU BIJAKSANA: ORANG YG HEBAT SENTIASA MENDAMPINGI AL-QURAN

SIfat bijaksana adalah sifat orang yang berakal yang mencapai tahap tertinggi dalam berfikir. Namun, Allah meletakkan sifat ini juga kepada al-Quran kerana al-Quran ini adalah benda hidup yang sentiasa memberi kepada manusia. Biarpun digali segala mutiara di dalam al-Quran, ia tidak habis-habis sehingga kiamat. Allah berfirman: Yaasin, wal Quranil Hakiim. (Demi al-Quran yang bijaksana). (Yasin: 2). 


Manusia yang bersifat dengan bijaksana ialah seorang yang hebat. Dia mampu mengawal emosi dan memberi pandangan, idea dan buah fikiran yang bernas dan tepat. Dia tidak lokek menghulurkan sumbangan berupa wang ringgit mahupun tenaga. Dia juga sanggupun bersusah payah kerana orang. Ini sifat orang yang mulia. Semua orang suka kepada orang mulia. 

Al-Quran lebih hebat dari manusia kerana ia adalah kalamNya. Segala kandungannya adalah mukjizat yang memang manusia tidak dapat menandinginya. Segala apa masalah yang berkaitan dengan manusia semuanya ada disentuh di dalam al-Quran. Cumanya kita sahaja yang mungkin tidak membacanya dan tidak menjumpainya. 

Kalaulah al-Quran sebagai buku biasa sahaja, ia tidak bijaksana kerana ia kaku. Kalaulah ada sebuah buku yang hebat tara mana sekali pun, ia akan lapuk dek zaman kerana ia tidak dapat menyesuaikan diri dengan semua keadaan dan zaman. Tetapi al-Quran tidak, ia sentiasa evergreen yang dibaca oleh orang kulit hitam, kulit putih, kulit sawomatang, kulit kuning dan lain-lain, pada zaman lampau, kini dan akan datang. Tiada pula orang jemu membaca al-Quran. 

Orang yang bijaksana itu hebat. Kalaulah al-Quran itu bijaksana dan hebat, amat rugi kalau kita tidak membaca dan menatap segala isi kandungannya. Selalunya, manusia nak memakai pakaian yang hebat, memiliki kereta yang hebat, mempunyai kerjaya yang hebat, tiba-tiba dia tidak mahu kepada al-Quran yang maha hebat. Ini tak betul kerana manusia yang hebat perlu mendampingi perkara yang hebat. Bila kita baca al-Quran dan menghayati kandungannya, Insya Allah pandangan kita hebat dan segala tutur bicara kita pun turut hebat dan bijaksana. 

Kehebatan al-Quran menunjukkan kehebatan pencipta al-Quran itu sendiri iaitu Allah. Seperti mana al-Quran itu bijaksana, Allah lebih bijaksana. Oleh sebab itu, tiada alasan bagi manusia untuk menolak segala kandungan dan idea dari al-Quran. Manusia belum cukup bijaksana seperti al-Quran. Kalau nak bijaksana, selalulah menghayati al-Quran dan melaksanakan idea-idea al-Quran. 


Tok Guru Nik Aziz kata: Hok mana boleh baca Quran, baca Quran. Hok tak pandai baca Quran blajar sungguh². Kita terima surat dari orang kita boleh baca, kita terima surat bahasa melayu kita boleh baca, kita terima surat bahasa omputih kita boleh baca, tapi bila kita terima surat (Quran) dari Allah Taala kita tak boleh baca. Sedangkan kita menumpang di bumi Dia, berteduh di bawah langit Dia, makan rezeki Dia, tiba2 surat (Quran) daripada Dia kita tak boleh baca. Hinanya kita hidup atas muka bumi ni…"


Selamat Menyambut Nuzul Quran


Dr. Muhamad Faisal 

Saturday, June 10, 2017

AL-QURAN MENGAJAR ERTI MEMARTABATKAN KEBENARAN DALAM KEHIDUPAN

2x2=4 bukan fakta yang dicipta oleh guru matematik tetapi ia adalah suatu pernyataan matematik yang diambil dari fakta yang bersifat saintifik. Kalau ada orang kata 2x2=6, kita tidak dapat terima fakta ini kerana ia bercanggah dengan fakta sains yang kita yakini kebenarannya. 

Kalau ada penjual yang menggunakan  formula  2x2=6 dalam mengira barang jualan, kita tidak menerima cara pengiraan itu, terutamanya apabila dia mengira barang kita. Kesesatan cara mengira itu membawa mudarat bukan sekadar pada dia, tetapi juga pada kita dan orang lain. 

Ringkasnya, kebenaran itu bukanlah dicipta oleh guru, tetapi ia adalah fakta yang diterima umum hasil dari sumber ilmu yang betul. Kita juga bertanggungjawab membetulkan kesalahan itu agar tidak menyesatkan masyarakat dan diri sendiri. 

Namun, kenapa orang boleh terima fakta dan hakikat kebenaran sains, tetapi tidak boleh terima kebenaran yang dinyatakan oleh al-Quran? 

Al-Quran merupakan kitab mukjizat yang berteraskan wahyu dan mendapat kedudukan yang lebih tinggi dari kebenaran fakta sains. Ia bukan sekadar menjelaskan aspek yang dicerap oleh pancaindera dan difikirkan oleh akal tetapi ia juga menjelaskan aspek yang tidak dapat diketahui oleh akal dan pancaindera. Itulah ilmu wahyu yang melebihi ilmu manusia. 

Menerima al-Quran sebagai rukun iman yang ketiga dan menyambut Ramadan sebagai bulan al-Quran, bererti kita harus menerima bahawa kebenaran itu datang dari wahyu tuhan. Kita perlu untuk memartabatkannya. 

Manusia hidup di dunia ini dengan misi tauhid dan misi membawa kebenaran seperti mana yang dinyatakan dalam al-Quran. Pembangunan bukan misi utama manusia kerana kalaulah pembangunan meruapakan misi utama manusia, nescaya:

1- Nabi Muhamad bercerita berkaitan pembangunan ketika di Mekah. 
2- Nabi Musa tidak perlu datang menentang Firaun yg mempunyai kerajaan yang kuat dan membawa pembangunan kepada rakyatnya. 

Tetapi, dengan penyelewengan fakta dan nafsu yang tidak terkawal membawa keada kezaliman dan penindasan kepada rakyatnya. Maka, di sinilah peranan amar makruf nahi mungkar, dakwah dan jihad.

Al-Quran merupakan buku panduan yang mengajak manusia beriman kepada Allah dan membetulkan fakta yang salah, amalan yang songsang dan kepercayaan yang sesat. Kita bukan sekadar membaca al-Quran tetapi berusaha untuk memartabatkan fakta dan kebenaran yang terdapat dalam al-Quran yang datang dari Allah. 

Selamat Menyambut Nuzul al-Quran.

Dr. Muhamad Faisal

Sunday, June 4, 2017

PERSEDIAAN KE AKHIRAT: MANUSIA TIDAK PATUT SEPERTI LEMBU DAN KERBAU

Haiwan seperti lembu dan kerbau mempunyai tabiat tidak menyimpan stok makanan untuk esok apatah lagi merancang untuk masa depannya. Mereka akan terus makan rumput yang kita berikan semahunya siang dan malam sehingga habis atau pun kekenyangan. Ini tidaklah pelik kerana haiwan tidak mempunyai akal dan berfikir. Sepatutnya, mereka perlu membuat perancangan untuk hari esok dan masa depan yang tidak pasti agar mereka ada makanan. 

Ini berbeza dengan manusia yang mempunyai tabiat menyimpan makanan kerana dia berasa tidak selamat dan tidak pasti tentang nasibnya pada esok hari. Oleh sebab itu, mereka menyimpan makanan dan menyimpan duit untuk kemudahan mereka pada masa akan datang. Inilah kelebihan akal yang Allah berikan kepada manusia untuk mereka berfikir untuk membangunkan dunia dengan akal. 


Sebagai mana bodohnya haiwan yang tidak hirau stok makan minum pada masa akan datang, begitu juga manusia juga yang tidak menghiraukan masa depannya di akhirat. 

Manusia menganggap haiwan bodoh kerana setiap hari kena bagi makan. Akan tetapi, manusia juga boleh menjadi seperti haiwan apabila manusia tidak berfikir untuk masa depan yang pasti iaitu kehidupan di akhirat. Ruginya manusia apabila tidak membuat persediaan ke akhirat. 

Sebodoh-bodoh lembu, boleh juga disembelih. 

Allah berfirman: Sesungguhnya kami sumbatkan dalam neraka banyak dari kalangan manusia yang tidak menggunakan akal untuk berfikir, mata untuk melihat dan telinga untuk mendengar bagaikan haiwan. Malahan lebih sesat dari haiwan. al-A’raf: 

Dr. Muhamad Faisal 

Saturday, June 3, 2017

10 RAMADAN: BADAN DAH LETIH, NAFSU MULA MENUNJUKKAN BELANG

Nafsu mula menampakkan wajahnya yang sebenar setelah 10 hari berpuasa. Ia mula malas, berasa letih dan penat, rasa tidak cukup rehat, maklumlah siang bekerja, malam tidur lewat, bangun pula awal pagi. Tambahan pula apabila makan banyak selepas jam 11 malam, rasa penat dan liat akan bertambah-tambah. 

Pada 10 hari yang pertama, semangat kita membara dan mampu menundukkan nafsu untuk melaksanakan ibadat. Setiap malam kita kuat melaksanakan Solat Tarawih hingga 10 malam dan pada setiap pagi pula kita bangun jam 5 pagi untuk bersahur. Akan tetapi, menjelang malam ke 10 Ramadan, semangat semakin menurun. 

Setelah badan letih dan fizikal kita dilemahkan dengan tidak makan, nafsu mula mengada-ngada. Kononnya, ia inginkan rehat dan berasa berat untuk melakukan ibadat. Semangat semakin pudar tinggal lagi keimanan sahaja yang menjamin kita terus istiqamah dalam ibadat. Mulalah ada yang meninggalkan Solat Tarawih atas alasan kononnya letih dan penat.

Iman dan nafsu sentiasa berlawan antara satu sama lain. Sama ada iman menang atau nafsu yang menang. Beruntunglah orang yang beriman yang kuat dan dapat mengalahkan nafsunya. 


Oleh sebab itu, menjelang 11 Ramadan, kehadiran ke masjid dan surau mula berkurangan. Badan semakin letih dan penat, nafsu mula menunjukkan belang dan mempamerkan sikapnya yang sebenar. Kalau iman tidak kuat, nafsu akan menang. Ketika itu, kita gagal untuk memperoleh hikmah dari Ramadan.

Walau bagaimanapun, memang ada yang memang kerjanya pada siang hari sangat memenatkan. Namun, ada yang buat-buat penat. Apapun, jadikan Ramadan sebagai bulan untuk menewaskan nafsu sehingga 30 Ramadan. Kalau bulan Ramadan pun sudah tewas, pada 11 bulan lagi, memang bungkus awal-awal lagi. 



Friday, June 2, 2017

TAZKIRAH : DARI DALAM SURAU HINGGA TEPI KOTAK ROKOK

Mendengar Tazkirah ialah salah satu cara untuk mendidik jiwa agar bersedia mendengar apa orang kata. Ia tidak mudah kerana manusia biasanya berasa berat untuk dengar orang kata dan lebih suka kalau orang dengar dia kata. 

Proses tarbiyyah menerusi tazkirah berlaku apabila kita memaksa diri mendengar pandangan dan ucapan pentazkirah, biarpun macam tak berapa sedap, membosankan atau pun perkara itu yang dia dah tahu. Apabila dia menggagahkan diri untuk mendengar, itulah tarbiah atau proses mendidik jiwa. Ia boleh membuang sikap ego, perangai degil dan payah untuk menerima nasihat. 

Sebenarnya, tazkirah bukan maklumat yang baru kerana ialah adalah ingatan pada perkara yang mungkin kita sudah tahu atau biasa kita dengar tetapi mungkin kita terlupa. Peranan tazkirah ialah mengingatkan bagi manusia yang lalai. Betapa ramai orang sesat, bukan sebab tidak tahu, tetapi buat-buat tidak tahu. 

Setiap hari kita berjumpa dengan pelbagai tazkirah dan ingatan. Di tepi jalan penuh dengan signboard seperti gambar tengkorak, statistik kemalangan dan “under construction" untuk mengingatkan manusia agar tidak memandu laju, agar lebih berhati-hati dan agar lebih cermat. Itu belum lagi kat kedai, kat pejabat, kat rumah, kat sekolah dll. Papan tanda, sticker dan pengumuman semua itu adalah tazkirah kepada manusia yang mungkin lalai dan lupa. 


Pun begitu, tiada pula orang complain berkaitan dengan signboard (tazkirah) yang cukup banyak dipasang di tepi jalan. Begitu juga tazkirah (Amaran) yang dipasang oleh Kerajaan Malaysia di tepi kotak rokok. Walaupun letak gambar orang cacat dan kena kanser, perokok tidak complain. Semua orang tahu, tazkirah itu untuk kebaikan manausia.