Wednesday, December 31, 2008

Bukti orang Islam keliru dengan masalah aurat?


Berdasarkan kepada analisis terhadap soaljawab agama yang terdapat dalam laman web ahkamonline.net, permasalahan mengenai aurat telah mendapat hit tertinggi berbanding dengan soalan dalam kategori yang lain. Sungguhpun masyarakat Islam amnya telah pun diajar mengenai aurat semenjak kecil lagi, tetapi persoalannya, kenapakah mereka masih lagi keliru. Sama ada mereka gagal memahami dan menguasai apa yang disampaikan oleh guru atau apa yang disampaikan oleh guru itu tidak sama dengan reality. Cikgu ajar lain, kat rumah, mak ayah dan masyarakat buat lain.




Adakah selama ini kita melihat fenomena bertudung merupakan suatu budaya sahaja yang bukan lah sangat untuk melaksanakan tuntutan agama. Malah sesetengahnya pada andaian penulis, mereka kata bertudung itu lebih lawa. Kalau tidak bertudung, Nampak tidak cun.

Sering kali penulis perhatikan sebahagian orang Islam menganggap bahawa aurat hanyalah rambut sahaja. Mereka kelam kabut menutup kepala bila ada orang datang rumah dan ada yang sengaja pakai tshirt berlengan pendek. Adakah mereka keliru bahawa pergelangan tangan, betis dan sebagainya masih lagi aurat. Kenapa mereka keliru? Malah ada penulis terperhatikan perempuan bertudung kepala tetapi lurah belakang punggung nampak dan pusat pula tersembul keluar.

Adakah mereka keliru? Atau sengaja keliru? Atau terkeliru?

Adakah ini kesan modernity?








Sunday, December 28, 2008

Keluarga ideal yang bahagia


Seringkali dibicarakan tentang bahagia, selalunya ia merujuk kepada mengikut peraturan agama. Apabila kita membahaskan konsep bahagia seperti yang definisikan oleh para sarjana Islam seperti Imam al-Ghazali, Ibn Sina, Ibn Khaldun dan sebagainya, kita mendapati bahawa mereka merujuk kepada kebahagiaan itu kepada aspek dalaman manusia. Konsep keluarga bahagia merupakan konsep yang sangat luas dan sukar untuk diukur secara emperikal. Justeru, untuk tujuan emperikal dan operasi kajian, konsep bahagia ini juag perlu diungkapkan bersama dengan “ideal” kerana ia dapat memahamkan bahawa keluarga ini perlu memiliki beberapa kriteria.




Berikut adalah beberapa kriteria yang diidamkan oleh setiap keluarga

Memenuhi keperluan asas,
· Makanan – 3 kali sehari
· Pakaian – 10 helai pakaian
· Tempat tinggal – Kediaman yang tetap
Memiliki dua orang anak
Memiliki kenderaan
Melaksanakan tuntutan fardu ain Islam yang asas

Kriteria ini merupakan suatu asas dan panduan am kerana kriteria yang disebutkan di atas ialah berkaitan dengan aspek fizikal manusia, manakala kebahagiaan sebenarnya ialah berkait dengan rohani manusia. Namun, asas kebahagiaan manusia melibatkan aspek fizikal manusia kerana manusia yang normal biasanya memiliki pakaian, tempat tinggal dan mengimpikan memiliki anak dll.

Friday, December 26, 2008

Fatwa membolehkan perempuan memandu berimplikasi besar


Prof. Dr. H.M. Amin Abdullah menyebutkan di Seminar di UIN*, bahawa, menurut Mufti Syria – fatwa membolehkan perempuan memandu kereta** merupakan suatu fatwa berimplikasi besar. Selama ini, Ulama Saudi berpandangan bahawa wanita tidak dibenarkan memandu kereta kerana terdapat beberapa ciri pada wanita, yang menurut pandangan mereka, wanita tidak layak memandu.



Persoalannya ialah
- Kenapa fatwa ini dianggap di Saudi sebagai berimplkasi besar? Sedangkan di Malaysia dan Indonesia sebagai contoh ia merupakan fenomena biasa.

Persoalan lain ialah
- Apakah kesan fatwa ini terhadap pembangunan dan perkembangan negara?
- Adakah fatwa membenarkan wanita memandu lebih menjaga kehormatan wanita dan membawa kepada maslahah yang lebih besar ?

Persoalan lain yang lebih mendasar ialah
- Sejauh manakah mereka mempertahankan fatwa ini?
- Apakah mungkin worldview mereka terhadap wanita turut terkesan terhadap fatwa mereka dalam persoalan yang lain?
- Sejauh manakah mereka bersedia modernity yang lebih mencabar pemikiran dan kehidupan orang Islam?
- Sejauhmanakah kita boleh menerima fatwa secara bulat-bulat daripada ulama Saudi disebabkan persepsi mereka yang tertentu terhadap modernity?


*Seminar Internasional Keluarga Bahagia Asas Pembangunan Bangsa dan Negara
Kerjasama UIN Sunan Kalijaga, Yogjakarta, dan UKM, Bangi.
Di UIN Sunan Kalijaga. 26-27 Disember 2008.

**Istilah yang digunakan oleh Prof. Dr. H.M. Amin Abdullah (menyetir mobil)


Dari Yogjakarta, Indonesia.

Jogjakarta, Indonesia.
25-29 Disember 2008.


Pasar Malioboro


Pondok Pesantren
Fauzul Muslimin, Yogyakarta.

Penjual aiskrim, dengan keretanya.

Peminta sedekah yang profesional


Monumen serangan terhadap Belanda, di bawah Deponegoro.

Thursday, December 18, 2008

Cadangan topik kajian semasa (kritikal) berkaitan Islam dan dakwah


Dakwah Islam perlu dilakukan dengan terancang dan berasaskan kepada kajian. Namun
, kajian secara emperical dalam bidang dakwah amat kurang sekali dan kajian lebih tertumpu kepada teoritikal dan konseptual sahaja.


Beberapa cadangan tajuk di bawah masih lagi konseptual, tetapi bersifat hukum kelihatan perlu disegerakan untuk kepentingan dakwah Islam.


1. Zakat kepada non-Muslim
Sejauh manakah zakat boleh diberikan kepada non-Muslim. Ya, zakat boleh diberikan kepada golongan muallaf di kalangan bukan Islam, tetapi boleh kah diberikan kepada non-Muslim yang fakir.

2. Judi dan arak di dalam Negara Islam
Kajian tertumpu kepada aspek rational dan alasan yang kukuh berasaskan kepada pandangan Islam, agama-agama lain dan kajian semasa yang saintifik.

3. Menghadiri upacara keagamaan bukan Islam
Sejauh manakah Islam membenarkan orang Islam mengahadirinya. Atas dalil atau alasan apa yang membezakan antara budaya dan agama; dan perbezaan antara menghormati agama dan manusia.

4. Kaedah pendekatan kepada golongan seniman
Apakah hukum alatan muzik?
Bolehkah cari makan dengan muzik?
Dll.

5. Bahan dakwah kepada non-Muslim (Kaum cina dan India)
Menjawab 20 soalan yang selalu ditanya mereka

6. Kesan penggunaan ICT terhadap perubahan pemikiran Islam dan pertumbuhan fiqh.



Saranan tambahan amat dan sangat dialu-alukan, tapi biarlah dalam berskala yang kecil dan mampu diusahakan. Hasil cadangan tuan/puan akan dikemukakan kepada pihak yang berwajib untuk diusahakan.

Tuesday, December 16, 2008

Kes perceraian di Malaysia tinggi - 25% pasangan bercerai.

Statistik yang diberikan oleh JAKIM menunjukkan secara puratanya antara tahun 1995 hingga 2005 daripada jumlah perkahwinan yang didaftarkan, 15% daripadanya telah pun bercerai. Ini tidak termasuk dengan kes gantung tidak bertali dan kes perkahwinan bermasalah yang tidak sampai ke tahap perceraian. Sekiranya semua ini turut dimuatkan, tentunya hampir satu perempat daripada jumlah perkahwinan itu telah bercerai atau berhadapan dengan ancaman perceraian. Sebagai orang Islam yang prihatin, dimanakah silapnya sehinga jumlah yang tercatat begitu besar.



Semalam aku dikejutkan berdasarkan laporan tidak rasmi JAIS untuk Daerah Sepang, daripada 700 pasangan didaftarkan perkahwinan pada tahun ini, sebanyak 200 pasangan yang bermasalah. Ini mengabsahkan lagi andaian aku bahawa seperempat daripada pasangan yang berkahwin akan bercerai atau berhadapan dengan ancaman cerai.

Tidakkah ini satu jumlah yang besar dan membawa kepada ancaman pendidikan anak-anak itu nanti. Patutlah anak-anak terbiar lantaran rumah tangga bermasalah.

Persoalannya, apa yang perlu aku buat?

Ada kajian yang dibuat oleh mat salleh.
Malay Marriage and Divorce in Peninsular Malaysia: Three Decades of Change, by Gavin W. Jones © 1981. sapa nak, hantar emel pada myfaisal@gmail.com





Friday, December 12, 2008

Orang tidak solat sama seperti melakukan seks luar tabie?


Seks luar tabie merupakan perkara yang dianggap keji lantaran ia melakukan perkara yang terkutuk dan di luar fitrah manusia. Sedarkah bahawa segala hukum hakam Islam seperti solat, zakat, menutup aurat dan sebagainya 
merupakan fitrah kerana ia merupakan perkara yang ditetapkan oleh Allah untk kebaikan manusia?. Sebagai mana Allah menetapkan bahawa seks itu ada cara tertentu, maka berpakaian itu ada caranya, menggunakan mulut ada caranya, menguruskan kewangan ada caranya.




Islam merupakan agama yang bersifat fitrah kerana Allah menjadikan manusia sedia menerima perundangan dan peraturan yang terdapat di dalam Islam. Oleh kerana beragama itu merupakan fitrah kepada manusia, maka manusia mencari dan tercari-cari panduan yang bersesuaian dengan manusia, sesuai dengan jiwa dan sifat kemanusiaannya.

Manusia memerlukan kepada makanan, pakaian dan tempat tinggal dan ia tidak dapat hidup tanpa ada tiga perkara ini. Maka manusia bekerja keras di dalam kehidupannya mencari tiga keperluan ini, bahkan ia cuba sampai ke tahap kepuasan dalam usaha menghasilkannya. Memang, ia menjadi keperluan dan naluri kepada fizikal manusia.

Ia adalah fitrah, kerana
tiada manusia yang tidak memerlukan kepada makanan dan minuman,
tiada manusia yang tidak memerlukan kepada tempat tinggal,
tiada manusia yang tidak memerlukan kepada seks,
tiada manusia yang tidak memerlukan kepada pakaian,
tiada manusia yang tidak memerlukan kepada pekerjaan,
tiada manusia yang tidak memerlukan kepada pengangkutan,

Kalau ada orang yang menolaknya, kita akan kata orang ini gila, bodoh, nak mampus, baghal dan sebagainya kerana ia menolak sesuatu yang menjadi keperluan kepadanya.

Begitu juga, kalau orang menyalah gunakan keperluan itu seperti melakukan seks dengan binatang, atau seks sama jantina atau seks melalui dubur. Maka kita kata bahawa orang kata ini melakukan perkara diluar tabie.

Selain itu, manusia juga memerlukan kepada agama bagi mengatur kehidupannya. Allah membekalkan panduan menerusi al-Quran dan al-Hadis agar ia menjadi panduan kepada manusia. Segala peraturan yang terdapat di dalam Islam semuanya bersesuaian dengan fitrah manusia. Ada tak perkara yang Allah perintah itu bertentangan dengan fitrah manusia?

Sebagai contoh khitan (nama glamour: masuk jawi, berjawi, bersunat)

Khitan merupakan amalan yang termasuk di dalam perkara fitrah. Rasulullah telah menyebut bahawa
الْفِطْرَةُ خَمْسٌ - أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ - الْخِتَانُ وَالاِسْتِحْدَادُ وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ وَنَتْفُ الإِبْطِ وَقَصُّ الشَّارِبِ
Maksudnya: Lima perkara yang termasuk di dalam fitrah iaitu, berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mengandam misai. (Muttafaq alayh)

Terdapat dalam beberapa hadis yang lain dan sebagaimana yang ditegaskan oleh Ibn al-Arabi, terdapat 30 perkara lain yang termasuk dalam kategori fitrah. Kesemua itu berkaitan dengan kebersihan diri seperti berkumur, beristinja’, mengandam janggut dan sebagainya.

Dari sudut perubatan, ia merupakan cara yang terbaik untuk menjaga kebersihan zakar dan membawa kepada lebih enak dalam berjima’. Hal ini ditegaskan dalam semua agama samawi (Islam, Yahudi dan Kristian) kerana Nabi Ibrahim AS telah pun bersunat ketika berumur 80 tahun.

اخْتَتَنَ إِبْرَاهِيمُ النَّبِىُّ عَلَيْهِ السَّلاَمُ وَهُوَ ابْنُ ثَمَانِينَ سَنَةً بِالْقَدُومِ


Fitrah mempunyai banyak pengertian.
• Pecah (الفطر - الشق).
• Menciptakan tanpa ada contoh sebelumnya (الاختراع والابتداع). Iaitu Allah menciptakan alam ini tanpa ada panduan daripada template atau sample sebelum ini.
• Naluri (الجبلة والطبع)
• Sistem yang diciptakan oleh Allah.
• Kejadian (الخلقة)
• Agama


Thursday, December 11, 2008

Beberapa hukum hakam korban


Beberapa hukum yang berkaitan dengan korban yang disampaikan oleh seorang ustaz, di Masjid Changkat Jering, Taiping di Perak pada malam hari raya kedua.


  • Tidak boleh agihkan daging korban kepada orang kafir
  • Lafaz tawkil. Perlu menggunakan lafaz tawkil menghasilkan korban, bagi mengelakkan sekiranya orang yang diwakilkan itu keuzuran. Maka ia boleh menyerahkan tugasan itu kepada orang lain.
  • Tidak sah mengadakan kenduri dengan daging korban, melainkan dibagi sekilo kepada seorang fakir miskin dalam bentuk mentah
  • Tidak perlu tanam tulang belulang kerana ia memang menjadi makanan binatang yang lain seperti anjing . Cuma menanam tulang itu untuk mengelak daripada bau busuk sahaja.
  • Sah melakukan sembelihan daripada terbit matahari hari raya haji hingga waktu maghrib hari tashriq yang terakhir.
  • Takbir hanya ketika selepas solat sahaja, sama ada fardu atau sunat.
  • Takbir ketika proses penyembelihan dilaungkan oleh seorang sahaja, bukan secara beramai-ramai.
  • Aqiqah boleh dilakukan ketika dewasa, walaupun lebih dari sekali
  • Korban dilakukan untuk orang yang telah meninggal dunia sekiranya diwasiatkan dan ketika itu korban itu menjadi nazar
  • Cukup sebagai nazar apabila menyebut atau sambil menunjukkan kepada lembu ”aku nak korbankan lembu ini”



    Terasa ingin mengulas (munaqashah) beberapa perkara yang disebut oleh ustaz itu. Tetapi memandangkan tugasan yang hampir melepasi dan ada yang telah melepasi dateline, maka terpaksa memberi keutamaan kepada tugasan tersebut.

Friday, December 5, 2008

Kalau ada campur Cina dan India, susah la sikit.

Seringkali terdengar kata-kata

“Tempat aku semuanya orang Islam, senang sikit. Tapi kalau ada campur Cina dan India, susah la sikit. Kena raikanlah mereka”. 

“Tak boleh lah semua nak ikut kita (Islam), mereka pun kena raikan juga”


Apabila timbul perkataan meraikan ini, maka kita akan merujuk kepada pandangan dan permintaan mereka yang tentunya berasaskan kepada akal semata-mata. Persoalannya, adakah Islam menolak pandangan mereka dan menghalang kebebasan mereka (beragama, mendapat pendidikan, bersosial dll) ? Tidak sama sekali. Islam menjamin semua itu.

Apakah kita tidak yakin bahawa Islam merupakan agama yang betul, lengkap, sejahtera dan sebagainya? Ia tidak sekadar untuk orang Islam sahaja, bahkan keadilan Islam turut untuk orang bukan Islam?


Dimanakah akidah kita kepada ayat al-Quran yang menegaskan bahawa


وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Sesiapa yang mencari selain daripada Islam sebagai agama, maka ia tertolak.
Surah ali Imran (85).


وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى
Janganlah disebabkan pemusuhan kamu dengan sesuatu kaum lain, menyebabkan kamu tidak berlaku adil.
Surah al-Maidah (9)


لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنْزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ
Sesungguhnya kami telah utuskan rasul2 kami dengan keterangan dan kami telah turunkan kepada mereka kitab dan timbangan untuk mereka mendirikan keadilan.
Surah al-Hadid (25)


وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ
Jangan kamu berasa hina dan dukacita lantaran kamu itu hebat dan tinggi, sekiranya kamu benar-benar beriman.
Surah ali Imran (139).

Bagaimana kita ingin menerangkan kepada mereka dari sudut hukumnya dan rasionalnya.

Pengharaman arak, judi, dll.
Pengharaman Pengkid.
Pengharaman rokok.


Soalnya, kenapa orang boleh terima pengharaman dadah, tidak arak.


Apa kata SiSter in Islam. Klik sini


Seringkali masyarakat majmuk dipersalahkan lantaran tidak menguatkuasakan undang-undang Islam. Mengapa kita tidak mengambil sikap memperjelaskan ajaran Islam kepada masyarakat. Mengapa hubungan antara Islam dan bukan Islam di Malaysia ini telah berjalan begitu lama, tetapi kenapa mereka masih gagal atau kita gagal memahamkan mereka dengan ajaran Islam.

Inilah yang disebut bahawa kepelbagaian dalam masyarakat itu (plurality), lebih cenderung kepada sekularisme iaitu tidak lagi perlu kepada agama. Sila lihat buku,

Anis Malik Thaha (2005) Tren Pluralisme Agama: Tinjauan Kritis , Jakarta: Perspektif-Gema Insani Press.

Maka inilah yang termasuk dalam ilmu akidah semasa, yang menjelaskan isu ketuhanan dan kepercayaan orang Islam terhadap agama mereka dari berdasarkan kepada permasalahan semasa. Bukanlah akidah itu hanya tentang sifat tuhan sahaja (sifat dua puluh), tetapi ia meliputi semua aspek keyakinan kita kepada ketuhanan, keyakinan terhadap Islam sebagai panduan hidup, dan keyakinan bahawa semua urusan ini adalah dengan kuasa Allah.

Mungkin ada orang akan kata “Ustaz, biarlah realistik”

Abuirfan.

Tuesday, December 2, 2008

Korban (melayu) VS Perjuangan (Jihad)

Ketika musim Hari Raya Haji dan juga dikenali dengan Hari Raya Korban, orang Islam berlumba-lumba untuk menjayakan ibadat ini. Seringkali surau dan masjid berlumba-lumba untuk mendapatkan penyertaan terbanyak untuk ibadah korban di kalangan ahli kariah masing-masing. Malah ada ajk atau jemaah surau yang berbangga dengan jumlah korban yang diadakan ditempatnya yang melebihi 5 atau 10 ekor.

Sesentengah tempat pula, pihak ajk membuka tabungan sejak awal tahun lagi dengan kadar tertentu dan ketika sampai bulan zulhijjah, sejumlah RM350 telah pun siap terkumpul untuk tujuan korban. Maka ini tidak menyulitkan kepada para jemaah untuk menghulurkan sekaligus terutamanya pada hujung tahun. Alhamdulillah, ini adalah amalan baik oleh orang Islam di Malaysia dalam melaksanakan ibadat yang telah diasaskan oleh Nabi Ibrahim AS dan patut untuk diteruskan.



Namun, kita perlu untuk membezakan antara ibadat korban dengan pengorbanan kerana agama seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS.

Korban adalah perkataan daripada Bahasa Arab yang membawa makna “dekat”, yang berasal daripada parkataan Qurban (قربان). Ini bermakna ibadat korban yang dilakukan itu adalah bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Menurut hadis, pahala orang yang melakukan korban itu besar iaitu mendapat pengampunan dari Allah sebelum darah haiwan itu menerjah bumi.

Pengunaan ini dalam bahasa melayu ini dipercayai diambil daripada ayat quran yang mengisahkan dua orang anak nabi Adam yang mengemukakan Qurban. Salah seorang daripada mereka diterima, dan seorang lagi ditolak. Namun, dalam membicarakan bab sembelihan ini, para ulama tidak menggunakan perkataan qurban tetapi menamakan dengan udhiyyah (أضحية). Ia perkataan yang lebih specific maknanya yang merujuk kepada ibadat korban sembelihan, tetapi orang melayu menggunakannya merujuk kepada hari raya adha.

Masalahnya ialah, sesetengah orang mungkin berasa sudah berpuas hati dengan ibadat korban yang dilakukan kerana ia telah memenuhi tuntutan Islam dan tidak perlu lagi bersusah payah kerana agama. Inilah masalah apabila terjemahan daripada perkataan arab itu membawa maksud yang berbeza dengan bahasa melayu. Mungkin perkataan “korban” yang digunakan dalam bahasa melayu itu patut untuk ditambah dengan “korban sembelihan” untuk lebih menjelaskan makna korban disini ialah ibadat sembelihan.

Korban dengan erti “sanggup bersusah payah demi agama” yang dalam bahawa arabnya ialah Jihad.

Sesiapa yang berkorban, pasti akan terkorban.

Nabi Ibrahim benar-benar berjihad dan bersusah payah kerana mengorbankan perasaannya kerana menuruti perintah Allah. Dia telah yakin dengan janji Allah.

Abuirfan.