Thursday, December 24, 2009

Janji syurga bukan method dakwah kepada orang kaya?

Ketika pembentangan syarahan perdana oleh seorang Profesor daripada Indonesia di UKM pagi tadi, beliau berpandangan bahawa menjanjikan keindahan syurga kurang sesuai untuk dijadikan wasilah dakwah kepada non Muslim yang sudah selesa seperti mereka yang berada di barat. Keselesaan dan kesenangan yang ada pada mereka buat masa ini dan jangkaan pada masa hadapan meletakkan keselesaan mereka telah sampai ke kemuncaknya. Kalau nak dijanjikan dengan bidadari, mereka boleh dapatkan perempuan dengan apa sahaja rupanya, warna kulitnya, jenis rambutnya dan sebagainya. Kalau disebut kenderaan, mereka boleh memiliki kenderaan yang cukup canggih pada masa ini, bukan sahaja cepat tetapi dengan kos yang minima. Dengan kata lain, kalau kita menyebut kesenangan dunia, mungkin mereka rasa apa yang mereka peroleh itu sudah selesa bagi mereka dan kurang menarik minat mereka.

Sungguhpun apa yang dijanjikan oleh Allah Taala itu jauh daripada apa yang ada di atas muka bumi ini, tetapi orang yang sudah selesa dengan keadaan material (kalau benarlah), method dakwah menerusi janji syurga tidak sesuai untuk mereka. Walau bagaimanapun, ini masih lagi belum sebagai satu teori, tetapi ia masih lagi hipotesis yang perlu dibuktikan dengan kajian.




Monday, December 14, 2009

DAKWAH ASAS HUBUNGAN MUSLIM DAN NON MUSLIM

Abstrak
Kertas ini menghujahkan bahawa hubungan antara muslim dan non Muslim perlu didasari dengan dakwah iaitu segala perkataan, tindakan, keputusan dan sebagainya mestilah dapat memberi political mileage kepada dakwah. Terdapat dua tahap tugasan dakwah yang perlu digalas oleh seorang Islam iaitu fardu ain dan fardu kifayah. Pada tahap pertama, seorang Muslim perlu untuk menggunakan semua anggota badannya termasuk harta atau apa jua yang dimilikinya berdasarkan panduan yang digariskan oleh Islam. Pada tahap kedua, semua orang Islam perlu mengadakan usaha dakwah yang terancang dan lebih tersusun bagi mencapai matlamat dakwah. Menerusi kedua-dua tahap dakwah ini, maka hubungan Muslim dengan non Muslim tidak sepatutnya sunyi daripada dimensi agama, sekurang-kurangnya menyimpan keazaman untuk menyampaikan dakwah sama ada secara langsung atau pun sebaliknya.

Kertas Kerja yang akan dibentangkan dalam Seminar Antarabangsa Dakwah dan Multi Etnik. 22 dan 23 Disember, UKM.





Friday, November 20, 2009

Wahabi / salafi bukan ASWJ?

Salafiyyah/ wahabiyyah bukanlah aliran terkeluar daripada ASWJ kerana hadis firqah 73 tidak menjelaskan dengan detail siapakah ciri ASWJ melainkan baginda menyebut cirinya ialah "apa yang aku dan sahabatku berada di atasnya".

Sekiranya terkeluar daripada ASWJ, apakah kategori mereka?
Kafir?
Munafiq?
Ahli bid'ah?

Selagi mereka berlaku khilaf dalam skop yang dibenarkan maka tidak ada masalahnya.

Sebagaimana sifat 20 yang tidak mempunyai dalil yang khusus dan pembahagian tauhid kepada 3 pun tidak mempunyai dalil yang khusus melainkan ke semua itu merupakan ijtihad para ulama maka "Ijtihad tidak boleh dirungkai dengan ijtihad".

Kata Imam al-Ghazali di dalam Munqidh, sifat 20 sebagai ubat yang perlu digunakan kepada mereka yang perlu.

Cuma apa yang menjadi masalah kepada aliran salafi / wahabi ini ialah pendekatan yang dianggap keras dan sesetengahnya melampau. Sebahagian mereka kurang meraikan keadaan dan uruf masyarakat di dalam membawa perubahan. Sungguhpun difahami bahawa perubahan itu perlu dibayar, tetapi janganlah harga itu sehingga tidak mampu dibayar oleh masyarakat sehingga pengguna menganggap penjual itu mencekik darah. Berpadalah ketika menjual barangan.

Dengan kata lain, pelampau ashairah pun bermasalah manakala pelampau salafi/ wahabi pun bermasalah.

Apa yang difahami daripada perbincangan di dalam bab akidah, penggunaan ASWJ merujuk kepada aliran perdana umat Islam di dalam bab aqidah, fiqh dan tasauf. Manakala yang tidak mengikuti ASWJ tidak semestinya sesat. Cuma janganlah mengeruhkan suasana masyarakat yang ada.





Tuesday, November 17, 2009

ASWJ blanket menolak wahabi?

ASWJ kini difahami sebagai suatu blanket yang memasukkan mereka yang beraliran akidah asha’irah dan maturidiyyah; dan menolak pendekatan lain di dalam memahami akidah.

Intipati pendekatan asha’irah dan maturidiyyah berasaskan kepada akal dan naqal – bukan intipati mereka berasaskan kepada sifat 20. Manakala intipati pendekatan salafiyyah / wahabiyyah berasaskan kepada naqal dan mengkesampingkan akal di dalam memahami akidah.

Oleh sebab itu, aliran salafiyyah / wahabiyyah dianggap oleh sesetengah pihak terkeluar daripada ASWJ apatah lagi apabila mereka menggunakan blanket ASWJ apabila tidak bersetuju dengan aliran salafiyyah / wahabiyyah.

Memang kedua-dua aliran tidak dapat disatukan apabila masing-masing berkeras mengatakan bahawa mereka adalah ASWJ. Aliran salafiyyah / wahabiyyah juga mengganggap diri mereka ASWJ kerana pegangan mereka terhadap al-Quran dan al-Sunnah. Sampai bila pun kalau begitu, kedua aliran asha’irah/maturidiyyah dan salafiyyah / wahabiyyah tidak dapat disatukan.

Kemunculan ASWJ di peringkat awalnya adalah hasil tindak balas terhadap aliran rasional muktazilah yang lebih berpegang dengan akal di dalam memahami akidah dan nas. Kumpulan salafiyyah/ wahabiyyah yang berasaskan kepada Imam Ahmad bin Hanbal pun berusaha mempertahankan akidah sehingga Imam Ahmad banyak kali dipukul kerana mempertahankan akidah kalam Allah itu qadim. Manakala Imam Asha’ari yang muncul selepas itu telah mendapat idea baru untuk menentang muktazilah dengan menggabungkan aspek akal dan nas. Pendek kata, ASWJ merupakan mazhab di dalam akidah yang bertujuan untuk mempertahankan akidah umat Islam pada masa itu.

Perbezaan antara aliran asha’irah/maturidiyyah dan salafiyyah/ wahabiyyah adalah daripada aspek etimologi.


Artikel berkaitan http://myfaisalonline.blogspot.com/2009/04/kewajipan-menyertai-jamaah-al-muslimin.html

Sila klik juga disini. Artikel yang memuatkan perbincangan tentang "Komitmen kepada Jemaah Muslimin" termasuk ASWJ.





Sunday, November 15, 2009

Penyemaian Pemikiran khurafat dan tahayul oleh Media Massa

Cerita misteri dan hantu lambang kemunduran

Setelah Islam bertapak di Nusantara, sedikit sebanyak kepercayaan tahayul dan khurafat seperti pemujaan kepada keramat; amalan memuja kampung dan semangat padi; memohon kepada roh wali; bintang dua belas penentu nasib; bomoh boleh mengetahui alam ghaib; bulan Safar bulan bala; suara burung hantu membawa pertanda malang; benda yang pecah menjadi petanda belaku perkara yang tidak baik; cara uri ditanam akan mempengaruhi kehidupan anak yang baru dilahirkan; kucing hitam yang melintas membawa pertanda buruk; nombor 13 membawa sial dan 1001 kefahaman masyarakat telah dapat dinyahkan.

Anehnya, dalam keadaan masyarakat masih belum bersih sepenuhnya daripada belenggu pemikiran dan amalan tahayul dan khurafat itu, kedapatan pula media elektronik yang cuba menyuburkan semula pemikiran dan amalan tahayul dan khurafat ini melalui filem dan drama TV. Sejak kebelakangan ini, didapati begitu banyak penayangan filem-filem dan drama-drama berunsurkan seram dan mistik bertemakan hantu, jin dan syaitan.

Terfikirkah kita kenapa anak-anak zaman sekarang takut nak ke tandas kalau tidak ditemani oleh Ibu bapa? Kalau tidak pengaruh media massa masakan jadi begini! Dan jangan terkejut jika generasi masa depan adalah generasi yang penakut hantu dan lebih mengenali hantu daripada Tuhannya.

Pemikiran tahyul dan khurafat ini bukan sahaja tersebar melalui media elektronik, malah media cetak juga turut memainkan peranan menanam pemikiran ini. Hal ini jelas terbukti apabila terdapat sesetengah majalah, akhbar dan tabloid yang memberikan ruang yang cukup selesa untuk paparan cerita-cerita misteri, hantu itu dan ini, sejarah puaka di sana sini dan bermacam-macam lagi.

Sebenarnya kepercayaan kepada tahayul dan khurafat ini melambangkan kemunduran dan tidak bertamadun.

Pertama: Orang yang mengamalkan kepercayaan ini terdiri di kalangan masyarakat yang mundur lantaran pendedahan terhadap ilmu sains yang sangat terhad. Ini membawa kepada kepercayaan kepada khurafat apabila sesuatu fenomena alam berlaku. Sebagai contoh, bunyi guruh dipercayai berpunca daripada dewa atau hantu yang sedang marah sedangkan penemuan sains mendapati bahawa bunyi itu disebabkan oleh cahaya yang melintasi ruang udara. Maka terhasillah bunyi yang kuat seperti apabila kita menghayunkan sebatang lidi di udara. Masyarakat yang bertamadun dan maju tidak mudah mempercayai perkara khurafat kerana mereka sering mempersoalkan rasional disebalik sesuatu perkara. Sebagai contoh, kencing ditepi pinggir hutan perlu meminta izin daripada ”tok” kerana takut dimarahi oleh penunggu. Apa perlunya berbuat demikian kerana kuasa memudaratkan itu adalah dari Allah, bukan penunggu.

Kedua: Pengamalan kepercayaan ini turut berpunca daripada kekurangan teknologi dan kekurangan sumber manusia yang menyebabkan manusia terpaksa bergantung kepada pertolongan jin (baca: hantu raya, toyol dan sebagainya). Sebagai contoh, untuk membuka ladang padi huma memerlukan kepada tenaga yang begitu banyak untuk menebang pokok, membakar kayu, menebas dan sebagainya. Mahu tak mahu, orang-orang dulu terpaksa bergantung kepada tenaga jin. Begitu juga mereka terpaksa bergantung dengan bomoh/pawang yang sebahagian mereka itu menggunakan jin kerana tiada/kurang kemudahan klinik.

Selain itu, meminta tolong daripada jin hanya akan menambahkan lagi kebergantungan kepada dunia misteri ini dan membawa jauhnya manusia daripada Allah. Ini berbanding apabila menggunakan ayat al-Quran atau minta tolong dengan pengamal perubatan traditional yang berasaskan al-Quran. Pergantungan adalah kepada Allah.

Melambakkan filem dan cerekarama bertemakan jin, misteri dan hantu seperti bawang putih bawang merah, susuk, bunian dan sebagainya seolah-olah ingin membawa masyarakat kepada kemunduran di dalam fikiran. Sungguhpun ia bersifat hiburan tetapi sejauh mana pendedahan lakonan tahayul dan khurafat ini mampu mengajar masyarakat. Apakah ianya mengajak masyarakat menjauhinya atau lebih terpengaruh ke arahnya?

Sebagai umat Islam, kita perlu percaya dengan alam ghaib termasuk jin dan syaitan. Hantu tergolong dalam kelompok jin. Namun kegahirahan untuk menyingkap rahsia jin dan hantu tidak membantu mengembangkan minda masyarakat. Sebaliknya menghanyutkan masyarakat dengan perkara yang kurang berfaedah dan boleh menjejaskan akidah umat Islam. Apa akan berlaku kepada akidah umat Islam jika cerita-cerita begini terus disebarkan di kalangan masyarakat dan diberikan ruang pula oleh pihak media? Tepuklah dada, tanyalah iman. Selamatkan keluarga anda!





Saturday, November 7, 2009

Siapakah Islam moderate

Umat Islam menghadapi cabaran yang amat hebat di abad ke 21. Mereka yang seringkali disinonimkan dengan kemunduran, kejumudan dan kemiskinan menjadikan mereka inferiority complex dengan pencapaian yang diperolehi oleh dunia barat. Suatu perasaan berbangga dengan dunia barat yang entah dimana datangnya semacam menjadi fitrah kepada umat Islam. Sedangkan pencapaian dunia barat ialah bersumberkan kepada kemajuan yang telah dicapai oleh dunia Islam suatu masa dahulu. Namun, itu adalah zaman silam. Bagaimana pula dengan umat pada masa ini?

Pada masa ini, dunia barat telah menjadikan akal sebagai asas kemajuan mereka dan menjadikan rasional sebagai asas dalam berfikir. Mereka menolak wahyu kerana bagi mereka semua yang berlaku di alam ini bersifat semula jadi tanpa penciptanya. Oleh sebab itu, teori Darwin amat penting di dalam kerangka ilmu barat bukan disebabkan oleh kepercayaan mereka kepada teori manusia berasal daripada beruk, tetapi percaya dengan teori evolusi. Teori ini cuba menghasilkan suatu dokrtin bahawa alam ini terjadi dengan sendiri tanpa ada pencipta. Teori sains yang mereka temui, seperti newton dan graviti bukanlah kuasa tuhan, tetapi ia adalah kuasa semula jadi. Maka apabila belajar sains, ekonomi, politik, fizik dan sebagainya, tanpa unsur ketuhanan di dalamnya.

Mereka mengagungkan akal. Ya, untuk memajukan dunia ini kita memerlukan kepada akal yang brilliant untuk mencipta teknologi. Teknologi ialah sains gunaan yang mengambil teori asas sains untuk merekacipta alat, benda dan sebagainya untuk memudahkan kehidupan manusia. Sebagai contoh, kereta digerakkan oleh kuasa haba yang terhasil menerusi pembakaran minyak di dalam silinder. Haba ialah sains (cerapan terhadap alam tabie). Manakala kereta adalah teknologi kerana ia merupakan aplikasi daripada sains.

Apa yang berlaku di dalam orientasi pengajian/ pemikiran Islam?

Pertama
Terdapat di kalangan ilmuan Islam yang menolak pengajian ilmu sains, ekonomi dan sebagainya atas alasan bahawa itu adalah sekular. Manakala pengajian hadis, fiqh, quran dan sebagainya adalah bersifat Islam. Ini telah mendorong suatu pemikiran yang membwa padah di dalam masyarakat apabila pembelajaran sains, ekonomi, psikologi dan sebagainya tidak membawa pahala. Semua itu ilmu dunia sahaja. Bukan akhirat. Sedangkan akhirat itu ialah perkara yang bawa pahala manakala dunia itu tidak bawa pahala.

Kedua
Sebahagian institusi pengajian Islam dan sebahagian cara berfikiran ilmuan Islam kurang menumpukan kepada kemampuan akal dan tidak menggunakannya secara maksimum dalam memahami wahyu untuk digunakan sesuai dengan keperluan semasa. Mereka memahami wahyu dan menerimanya secara mutlak tanpa berfikir kenapa dan mengapa. Pemikiran ini dari satu sudut bagus untuk menjaga warisan Islam dan untuk menyelongkar khazanah Islam. Namun, mampukah pendekatan seperti ini untuk membangunkan masyarakat dan seterunya membawa kemajuan kepada dunia.

Sebagai contoh, di dalam pengajian dakwah kebanyakan kitab-kitab di dalam bahasa arab dan juga kajian yang dilakukan di tanah arab, tumpuan banyak diberikan kepada memahami method dakwah di dalam al-Quran dan Hadis. Namun, kajian yang berusaha memahami manusia (sasaran dakwah), aplikasi dakwah dan penerimaan dakwah oleh manusia kurang mendapat tempat. Jawapannya mudah, iaitu kerana kajian di atas adalah bersumberkan wahyu manakala kajian terhadap manusia berasaskan akal (cth: Pemerhatian, soal selidik, interview). Untuk memastikan dakwah Islam dapat dilaksanakan dengan baik, kajian terhadap manusia turut perlu diberi perhatian agar ia kukuh di sudut teori dan di sudut pelaksanaan.

Ketiga


Bersambung ....






Monday, November 2, 2009

Kuasa puncak segala nafsu?

Di dalam al-Quran, semua gerakan dakwah yang dipimpin oleh para nabi dan rasul terdahulu berhadapan dengan pemimpin atau pemuka kaum mereka. Kadang kala al-Quran menyebutkan nama mereka secara jelas seperti firaun dan adakalannya al-Quran hanya menyebut secara umum seperti al-mala’ min qawmihi.

Kenapa pembesar-pembesar negara merupakan pihak yang memusuhi dakwah?

Adakah disebabkan hanya mereka itu pembesar? Dengan demikian itu, semua pembesar termasuk di Malaysia ini sama ada pembangkang atau kerajaan merupakan pihak yang memusuhi dakwah?

Jawatan sebagai pembesar atau kerajaan merupakan jawatan yang diidamkam oleh ramai orang, malah seringkali menjadi rebutan sehingga sampai sanggup membunuh. Mempunyai kuasa, bermakna mempunyai wanita, wang, kereta, rumah dan segala bentuk kemewahan. Ada orang yang sudah kaya, tetapi masih lagi berebut untuk mendapatkan kuasa. Ia bukan soal kaya, tetapi nafsu yang ingin dihormati dan dipandang hebat.
Oleh sebab itu, kuasa merupakan klimaks kepada semua keinginan manusia dan intipati kepada nafsu manusia.

Maka tidak hairanlah mereka yang seringkali memusuhi dakwah terdiri di kalangan orang yang mempunyai kuasa lantaran berkuasa itu maknanya bernafsu. Sebagaimana yang kita maklum, nafsu itu adalah liar dan sentiasa muda. Oleh itu, apa yang disyorkan oleh Islam dan dakwah seringkali bertentangan dengan pihak berkuasa kerana mereka berhawa nafsu.

Namun begitu,
1. Nafsu itu tidak salah, malah ia penting. Yang salahnya apabila kita melarut mengikut kehendak nafsu. Akal dan quran diletak di belakang.
2. Tidak semua penguasa/ orang yang berkuasa itu menentang dakwah. Bagi mereka, usaha merebut kuasa daripada orang bernafsu itu penting bagi memastikan Islam dapat dijalankan dan syariat Islam dapat ditegakkan. Mereka bukan gila kuasa, tapi merebut kuasa daripada orang gila.





Saturday, October 24, 2009

Pemikiran Sufi VS Pemikiran Dakwah

Pemikiran sufi merupakan pemikiran yang mengajak tuannya agar jadi orang baik dan rajin buat amal ibadat. Ia banyak memberikan tumpuan kepada peningkatan kerohanian untuk diri sendiri dan agak kurang menumpukan kepada aspek memastikan persekitaran dan kehidupan manusia mengikuti ajaran Islam. Oleh sebab itu, beruzlah merupakan sebahagian daripada manifestasi kepada pemikiran ini.

Fenomena ini telah menjadi sebagai sebahagian daripada pegangan kepada masyarakat Islam di Malaysia sehingga menyebabkan usaha mengajak manusia kepada kebajikan dan menentang kemungkaran kurang mendapat perhatian.

Oleh sebab itu, pelajaran di masjid tentang sabar, syukur, ikhlas, taat dan sebagainya ; begitu juga dengan pengajian yang berkaitan dengan solat, puasa, zakat dan haji menjadi silibus utama di masjid. Manakala, subjek yang berkaitan dengan perundangan Islam, ideologi semasa dan pelaksanaan ajaran Islam jarang sekali mendapat tempat dalam pengajian di masjid/surau. Apabila disebut tentang perkembangan semasa, maka terus dianggap sebagai mencampuradukkan politik dengan agama di dalam masjid. Politik itu kotor..

Kelihatan dalam suasana masyarakat moden yang mementingkan diri sendiri pada hari ini, pemikiran sufi terus mendapat tempat di kalangan sebahagian orang Islam. Sebagai contoh, peningkatan program motivasi diri dan kerjaya yang mendapat tempat dihati masyarakat sehingga ada yang sanggup mengeluarkan duit beribu ringgit.

*Pemikiran sufi berbeza dengan orang sufi yang mempunyai pemikiran dakwah. Ramai juga orang berfikiran sufi, tapi bukan orang sufi.




Wednesday, October 14, 2009

Persamaan antara salafi dan liberal

Pendekatan kelompok salafi dalam memahami nas ialah dengan cara yang agak literal.* Oleh itu, perkataan yang selalu dikeluarkan oleh mereka “selagi mana terdapat dalam nas” iaitu secara jelas. Manakala pandangan para para ulama agak kurang dipandang kerana pandangan mereka bukanlah nas. Malah sebahagian mereka menolak pendapat dan keupayaan ulama silam apabila tidak memilih pandangan yang mereka tarjihkan.

Pendekatan kelompok liberal ialah menolak nas yang bertentangan dengan apa yang rasional bagi mereka. Mereka juga menolak pandangan ulama kerana bagi mereka tiada keistimewaan bagi ulama dan pandangan ulama ini hanyalah hasil daripada cerapan terhadap suasana pada zaman mereka. Kini zaman telah berubah. Apa lagi perlu kepada mereka. Mereka menolak autoriti ulama kerena mereka juga adalah manusia biasa dan pandangan itu bukan hukum Allah.

Antara salafi dan liberal ada semacam persamaan iaitu menolak autoriti ulama. Walaupun salafi berbeza dengan liberal dari sudut menerima nas. Kelompok liberal menggunakan kesempatan memunggah semua pandangan ulama silam untuk menghentam ulama dan langsung menolak autoriti mereka. Sila lihat disini.


*Banyaklah isu yang timbul daripada sini kerana sikap berkeras mereka dalam hal ini seperti contoh yang paling mudah dalam masalah baca Yaasin dan sebagainya. Bagi mereka amalan ini tiada di dalam Islam dan dianggap sebagai bid’ah. Maka hadis yang selalu disebut-sebut “bahawa semua bid’ah itu sesat”.

Saya hanya memberikan contoh. Saya menerima pandangan bahawa amalan bacaan Yasin nabi tak buat pada malam Jumaat dan bukanlah matlamat amalan ini sekadar baca Yasin. Yang lebih penting daripada itu ialah bagaimana menggunakan amalan ini sebagai medium dakwah. Kenapa tidak selepas baca Yasin itu, diteruskan dengan kuliah tafsir surah Yasin.





Sunday, October 11, 2009

Berjuang Islam dapat apa? Main bola dapat apa?

Hakikat sebuah perjuangan, perlu berkorban. Dengan itu, akan terkorban. Kalau rasa sudah berjuang, tapi masih belum lagi terkorban masa, wang ringgit, tenaga dan sebagainya, belum lagi berjuang.

Berjuang = jihad.

Ada orang tanya, "Berjuang Islam dapat apa?. Bukannya dapat duit atau dapat bantuan pon.

Saya tanya dia balik. "Orang berhempas pulas main bola tu dapat apa?". Rebut benda sebijik sampai 22 orang. Kalau dibelah bola itu, apah pun tak de. Tapi kenapa orang main dan rasa seronok?. Letih kemain pulak tu.

Inilah ukuran material yang digunakan oleh sebahagian manusia. Tahu nak dapat benda sahaja. Dia tak sedar bahawa di dalam dunia ini, banyak benda yang orang buat tetapi habuan yang diperolehi itu tidak nampak dengan mata kepala. Ia nampak dengan perasaan, mata hati dan sebagainya.

Termasuklah perkara pahala. Yang hanya dikejar oleh mereka yang mempunyai keimanan dan ketakwaan kepada Allah sahaja.





Sunday, October 4, 2009

Dr. Asri kritik Umno secara terbuka

Dr. Asri kata:
Saya ingin bertanya, apakah kita dengar seorang ibu atau bapa menyebut: ‘anak saya dulu lemah pegangan Islamnya, atau kefahaman Islamnya, tetapi sekarang menjadi muslim yang baik penghayatan dan kefahamannya kerana aktif dalam UMNO?!. Atau anak saya dahulu kurang kefahaman agamanya tetapi selepas aktif UMNO, dia lebih memahami Islam yang sebenar. Sila klik.

Atas sebab itu jugak ke, Tan Sri Isa Samad masih lagi dipilih sebagai calon Bagan Pinang?

Saya ada juga ada dengar orang kata:
Kalau nak berniaga, biar ikut cara Umno tapi kalau nak beribadat, biar ikut PAS. (Emmm, betul ke?)







Friday, September 25, 2009

Sedekah biarlah ditempat yang perlu

Terdapat fenomena sedekah sejadah ke masjid dan surau yang kadang kala sedekah itu membawa beban kepada pihak pengurusan masjid untuk menyimpan sejadah itu. Malah dalam sesetengah kes masjid dan surau memerlukan kipas atau lampu. Tetapi sedekah yang diperolehi adalah sejadah. Bukan tidak boleh sedekah sejadah, tetapi biarlah bertempat dan sebaiknya bertanya kepada pihak pengurusan masjid atau surau apa yang mereka perlukan agar tidak memberi sedekah barangan yang tidak diperlukan.

RM10 yang diberikan kepada orang yang susah dan kelaparan lebih bermakna dan berharga kepada penerimanya daripada memberi kepada masjid yang sudah kaya malah disubsidikan oleh kerajaan.

Bijaksanalah memberikan sedekah anda agar penerima sedekah itu benar-benar mendapat manfaat daripada sedekah yang diperlukan.


Gambar kiosk sedekah orang zaman moden.






Sunday, September 13, 2009

Tudung - Sumbangan Menjelang Idilfitri

Menjelang Idilfitri ini ramai di kalangan orang yang berada mahupun di kalangan ahli politik memberikan sumbangan kepada ibu tunggal, anak yatim, fakir miskin dan sebagainya. Sumbangan-sumbangan yang biasa diberikan ialah berupa beras, minyak, susu, gula dan sebagainya termasuk wang ringgit dan pakaian baju raya.

Antara bentuk sumbangan yang ringkas bermodal kecil tetapi boleh memberikan impak besar kepada dakwah ialah sumbangan tudung. Sejak dua menjak ini, menjadi trend wanita masa kini memakai tudung Indonesia. Orang kata ala Ibu Airini (pelakon drama bersiri Indonesia “Bonda”), saya kurang pasti.

Sumbangan yang disampaikan dalam bentuk tudung, katakan sebanyak 50 helai kepada 50 orang penduduk sesebuah kampong, sekiranya 10 orang sahaja yang memakai tudung itu sempena Idulfitri ini, penduduk kampong itu pasti akan saling bertanya. Di mana dapat, sapa yang bagi, dll. Ia tidak sekadar dapat memberikan political mileage kepada pemberinya malah ia boleh menyuntik budaya Islam bertudung di dalam sesebuah masyarakat itu.

Harganya tidaklah mahal. Sekiranya dibeli secara bundle yang berisi 20 helai, ia hanya RM90 atau RM4.50 sehelai. Jika diberli secara runcit harganya antara RM 10- 15. Ini harga Jalan Tengku Abdul Rahman (TAR). Ini untuk harga tudung yang kosong. Kalau berwarna warni tu, ada yang mahal dan ada yang lebih murah lagi. Kalau ada value added dengan sulaman, manic dll, lagi mahalla.

Ini tidak bermakna, tidak lagi perlu untuk bagi beras. Tetapi beras pun bagi, tudung pun bagi. Dengan modal RM4.50, dia akan pergi jaja di sekeliling kampong dengan satu budaya yang baik.

Ini sekadar lontaran idea sahaja.

Apa yang penting di dalam dakwah ialah hikmah yang antara lain membawa maksud convincing dan influencing.







Cerai talak satu dengan Terawih di hujung Ramadan.

Berada dalam bulan puasa ini macam orang baru kawin. Kentut pun wangi. Bukan main seronok lagi.


Macam la dengan solat terawih di Masjid, mula2 penuh dan melimpah lagi. seronok bukan main macam orang baru kawin. Tiap2 malam .... pergi masjid da.

Tetapi hanya pada 10 yang pertama. Bila menjelang 10 yang kedua, mula letih dan cemuih. pergi masjid pun berselang seli. Menjelang pula 10 yang ketiga, langsung tak pergi masjid dah, macam cerai bini talak satu.

Kahwin 10 hari sahaja. :)





Friday, September 11, 2009

Makna Fitrah - Zakat fitrah dan Idilfitri

Zakat fitrah ialah mengeluarkan kewajipan zakat setelah kewajipan berpuasa berakhir dan tidak lagi berpuasa.
(الفطر) maksudnya berbuka.

Fitrah mempunyai banyak pengertian.
1. Pecah (الفطر - الشق).
2. Menciptakan tanpa ada contoh sebelumnya (الاختراع والابتداع). Iaitu Allah menciptakan alam ini tanpa ada panduan daripada template atau sample sebelum ini.
3. Naluri (الجبلة والطبع)
4. Sistem yang diciptakan oleh Allah.
5. Kejadian (الخلقة)
6. Agama

Islam merupakan agama yang bersifat fitrah kerana Allah menjadikan manusia sedia menerima perundangan dan peraturan yang terdapat di dalam Islam. Oleh kerana beragama itu merupakan fitrah kepada manusia, maka manusia mencari dan tercari-cari panduan yang bersesuaian dengan manusia, sesuai dengan jiwa dan sifat kemanusiaannya.

Manusia memerlukan kepada makanan, pakaian dan tempat tinggal dan ia tidak dapat hidup tanpa ada tiga perkara ini. Maka manusia bekerja keras di dalam kehidupannya mencari tiga keperluan ini, bahkan ia cuba sampai ke tahap kepuasan semaksimumnya dalam usaha mendapatkan keperluan ini.

Kesemua itu fitrah, kerana
tiada manusia yang tidak memerlukan kepada makanan dan minuman,
tiada manusia yang tidak memerlukan kepada tempat tinggal,
tiada manusia yang tidak memerlukan kepada seks,
tiada manusia yang tidak memerlukan kepada pakaian,
tiada manusia yang tidak memerlukan kepada pekerjaan,
tiada manusia yang tidak memerlukan kepada pengangkutan,

Kalau ada orang yang menolaknya, kita akan kata orang ini gila, bodoh, nak mampus, baghal dan sebagainya kerana ia menolak sesuatu yang menjadi keperluan kepadanya.

Begitu juga, kalau orang menyalah gunakan keperluan itu seperti melakukan seks dengan binatang, atau seks sama jantina atau seks melalui dubur. Maka kita kata bahawa orang kata ini melakukan perkara diluar tabie. Baghal.

Seperti manusia memerlukan kepada makanan, pakaian dan tempat tinggal yang kesemua itu merupakan keperluan dan fitrah manusia, manusia juga memerlukan kepada agama bagi mengatur kehidupannya.

Allah membekalkan panduan menerusi al-Quran dan al-Hadis agar ia menjadi panduan kepada manusia. Segala peraturan yang terdapat di dalam Islam semuanya bersesuaian dengan fitrah manusia. Ada tak perkara yang Allah perintah itu bertentangan dengan fitrah manusia?

Dalam perkembangan berkaitan kes sebatan terhadap Kartika - adakah orang yang menolak hukuman sebat cara Islam boleh dianggap sama seperti seorang yang memperakui dan mengesahkan seks luar tabie. Baghal..





Wednesday, September 9, 2009

Khutbah Aidilfitri 1430

Khutbah Aidilfitri 1430.

Tajuk: Nafsu hasil didikan Ramadan dan isu arak.

Bersama ini disertakan. Sila klik. Kalau ada sapa sapa yang nak berikan nilai tambah, amat dialu-alukan.





Friday, September 4, 2009

Hukuman khalwat di Acheh

Hukuman khalwat ke atas lelaki dan wanita yang dilaksanakan di Kota Banda, Acheh.

3 sebatan untuk wanita dan 4 sebatan untuk lelaki.

Saksikan.

http://www.youtube.com/watch?v=RBf_XT5M54U





Wednesday, September 2, 2009

Berbuka puasa bersama Imam Masjidil Haram

Salah seorang daripada 12 orang imam daripada Masjidil Haram telah berkesempatan datang berbuka puasa dan menjadi Imam Tarawih di Surau al-Hijrah, Desa Pinggiran Putra pada tanggal 1 September 2009.

Imam Sheikh Mustafa al-Rahman

Pak Imam Sheikh Mustafa al-Rahman berbuka puasa dengan Jemaah Surau.






Masyarakat majmuk menggalakkan sekularisme ?

Saya memerhatikan pelbagai komentar dan pandangan daripada pelbagai latar belakang orang berkenaan isu konsert yang dibantah oleh Pemuda PAS antara yang menyokong dan yang membantah.

Ada yang tidak menyokong bantahan itu disebabkan
1. Bantahan itu tidak standard. Dalam satu keadaan konsert itu dibantah tetapi dalam keadaan yang lain dibiarkan sahaja. Contoh -
2. Bantahan itu menzahirkan wajah PAS yang sebenarnya iaitu pendokong agama yang ekstrimis dan fundamentalis
3. Bantahan itu kelihatan tidak berhikmah

Ada yang menyokong bantahan itu disebabkan
1. Bantahan itu betul berasaskan kepada ketidakwajaran melakukan maksiat
2. Bantahan itu betul berasaskan kepada ketidakwajaran melakukan maksiat dan menghormati bulan puasa.

Dalam menggarap isu ini, saya mengolah isu ini daripada dua perspektif. Pertama dari sudut pemikiran Islam dan yang kedua ialah dari sudut pendekatan dakwah.

Pertama dari sudut pemikiran, saya menggunakan tesis* “kepelbagaian kaum (termasuk kepelbagaian agama) membawa kepada sekularisme”. Sila lihat sebagai contoh tulisan Anis Malik Thaha yang berjudul “Kepelbagaian agama dari pandangan Islam”.

*Satu kenyataan yang telah dibuktikan dengan kajian.

Penjelasan:
Dalam kehidupan masyarakakat pelbagai kaum pada masa ini, masing-masing sukar untuk memaksakan apa yang mereka percaya agar orang lain percaya. Apatah lagi untuk paksa orang ikut apa yang kita percaya. Pada masa dahulu orang mungkin boleh menerima dan percaya bulat-bulat apa yang kita perkatakan disebabkan
a. Daya intelektual manusia itu yang kurang dibangunkan lantaran peluang mendapat pendidikan yang terhad
b. Pendedahan terhadap ilmu pengetahuan pula tidak begitu luas dan hanya tertumpu kepada kelompok masing-masing. Banyak tertumpu kepada pengalaman dan kepercayaan (mitos), bukan berasaskan kepada kajian.
c. Tiada lagi teknologi maklumat

Oleh sebab itu, apa yang kita sebut ramai yang boleh percaya bulat-bulat tanpa dibuat penilaian. Tambahan pula dalam masyarakat tradisional, unsur critical thinking ini kurang mendapat perhatian.

Dalam keadaan masyarakat majmuk, kita berhadapan dengan cabaran untuk meminta non-Muslim mempercayai dan bertindak berasaskan apa yang kita percaya melainkan sekiranya disokong dengan bukti atau pun rasional. Oleh sebab itu, kita orang Islam perlu untuk bijak menggunakan keupayaan hujah dan rasional bagi berhadapan dengan non Muslim kerana kita tahu bahawa apa yang terkandung dalam ajaran Islam tidak akan berlawanan dengan rasional. Malah, segala bukti, fakta dan rasional akan menyokong apa jua pandangan yang Islam kemukakan. Tinggal lagi, bagaimanakah caranya kita mengolah sesuatu isu bersama hujah-hujah yang bernas sehingga dapat menutup hujah pihak lawan.

Dalam kes konsert, atas asas apakah sebenarnya isu tersebut dibantah? Adakah ia isu hiburan? Adakah ia hiburan yang melampau? Adakah disebabkan menghormati bulan Ramadan? Dan berbagai lagi. Apabila kita dapat meletakkan asas kepada isu yang dibangkitkan itu, kita dapat berhujah atas isu tersebut daripada aspek nas dan rasional.

Isu arak dan isu pemindahan kuil – bagaimanakah kita menangani secara nas dan rasional dalam isu ini.

Sebagai seorang Islam, tentunya tidak mahu prinsip ajaran Islam kita cair begitu sahaja apabila kita berhadapan dengan fenomena masyarakat majmuk dan kepelbagaian agama. Orang Islam perlu meletakkan keyakinan bahawa agama Islam merupakan agama yang betul, manakala yang lain tidak betul. Tetapi Islam tidak paksa untuk orang bukan Islam memeluk Islam malah menjaga hak mereka, namun Islam akan terus berdakwah.

Kini kita mendapati, masyarakat majmuk dan hak asasi manusia seringkali menjadi hujah kepada pengabaian hukum Islam.


bersambung ..



Monday, August 24, 2009

Persidangan Meja Bulat - Penglibatan orang Islam dalam urusan kematian masyarakat Cina - Bangi.

Penglibatan orang Islam dalam urusan kematian masyarakat Cina

Pengenalan.
Hubungan antara Islam dan bukan Islam sedang dalam proses mencapai tahap kematangan di mana selepas 50 tahun merdeka, banyak isu-isu yang melibatkan hubungan ini daripada aspek perundangan Islam telah timbul sekarang. Mungkin sepanjang 50 tahun yang lalu, hubungan dan interaksi berlaku tetapi tidak mengambil kira pandangan hukum daripada perundangan Islam.

Isu lilin yang timbul berkaitan dengan Y.B. Mohd Nizar Jamaludin yang memegang lilin sempena sidang akhbar memprotes kematian orang Cina telah menimbulkan polemik antara beberapa ilmuan di Malaysia antara yang membolehkan dan yang mengharamkan, serta tidak kurang pula yang mengsyubhahkan.

Persidangan meja bulat ini yang lebih bersifat perbincangan bersama golongan pakar yang diadakan untuk membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam agar isu ini dapat dihadami dengan baik. Hasil daripada perbincangan di dalam persidangan ini akan dibawa kepada pihak yang berkenaan dan pihak yang berwajib untuk dihalusi dengan lebih teliti. Justeru, pihak penganjur ingin menjemput semua pihak agar dapat menyumbang kehadiran bagi menyerikan lagi persidangan ini. Selain itu, sekiranya tuan/puan mempunyai bahan kajian berkenaan dengan isu ini harap dapat dikongsi bersama agar perbincangan dapat dibuat dengan mengambil kira semua pandangan. Sekiranya perlu, bahan tersebut boleh diberikan dengan lebih awal kepada myfaisal@gmail.com

Panel Perbincangan

Panel 1:
Ann Wan Seng
Penganalisis Sosial
Tajuk: Pengurusan kematian masyarakat Cina antara adat dan Ibadat.

Panel 2:
Ustaz Zaharuddin Mohamad
Pegawai Shariah, International Shari'ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA)

Panel 3:
Akan ditentukan kemudian.
Jawatan: Ahli politik yang berpendidikan Islam
Tajuk: Pengurusan kematian masyarakat Cina : Perspektif politik Malaysia.


Tarikh : 29 Ogos 2009 (Sabtu)
Masa : 2.30 petang hingga 7.30 malam (berbuka puasa)
Penganjur : ILMUAN, PAPISMA, ILMAM, NAIM dan lain-lain.
Tempat : No 2, Jalan 4/5 j, belakang Surau Al-Khauthar, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Yuran : hanya RM 10 (kertas kerja dan makan)

Semua dijemput hadir

Jika ada yang berminat sila hubungi (SMS) Us Irwan 0133543594 atau irwanni@yahoo.com





Sunday, August 23, 2009

Tazkirah Ramadan – Ramadan yang barakah.

Seringkali Ramadan dikaitkan dengan Mubarak- Ramadan al-Mubarak. Ia membawa maksud keberkatan. Jika ditinjau makna berkat di dalam al-Quran, ia membawa erti bertambah dan berkembang. (الزيادة والنماء).

Berkatnya bulan Ramadan apabila kebajikan dilakukan secara berganda-ganda dan pahala pun digandakan oleh Allah.

Terdapat 3 perkara yang digandingkan dengan perkataan berkat iaitu:
- Allah itu berkat. Ayat: تَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ (al-A’raf:54)
- Quran itu berkat. وَهَذَا كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ مُبَارَكٌ فَاتَّبِعُوهُ وَاتَّقُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (al-An’am:155)
- Malam Lailatul qadar itu berkat. إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ (al-Dukhan: 3)

Ramadan turut dianggap sebagai bulan yang berkat kerana ia bulan difardukan puasa, diturunkan al-Quran dan terdapat malam Lailatul Qadar.

Bukan lailatul Kamdar.

Pra syarat penting untuk mendapat keberkatan ialah dengan menjaga yang halal dan tidak meninggalkan amalan yang fardu ain. Sekiranya tidak solat, bagaimana rezeki itu membawa keberkatan. Rezeki yang berkat (bertambah dan berkembang) maksudnya rezeki yang mendorong bertambah amal kebajikan.

Kereta yang berkat apabila ia membawa tuannya datang ke masjid dan surau.
Rumah yang berkat apabila ia menjadi tempat tinggal yang memberikan kerehatan agar lebih menguatkannya melakukan kebajikan.
Kerjaya yang berkat apabila ia tidak melalaikan tuannya dari mengikuti perintah Allah.
Isteri yang berkat apabila ia sering mendorong suami pergi masjid dan melakukan kebajikan.

Bagaimana memperoleh rezeki yang berkat:

1. Istighfar dan taubat kepada Allah SWT dari segala dosa.

Firman Allah SWT tentang Nabi Nuh SAW:
َفقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا {10} يُرْسِلِ السَّمَآءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا {11} وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا {12}
Maksudnya: “…Maka aku katakan kepada mereka: "Mohonlah ampun kepada Rabbmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun" nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (QS. Nuh: 10-12).

2. Berpagi-pagi dalam mencari rezki:

Sabda Nabi SAW:
اَللّهُمَّ بَارِكْ ِلأُمَّتِي فِى بُكُوْرِهَا
Maksudnya: "Ya Allah, berilah berkah untuk umatku di pagi harinya." (HR. Abu Daud dan At-Tirmidzi).

3. Bertaqwa kepada Allah SWT:
Firman Allah SWT:
وَمَن يَتَّقِ اللهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا * وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لاَيَحْتَسِبُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar. Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya.. (QS. Ath-Thalaaq: 2-3).

Firman Allah SWT:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى ءَامَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَآءِ وَاْلأَرْضِ وَلَكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ {96}
Maksudnya: Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.” (QS. Al-A'raaf: 96).

4. Menjauhi semua maksiat:
Firman Allah SWT:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ {41}
Maksudnya: Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). (QS. Ar-Ruum: 41).

5. Tawakkal kepada Allah SWT:

Pengertiannya: bergantungnya hati hanya kepada Allah SWT semata-mata.
Firman Allah SWT:
وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللهُ لِكُلِّ شَىْءٍ قَدْرًا {3}
Maksudnya: Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (QS. Ath-Thalaq: 3).

Dari 'Umar bin Khaththab r.a, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda:
لَوْ أَنَّكُمْ تَوَكَّلْتُمْ عَلَى اللهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقٌ الطَّيْرَ تَغْدُوْ خِمَاصًا وَتَعُوْدُ بِطَانًا.
Maksudnya: Jika kalian bertawakkal kepada Allah SWT dengan sebenarnya, niscaya Dia SWT akan memberi rizki kepada kalian sebagaimana Dia memberi rizki kepada burung, ia berangkat di pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali dalam kondisi kenyang.” (HR. At-Tirmidzi dan Ibnu Majah).





Tazkirah Ramadan - Taqwa dalam membuat pilihan

Hidup zaman moden, pelbagai pilihan. Sila klik.


Matangkah manusia membuat pilihan?. Sila klik.



Hikmah puasa mendidik nafsu



Antara tujuan penting daripada puasa ialah untuk mendidik nafsu (shahwat) dan membentuknya agar ia dapat dikawal dan diuruskan. Hasil daripada orang yang berjaya melentur nafsunya merupakan orang yang bertaqwa iaitu merupakan hikmah utama daripada puasa. Maka puasa orang yang tidak dapat membentuk nafsunya dengan baik tidak membawa apa-apa erti melainkan mendapat lapar dan dahaga sahaja. Realitinya, inilah bentuk puasa kebanyakan manusia kerana mereka tidak memahami atau sengaja tidak mahu memahami persoalan pembentukan nafsu hasil daripada puasa. Rasulullah SAW telah menegaskan sabdanya: Betapa ramai orang yang berpuasa, yang hanya memperoleh lapar dan dahaga sahaja. Riwayat ..



Justeru, mengenali nafsu itu amat penting kerana ia membawa kepada kefahaman yang jelas tentang peranannya dan pentingnya nafsu kepada manusia. Allah telah berfirman: Surah al-Shams. Ibn Manzur menyebutkan bahawa al-nafs mempunyai lima maksud iaitu nyawa, diri, roh, darah dan keinginan. Kelima-lima maksud ini membawa kepada suatu pengertian bahawa nafsu itu merupakan perkara yang menyentuh aspek dalaman manusia yang hanya diketahui oleh diri manusia itu sendiri. Dengan kata lain ia merujuk kepada aspek metafizik yang mendasari fizikal manusia itu sendiri. Sebagai contoh firman Allah: Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. (Ali Imran:185 & al-Anbiya’:35 & al-Ankabut:57).



Namun begitu, di dalam bahawa melayu perkataan nafsu itu membawa maksud keinginan. Melayu. Sebagaimana didefinisikan oleh Kamus Dewan (2003:916), al-nafs bermaksud “keinginan yang keras, kehendak hati yang kuat, dorongan hati”. Menurut penggunaan Bahasa Melayu, ia tertumpu kepada salah satu aspek yang terdapat di dalam diri manusia iaitu keinginan berbanding dengan penggunaan al-nafs di dalam al-Quran dan al-hadis yang lebih umum dan mencakupi seluruh aspek dalaman manusia itu sendiri. Penggunaannya pula lebih cenderung kepada persoalan negatif seperti kalau disebut “orang itu bernafsu” dan terdapat pula kata gandaan yang menguatkan lagi persoalan negatif yang terdapat dalam perkataan ini iaitu “nafsu serakah”.



Di dalam meneliti makna nafsu dari sudut istilah dan penggunaannya di dalam bahasa Melayu, nafsu yang difahami di dalam Bahasa Melayu dengan makna keinginan itu sebenarnya di dalam bahasa arab disebut sebagai shahwat. Ini disebutkan di dalam al-Quran, “di dalam syurga itu terdapat semua yang diinginkan oleh jiwa (manusia)” al-Zukhruf:71.



Tuntasnya, menuruti semua kehendak nafsu akan mengakibatkan padah yang buruk. Kalau diikutkan nafsu, buat apa masuk kerja seawal lapan pagi kerana lebih baik tidur, buat apa sibuk kerja kerana lebih baik sembang di kantin, buat apa nak pakai tudung kerana panas dan merimaskan, buat apa kahwin kerana lebih baik berzina, buat apa pergi surau kerana lebih baik tengok tv, buat apa dengar kuliah maghrib lebih baik santai di rumah. Ini kerana nafsu sentiasa muda dan kehendaknya sentiasa muda walaupun pada orang tua. Justeru, manusia sentiasa mengimpikan masa santai, harta yang bertimbun, rumah yang hebat, kereta yang mewah, isteri yang cantik dan mengancam. Tetapi apa yang pasti, tidak semuanya yang diimpikan oleh nafsu itu tercapai kerana persaingan antara manusia dan keterbatasan keupayaan manusia itu sendiri.



Walau bagaimanapun, nafsu penting untuk manusia keinginan itu mendorong manusia untuk membangunkan dan memakmurkan bumi ini. Dengan pelbagai keinginan yang tersemat di dalam hati manusia, mereka berusaha mendapatkannya. Dengan demikian itu, mereka akan mencari makanan yang sedap, rumah yang mewah, perempuan yang dapat memuaskan nafsunya, harta yang banyak. Ke semua itu, manusia tidak akan dapat memperolehinya dengan tanpa ada usaha yang jitu.




PUASA / TAQWA MENGAJAR MANUSIA MENGATAKAN TIDAK KEPADA SEBAHAGIAN BESAR KEINGINAN NAFSU SYAHWAT.



Berjayakah nafsu dilentur seegitu selepas daripada puasa?



Lepas puasa ni, rajin pergi program ke idak?







Bersambung ..






Friday, August 21, 2009

Melayu dan Budaya pak turut

Betulkah bangsa Melayu sangat sinonim dengan sikap pakturut hasil daripada sikap malas / malu bertanya dan takut/ malu menjawab? Sekiranya ada pelajar Melayu dan Indonesia, yang terkedepan untuk bertanya dan menjawab ialah pelajar Indonesia. Kalau dibandingkan dengan orang Arab, tak sempat pensyarah bertanya, mereka sudah bangun untuk menjawab.

Kita faham, bahawa orang yang sering bertanya di dalam kelas itu merupakan pelajar yang aktif dan pemikirannya memusatkan kepada aspek pelajarannya. Walau bagaimanapun, kalau semuanya nak tanya, tak jadi lah pula. Dengan kata lain, soalan yang dikemukakan itu berkualiti.

Kesan daripada sikap malas bertanya menjadikan masyarakat melayu sebagai masyarakat yang malas berfikir dan akhirnya mengasilkan budaya pak turut sehingga gagal menggarap suatu sikap yang kritikal dan sensitif terhadap persekitaran sekeliling. Apa yang berlaku hanya dilihat penuh kesepian tanpa memerhatikan sama betul atau salah. Mereka kurang berminat dengan aspek pemikiran yang abstrak dan lebih suka kepada reality dan bersifat material.

Dari satu sudut yang lain, saya berhipotesis bahawa sikap ini menjadikan Malaysia antara negara Islam yang kedepan dari sudut pembangunan. Tetapi dari sudut pemikiran, gagal.

Antara isi-isi pentingnya yang dalam kepala, tapi tak sempat nak ulas.

Orang melayu walaupun sengap di dalam kelas, tetapi cemerlang di dalam peperiksaan.
Orang melayu tidak berapa minat untuk berdebat dan bercanggah pendapat.
Orang melayu tidak berapa didedahkan untuk menjawab persoalan falsafah di sebalik hukum Islam.
Orang melayu suka bertaqlid di dalam akidah
Antara pak turut melayu dan rasional orang cina
Melayu traditional dan melayu liberal - traditonal dari sudut agama (kepercayaan), liberal dari sudut tindakan.


Harap dapat diberikan kelapangan masa untuk mengulas..





Saturday, August 15, 2009

Matangkah manusia membuat pilihan?

Tajuk entri pada kali seolah-olah mendown grade kan kemampuan manusia pada hari ini. Mereka sebenarnya sudah cukup dewasa dan matang untuk membuat pilihan. Mereka tidak lagi perlu dibuat tunjuk ajar lagi. Betul ke? Yer la. Ramai orang yang telah masuk universiti dan pendapatan mereka pula cukup banyak. Bagaimana pula boleh kita nafikan kebolehan dan kematangan mereka dalam membuat pilihan.

Tetapi..

Dalam membuat pilihan yang pelbagai, manusia akan terikut dengan rentak nafsu dan syahwatnya. Kita tahu bahawa nafsu manusia tidak pernah tua dan angan-angannya seringkali melebihi kemampuannya. Selalunya, nafsu manusia akan membuat pilihan kepada perkara yang boleh mendatangkan pulangan kepada dirinya sendiri daripada orang lain.

Kalau ada satu peluang kekayaan, jarang sekali kita jumpa orang menawarkannya untuk orang lain. Kalau boleh biar dia seorang sahaja yang kaya. Oleh sebab itu, ketika memilih, biar untung untuk kita, baru orang lain. Untuk anak kita, baru anak orang. Untuk keluarga kita, baru keluarga orang. Ini adalah nature kepada manusia.

Islam mengajar manusia agar manusia dapat mengawal nafsu ini dengan membawa dimensi agar sesuatu pilihan itu biarlah mengambil kira kepentingan orang lain. Kebelakangan ini, semakin terserlah sikap mementingkan diri sendiri daripada orang lain. Kalau nak lebihkan kepada orang lain, mesti ada pulangan atau keuntungan.

Contoh..
Dalam masyarakat moden, budaya gotong royong semakin susah nak jumpa.
Kat surau pula, nak angkat cawan pun tunggu ajk yang buat. Belum lagi nak sapu sampah atau nak basuh pinggan.
Budaya menegur semakin payah kerana masing-masing ada hak masing-masing. Nak pakai apa pun apa orang kisah. Sebab itu, semakin maju, semakin tak kisah pada orang kata.

Atas dasar inilah timbul suara yang melaungkan hak asasi manusia.

Islam ingin melentur diri manusia agar dapat mendidik nafsu manusia dengan suatu misi membolehkan manusia melebihkan orang lain daripada diri sendiri. Tidakkah solat itu penuh dengan pengajaran kemasyarakatan. begitu juga dengan ibadat yang lain.

Asas nilai yang terdapat pada orang barat ialah melebihkan diri sendiri daripada orang lain. Sebab itu, mereka tidak kisah nak pakai apa pun hatta nak tukar jantina dan kahwin sejenis.

SEMPENA BULAN PUASA INI, BAGAIMANA PUASA MENGAJAR MANUSIA MEMBENTUK SIKAP DARIPADA MELEBIHKAN DIRI SENDIRI KEPADA MELEBIHKAN ORANG LAIN?


Bersambung ..

bersambung ..

Friday, August 14, 2009

Hidup zaman moden – macam-macam pilihan


“Keme dulu, daripada batu 17 sampai ke Gordang, jalan bawa pelita kontong je memalam (pada waktu malam)". Kata Wahab, yang merupakan anak jati Kampung Stor iaitu kampung kelahiran saya. “Masa tu, mana nak ada selait (torchlight) macam sekarang ni” dia menambah lagi.

Gordang- nama sebuah kampung.
Pelita kontong - Tin yang ditebuk dan diletakkan pelita di dalamnnya.

Masih terbayang lagi pada waktu kanak-kanak dulu, saya ditawarkan dengan dinamo oleh seorang yang bernama Mat Nor dengan harga RM2 untuk menyalakan lampu basikal pada waktu malam kerana pada ketika itu mana ada lampu yang dipasang sepanjang jalan. Saya terbayang kehidupan orang kampung kira-kira 50 tahun dahulu pada waktu malam sebagaimana yang digambarkan kepada saya apabila berbual dengan orang kampung apabila pulang ke kampung. Apa yang boleh dibuat pada ketika itu pada waktu malam melainkan berlabun (berborak) kosong sahaja kerana suasana tidak membenarkan. Mungkin pukul 10 malam itu sudah berasa lewat sangat dah kerana modal sembang pun dah habis kalau tiap-tiap hari sembang.

Sekarang ni pukul 10 itu dianggap masih awal lagi kerana masih banyak lagi perkara yang boleh dilakukan. Masih sempat shoping kat Carefoure sebab tutup pukul 11.30 dan selepas itu masih lagi sempat lepak kat Secret Recipe, borak-borak kosong sampai kul 1 pagi. Main bowling pun sempat lagi kalau tak ke Secret Recipe.

Kini kehidupan manusia telah dihidangkan dengan pelbagai bentuk pilihan. Apatah lagi dalam suasana bershoping di pasaraya besar, hanya tinggal duit dan troli sahaja. Kalau ubat gigi tuh, daripada yang murah sampailah yang mahal. Daripada yang halal sehingga yang syubhat. Begitu juga dengan pakaian, daripada yang satu warna sehingga yang berwarna-warni. Macam-macam ada.

Masalahnya ialah bagaimana manusia ingin membuat pilihan daripada kepelbagaian pilihan itu. Yang halal biasanya mahal sikit, biasanya kureng sikit, susah sikit, dan sebagainya. Memang la susah. Nak sembahyang memangla susah. ...

Nak duduk rumah tengok tv ker, nak dengar kuliah. Citer best ni.

Sekiranya kita dapat membuat pilihan yang tepat mengikut citarasa Islam, adakah anak kita, bini kita, laki kita, keluarga kita sama macam kita? Masyarakat kita? Belum tentu. Dalam banyak keadaan mereka membuat pilihan yang salah dalam kehidupan mereka. Betul ke begitu?

Naluri manusia yang dibekalkan dengan keinginan sentiasa meruntun tuannya agar melakukan sesuatu yang diinginkan oleh manusia. Nafsu sentiasa muda, tidak pernah tua walaupun pemiliknya adalah orang tua.

bersambung ..



Friday, August 7, 2009

Puasa ajar tahan nafsu, bukan melempias nafsu

Antara tujuan penting daripada puasa ialah untuk mendidik nafsu (shahwat) dan membentuknya agar ia dapat dikawal dan diuruskan kerana menuruti semua kehendak nafsu akan membawa padah yang buruk. Kalau diikutkan nafsu, buat apa masuk kerja seawal lapan pagi kerana lebih baik tidur, buat apa sibuk kerja kerana lebih baik sembang di kantin, buat apa nak pakai tudung kerana panas dan merimaskan, buat apa kahwin kerana lebih baik berzina, buat apa pergi surau kerana lebih baik tengok tv, buat apa dengar kuliah maghrib lebih baik santai di rumah. Manusia sentiasa mengimpikan masa santai , harta yang bertimbun, rumah yang hebat, kereta yang mewah, isteri yang cantik dan mengancam. Nafsu sentiasa memikirkan keinginannya dan dirinya sendiri lantaran nafsu itu sentiasa muda dan tidak pernah tua walau pun orang sudah tua.

Namun, nafsu itu juga penting kerana langsung tidak mempunyai nafsu juga membawa padah kepada manusia kerana keinginan itu membolehkan manusia terus hidup di atas muka bumi ini dengan sempurna. Tanpa nafsu, manusia tidak kisah tentang makanannya, untuk membina rumah yang cantik, untuk memikirkan kerjayanya, malah mungkin tidak berkahwin kerana tidak mempunyai perasaan kepada perempuan. Dengan kata lain, tanpa nafsu dunia ini tidak akan dibangunkan dan generasi manusia tidak akan wujud kerana manusia tidak berkahwin lantaran tiada keinginan.

Apa yang penting ialah untuk melahirkan orang orang yang dapat mengawal nafsunya dan mempunyai disiplin diri. Puasa mengajar manusia menahan satu perkara yang sangat dekat dengan manusia iaitu MAKAN. Manusia makan di waktu pagi, rehat pukul 10, makan tengah hari, makan petang, makan malam dan minum malam. Manusia bekerja pun dikatakan untuk cari makan. Bagi mendidik nafsu manusia, Allah taala telah perintah manusia agar dapat menahan makan dan diubah waktu makan daripada siang kepada malam. Rupa-rupanya dengan demikian itu manusia boleh jadi baik. Bulan puasa tidak banyak maksiat, malah manusia jadi sihat. Bandingkan sahaja antara kehadiran manusia ke klinik / hospital pada bulan puasa dan selepas raya.

Justeru, kawallah keinginan itu daripada membeli semua makanan yang terliur apabila pergi ke pasar Ramadan. Kawallah mata daripada melihat perkara yang bukan-bukan. Kawallah diri daripada pakai pakaian yang membuka aurat. Dengan demikian itu, kita akan mendapat hikmah daripada puasa iaitu mendidik nafsu dan keinginan agar sesuai dengan kehendak Islam. Selamat berpuasa.



Friday, July 31, 2009

Selain dari H1N1 - ada pulak virus B1N1

Ini adalah virus yang mengakar dalam masyarakat kita.

There is special strain of virus that is more deadly than H1N1. It afflicts most married men causing restricted mobility, speech impairment, extreme stress, and uncontrolled fits of rage. There is no cure in sight and may stay with the victim forever.

Nak tahu lebih lanjut. Sila klik sini



Wednesday, July 29, 2009

Bagaimana Usrah Menguatkan Jamaah

Seringkali kita berusrah, tetapi kita akan mendapati jawapan yang berbeza antara ahli usrah mengenai konsep usrah yang dijalankan. Kemungkinan ini adalah sebab kenapa usrah yang dijalankan itu tidak mencapai matlamat yang telah digariskan oleh pimpinan parti.

Matlamat utama daripada usrah ialah membentuk kefahaman dan menyemai komitmen yang utuh kepada jamaah.

Soalnya bagaimana?

1. Usrah mengajar ahli agar mengenepikan kepentingan peribadi demi kepentingan jamaah.

Ahli terpaksa berkorban tenaga, masa dan wang ringgit kerana menghadiri usrah yang biasanya diadakan selepas waktu Isyak. Pada waktu ini, mata sudah mengantuk, badan sudah letih dan terasa ingin melempiaskan nafsu syahwat untuk berehat dan bersantai bersama program kegemaran di TV, terasa ingin menghabiskan borak-borak kosong bersama teman-teman, di samping para anak-anak dan isteri juga memerlukan perhatian dan belaian. Namun, digagahi juga untuk menghadiri usrah.

2. Usrah mengajar ahli agar memikirkan kepentingan orang lain berbanding kepentingan diri sendiri.

Manusia biasanya memikirkan dan mengutamakan kepentingan dirinya daripada orang lain. Usrah mengajar ahli agar memikirkan permasalahan umat Islam secara lebih serius dan lebih formal serta mengajak bagaimanakah caranya untuk menyelesaikan perkara itu. Ia bukan lagi untuk kepentingan diri sendiri, tetapi untuk kepentingan Islam. Oleh sebab itu, ahli tidak akan datang usrah sekiranya masalah peribadinya (diri sendiri, kewangan, rumah tangga) tidak selesai.

3. Usrah mengajar ahli agar bekerja demi Islam

Kehadiran dalam usrah bukan untuk dapat duit tetapi terpaksa menghabiskan duit. Dengan ini usrah mengajar bahawa penglibatan dalam gerakan Islam bukan kerana semangat atau kerana seseorang pimpinan tetapi kerana kefahaman Islam. Dengan ini dia sanggup hadir usrah dalam apa jua keadaan yang tidak mengharapkan sebarang pulangan dan keuntungan seperti mana solat, puasa dan haji tidak menjanjikan apa-apa pulangan keduniaan melainkan mengharapkan keredoan Allah semata-mata. Golongan ini akan berada di dalam perjuangan Islam sama ada susah atau pun senang, menang atau pun kalah, sakit atau pun sihat.

4. Usrah mengajar ahli kesatuan dalam gerak kerja

Ahli mendapat kefahaman bahawa kehadiran ke dalam usrah merupakan hasil ketaatan kepada kepimpinan kerana sebagai sebuah organisasi, ketaatan merupakan pra syarat penting untuk kejayaan. Di kala perjuangan Islam memerlukan perahan tenaga untuk menjalankan gerak kerja, maka ahli yang komited dengan usrah akan terus memberikan komitmen terbaik demi Islam. Kadang kala naqib di dalam usrah semacam membosankan dan kepimpinannya semacam dipertikaikan, tetapi ia terus memberikan ketaatan kepada naqib kerana menyedari semangat berorganisasi di samping terus memperbaiki keadaan yang sedia ada. Memang sukar untuk mencari naqib seperti Saidina Abu Bakar RA dan Saidina Umar RA.


Thursday, July 23, 2009

Proses mematangkan hubungan antara Muslim dan non Muslim

Merujuk kepada perkembangan hubungan antara Muslim dan non Muslim mutakhir ini, beberapa isu telah pun timbul biarpun interaksi antara kedua belah pihak ini terutamanya di Malaysia berlaku lebih dari satu abad.

Namun, beberapa hukum yang dianggap basic dalam hubungan antara Muslim dan non Muslim masih lagi kabur dan keliru tidak sekadar di kalangan umum tetapi di kalangan ahli khusus sehingga mencetuskan polemik yang masih lagi tidak berkesudahan. Polemik ini, pada pandangan penulis, tidak akan berkesudahan sekira usaha yang benar-benar mantap di kalangan penyelidik, ulama dan sebagainya tidak diusahakan dengan lebih tuntas.

Antara lain punca kepada masalah ini ialah sikap masyarakat melayu dalam mempunyai pandangan yang sangat prejudis dengan non Muslim yang disebabkan pelbagai faktor sehingga menghalang hubungan yang lebih harmoni antara mereka.

Ia membentuk suatu persepsi di kalangan masyarakat Islam melayu sehingga menjadi pegangan mereka seperti

1. Tidak boleh pergi ke gereja atau kuil
2. Tidak boleh menziarahi kematian bukan Islam
3. Tidak boleh memberikan ucap selamat hari raya
4. Tidak boleh pergi ke rumah terbuka
5. Tidak boleh makan makanan mereka

Sedangkan sebahagian daripada hukum tersebut perlu kepada perincian yang mendalam. Sebagai contoh:
1. Apakah keadaan yang membolehkan orang Islam pergi ke gereja atau kuil
2. Bagaimanakah cara sekiranya orang Islam pergi menziarahi kematian bukan Islam
3. Bilakah orang Islam boleh memberikan ucapan selamat
4. Apakah bentuk makanan yang orang Islam boleh makan daripada makanan bukan Islam

Sejak dua menjak ini, banyak persoalan berkaitan dengan perkara ini yang memerlukan kepada pemerhatian hukum yang mendalam. Peliknya, perkara ini timbul dan panas selepas lebih 50 tahun negara kita ini mencapai kemerdekaan. Apakah ini menggambarkan bahawa integrasi antara Muslim dan non Muslim kurang mengambil kira perspektif agama sehingga menyebabkan ramai yang tidak masuk Islam, atas sikap orang Islam sendiri.

Mungkin sedikit kajian perlu dilakukan, berapakah fatwa yang telah dikeluarkan oleh majlis fatwa kebangsaan atau negeri berkaitan dengan interaksi antara muslim dan non muslim. Sekiranya ada, apakah orientasi kepada fatwa itu?

Sebagai cadangan dan pandangan, perlu digagaskan “fiqh masyarakat majmuk” ala Malaysia kerana pengalaman Malaysia berbeza dengan negara lain biarpun mereka mempunyai masyarakat yang majmuk.

Sebagai contoh, bagaimanakah kita memahami hadis ini?

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ « لاَ تَبْدَءُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى بِالسَّلاَمِ وَإِذَا لَقِيتُمْ أَحَدَهُمْ فِى الطَّرِيقِ فَاضْطَرُّوهُمْ إِلَى أَضْيَقِهِ
Maksudnya “Jangan gate* nak mulakan ucapan salam kepada yahudi dan nasrani . Apabila bertemu dengan mereka di jalan, himpitlah mereka sampai ke tepi”. Riwayat al-Termizi.

*gate = gatal. (loghat perak).

Sila lihat luahan hati seorang suami melayu kepada cina Muslim. Sila klik sini.





Monday, July 20, 2009

Mengenali watak ahli masjid/surau (bahan usrah)

Salah satu daripada aspek penting di dalam dakwah ialah mengenali sasaran dakwah. Dengan demikian itu, kita dapat memahami mereka dan berbuat sesuatu untuk membuat pendekatan dakwah yang sesuai. Salah satu institusi yang dekat dengan dakwah ialah masjid/surau. Alangkah baiknya sekiranya kita dapat memahami orang yang berada di sekeliling kita di samping kita juga sibuk merancang program dan pendekatan yang sesuai dengan mereka.

Saya bukanlah ahli psikologi, tetapi berdasarkan kepada pemerhatian saya terhadap watak-watak ahli surau/masjid boleh disimpulkan kepada dua bahagian iaitu watak yang pasif dan watak yang aktif. Pembahagian ini ialah berdasarkan kepada orang selalu datang ke masjid/surau terdiri di kalangan mereka yang berjiwa taat, mahu menuruti perintah dan mudah diatur. Manakala orang yang jarang datang surau ialah mereka yang suka bebas dan tidak mahu dikongkong.

Pertama : Watak yang berkecenderungan menjadi pengikut yang mahu mendengar kata dan perwatakan lembut.

Ketika di sekolah atau di zaman remaja, mereka lebih suka kepada aktiviti yang tidak lasak dan lebih suka menjadi pengikut serta tidak banyak kerenah. Mereka ini merupakan pelajar yang bersidiplin, kadang kala mereka ini di gelar dengan mat skima.

Mereka kelihatan lebih dependant ? dan kurang kreatif dalam berfikir ? Mungkin memerlukan kepada kajian yang mendalam dan lebih cermat.

Kesan
1. Kurang minat untuk bergaul dengan masyarakat
2. Tidak kreatif berfikir untuk dakwah
3. Berminat hanya menjadi pendengar yang taat tetapi tidak berfikir untuk memimpin
4. Kelompok ini ramai di masjid dan surau


Kedua: Watak yang proaktif dan bebas

Mereka kelihatan lebih independent dan mereka tidak suka menjadi pengikut dan tidak mahu di kongkong. Mereka rasa lebih berupaya dan mampu membuat keputusan sendiri yang lebih matang dan rasional.

Mereka lebih suka kepada aktiviti dan sukan yang lasak dan mencabar seperti bola sepak, ragbi, takraw dan sebagainya.

Mempunyai skill PR yang baik – mereka suka berborak dan berbual di kedai kopi, padang bola dll. Mungkin memerlukan kepada kajian yang mendalam dan lebih cermat.

Kesan
1. Mereka suka bergaul dan bersosial dengan rakan-rakan dan mempunyai skill PR yang baik.
2. Mereka jarang datang surau, tetapi sekiranya watak ini dapat dibentuk mereka akan jadi ahli masjid/surau yang aktif dan proaktif
3. Mereka boleh memimpin


Pembahagian watak ini berdasarkan kepada observation awal penulis terhadap gelagat manusia yang belum lagi disokong oleh mana-mana kajian yang comprehensive. Ia boleh dikemaskinikan lagi dengan sokongan mana-mana teori psikologi yang lain untuk lebih memahami sasaran dakwah di kalangan masyarakat Islam. Justeru, cadangan dan kritikan yang membina amat diperlukan.





Friday, July 17, 2009

Abu Jahal masa kini yang meragui kesahihan Isra' Mikraj

Sekarang ini ialah musim penganjuran ceramah isra’ mikraj. Hampir semua masjid dan surau di seluruh Malaysia menganjurkan sambutan memperingati peristiwa ini yang berlaku pada bulan Rejab menurut kebanyakan pandangan ulama.

Salah satu pengajaran utama yang boleh diambil daripada peristiwa ini ialah menerima perintah daripada agama biarpun ia nampak bertentangan dengan akal manusia.

Peristiwa ini mencabar kewarasan rasional manusia kerana mana mungkin perjalanan antara Mekah dan Palestin yang biasanya pada ketika itu mengambil masa berbulan-bulan dapat dilakukan oleh Rasulullah dalam masa satu malam sahaja. Tidakkah dakwaan ini merupakan membawa suatu dakwaan yang gila, tidak berasas dan tidak dapat diterima akal manusia yang waras. Sekiranya ada dakwaan jiran kita yang mengatakan dia pergi ke London malam tadi dan balik malam tadi juga, pastinya kita akan mengatakan dia sudah mereng, tiga suku dan sebagainya.

Terdapat ramai yang kurang yakin bahawa

1. Bila kita memberi derma, kita akan dapat balik apa yang kita berikan itu. Kalau tidak didunia, di akhirat kita akan dapat.

Lojiknya – Kalau kita bagi derma, duit kita akan habis. Sebab itu, ramai yang teragak-agak untuk memberikan derma, sedekah, wakaf dan sebagainya. Takut duit habis.

Sedangkan Islam kata, lagi derma lagi akan dapat. Hadis menyebut: Malaikat akan mendoakan “berilah kepada orang yang menderma itu ganti, dan kepada orang yang kedekut itu musnah”.

2. Puasa membawa kepada kesihatan.

Lojiknya – kalau puasa, badan akan letih dan tidak berdaya. Sebab itu, ramai yang merungut menjelang bulan puasa dan ramai juga yang malas untuk berpuasa sunat, kalau dah tahu badan ada banyak penyakit.

Tapi Rasulullah kata “Puasalah, nescaya kamu akan sihat”.

Ini dalam perkara yang telah dijelaskan hikmahnya secara jelas di dalam hadis. Itu pun manusia malas dan liat nak melaksanakannya. Terdapat banyak lagi suruhan lain yang Allah tidak mendedahkan hikmahnya kepada manusia, tetapi manusia masih kajian yang dilakukan oleh manusia membuktikan bahawa ia bermanafaat kepada manusia. Contohnya, kajian yang dilakukan oleh Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya. Kajian ini mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh. Salah seorang daripada pengkajinya ialah bukan Islam iaitu Siew Chok.

Dengan kata lain, perintah Allah itu membawa kebaikan kepada manusia. Janganlah banyak songeh.

1. Islam kata, judi itu haram. Akal kata, kalau suka sama suka apa salahnya.

2. Islam kata, arak itu haram. Akal kata, kalau ia membawa kepada kesihatan iaitu memanaskan badan, apa salahnya.

3. Islam kata, tutuplah aurat. Akal kata, kalau tutup aurat pun, hati tidak baik pun tak guna juga.

4. Islam kata, laksakan hukum Islam seperti hudud. Akal kata, kalau hukum denda dan penjara kepada pencuri dapat memberikan pengajaran kepada manusia apa salahnya.

Kalaulah manusia yang banyak songeh ini wujud pada zaman Rasulullah, mungkinkah mereka berada di posisi Abu Jahal dan Abu Lahab yang menolak kebenaran peristiwa isra’ dan mikraj. Bukan di posisi Abu Bakar yang memperakui kebenaran baginda Rasulullah.





Monday, July 13, 2009

Dr. Marwah dibunuh sebab pakai tudung

Ikuti kisahnya di sini. Sila klik.

Seorang wanita ditikam 18 kali di kamar mahkamah di Jerman kerana bertudung!

Marwa el-Sherbani, seorang ibu yang mengandung anak kedua, ibu seorang anak kecil tiga tahun ditikam di hadapan suaminya. Tidak cukup dengan itu, suaminya yang bergelut untuk menyelamatkan muslimah itu, turut ditikam tiga kali dan kemudiannya ditembak oleh Polis!

Kisah ini bermula Ogos 2008, tatkala Marwa mengfailkan dakwaan terhadap pembunuhnya, Alex, 28, seorang penganggur Russian-German apabila lelaki tersebut menggelarnya "terrorist" kerana beliau bertudung.

Malangnya, Rabu lepas, Alex menikam wanita tidak bersalah itu 18 kali di kamar Mahkamah selepas Mahkamah mengisytiharkan mujahidah tersebut menang kes terhadap lelaki tersebut dan lelaki dikehendaki membayar 2,800 Euros sebagai denda atas penganiyaan lelaki tersebut.

Marwa, seorang warganegara Mesir 32 tahun, merupakan isteri kepada seorang ahli akademik Mesir yang ditaja ke Jerman. Suaminya, yang juga tercedera ketika kejadian dan kini berada dalam keadaan kritikal di hospital, di antara hidup atau mati.

Semoga Allah merahmati rohnya, dia seorang syahidah dek perkauman dan kebencian

Sila sign petition di sini.





Thursday, July 9, 2009

Bersembang hingga azan maghrib

Memenuhi tanggungjawab berjiran memang suatu amalan baik dan dituntut oleh agama. Namun, fenomena masyarakat bandar yang berkerjaya menyebabkan ruang masa bersosial mereka terbatas. Sedikit waktu yang terluang selepas waktu kerja itu digunakan sebagai saat terbaik untuk bertanya khabar dengan jiran tetangga. Tak kurang pula yang melakukan bisnes sambilan bagi menjana pendapatan tambahan. Dalam keghairahan bersosial di waktu mentari melabuhkan tirainya, kadangkala kita menjadi alpa.

1. Kedapatan sebahagian IBU-IBU asyik bersembang sambil melayan anak-anak bermain hingga menjelang azan maghrib sedangkan waktu itu peranan ibu diperlukan bagi memastikan anak-anak masuk ke dalam rumah untuk mandi, solat serta membantu keperluan suami yang ingin ke surau atau solat berjemaah dengan keluarga. Lebih malang lagi, sebahagiannya masih rancak dan seronok bertukar topik biarpun azan sedang berkumandang.

2. Kedapatan sebahagian BAPA-BAPA duduk memanaskan bangku santai di hadapan rumah masing-masing, di kedai-kedai kopi atau masih asyik di padang bola sehingga menjelang azan maghrib. Si bapa langsung tidak berasa janggal dan terlupa akan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga yang sepatutnya telah berada bersama-sama anak-anak dan isteri di dalam rumah dan bersedia untuk bersolat. Dalam situasi lain pula, kedapatan juga si bapa duduk bersekali menyandar di kerusi rehat menumpang tayangan siri kartun atau drama TV kegemaran anak isteri sehingga tidak berhajat ke surau atau melambatkan solatnya.

3. Kedapatan sebahagian daripada ANAK-ANAK yang asyik bermain bola, badminton, futsal dan lain-lainnya yang menjadikan azan sebagai wisel penamat. Kalau pun permainan tamat awal, borak-borak dulu dengan alasan untuk sejukkan badan. Ada pula yang meronda-ronda kawasan dengan motor atau basikal. Tak habis pusing-pusing kalau masih nampak cahaya siang.

Rasulullah telah mengingatkan bahawa pada waktu maghrib SYAITAN berkeliaran dan pada waktu itu Rasulullah minta agar anak-anak dipastikan masuk rumah dan ditutup pintu rumah sehingga selepas waktu maghrib.

"Apabila telah datang senja hari, (menjelang malam),maka jagalah anak-anakmu, sebab saat itu syaitan sedang berkeliaran. Dan ketika malam sudah berjalan beberapa waktu, maka asingkan mereka (di dalam rumah) dan tutuplah pintu-pintu runahmu, lalu sebutlah nama Allah. Sebab, syaitan tidak pernah membuka pintu yang tertutup. Tutupilah semua bejanamu, dan sebutlah nama Allah S. W.T, dan kalau kamu hendak mengeluarkan sesuatu darinya, maka padamkanlah lampumu."

Utamakan keluarga anda dan selamatkanlah mereka daripada api neraka.




Monday, July 6, 2009

Bukan "takut bini", tapi bini yang tak takut kat laki

Fenomena orang perempuan zaman sekarang.

Maklumlah dah bekerjaya, suaminya kurang dihormati.

Maklumlah dah bekerjaya, banyak keputusan suami dalam rumahtangga telah dipengaruhi dengan desakannya.

Maklumlah dah bekerjaya, isteri mengatur suami, bukan suami mengatur isteri.

Maklumlah dah bekerjaya, nak disuruh tutup aurat pun susah.

Maklumlah dah bekerjaya, nak disuruh pergi mengaji di surau pun banyak songeh.

Maklumlah dah bekerjaya, nak ajak pergi program lagi la susah.

Maklumlah dah bekerjaya, nak didik susah. Bila ditegur menjawab pula, ditegur lagi dilawannya pula. Malas nak bergaduh, biarlah.

Sebilangan lelaki muak mendengar leteran dan melihat wajah bini masam bak cuka lalu mereka akur tindakan bini biarpun bukan semua betul. Itulah gamaknya, antara sebab yang si suami rajin datang surau dan bagi komitmen pada jemaah dll. Tetapi isteri tidak ikut serta.

Balik rumah, bukan suami yang berceramah, tetapi isteri pula yang bising. Tambahan pula kalau balik lambat.

Mana idaknya, Kalau lambat jer balik musti handphone berbunyi.

Kata orang tua-tua:
Isteri orang dulu menunggu kepulangan suami dengan pakaian yang bersih serta mengghairahkan; disediakan tuala, air sejuk dan sebatang rotan. Isteri bersiap menyinsingkan kain supaya mudah jika suami ingin menyampaikan hajatnya. Tuala untuk mengesat peluhnya dan air untuk menghilangkan dahaganya makala rotan untuk dia menghukum isteri jika membuat sebarang kesalahan.

Adakah ini tanda kegagalan suami mendidik isteri? Atau pun mungkin disebabkan kemodenan yang telah merubah sistem kekeluargaan?





Thursday, June 25, 2009

Orang Islam kuat bercerai berbanding bukan Islam?

Statistik perceraian orang Islam dikeluarkan oleh JAKIM manakala bukan Islam dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.



Sekiranya betul, ia memang memalukan. Orang Islam lebih banyak bercerai daripada orang bukan Islam. Apa masalah sebenarnya kepada orang Islam pada masa ini. Walau bagaimanapun, kajian yang agak rapi perlu dilakukan untuk membuktikan sejauh manakah kebenaran data yang dikeluarkan ini.

Sekiranya betul, mungkinkah kita perlu tiru budaya perkahwinan orang bukan Islam kerana terbukti orang Islam ini gagal menunjukkan contoh yang terbaik di alam perkahwinan.

Saya membawa beberapa statistic berkenaan perceraian di dalam beberapa entri di dalam blog ini disebabkan pengunjung selalu datang ziarah blog ini selepas mencari di dalam search engine berkenaan perceraian. Saya mengandaikan kebanyakan pengunjung itu di kalangan pelajar yang ingin membuat assignment atau pun mungkin juga di kalangan mereka yang mengalami masalah rumah tangga. Sekiranya, di kalangan pelajar atau mereka yang berminat untuk mengkaji masalah social, isu ini dilihat masalah yang berat di dalam masyarakat kita yang patut ditekuni dengan baik.

Budaya bercouple membawa kepada perceraian?

Berdasarkan kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) 2004, tiada persefahaman mendapat peratusan tertinggi. Kenapa?



Sedangkan sejak mutakhir ini kita mendapati fenomena berdua-duan antara lelaki dan perempuan atau budaya “couple” telah menjadi fenomena biasa di dalam masyarakat, kononnya mencari pasangan yang sepadan dan serasi. Sepatutnya, lagi banyak usaha mencari pasangan yang sepadan melalui cara berdua-duaan, maka akan kuranglah masalah rumah tangga. Tetapi rupa-rupanya tidak. Lagi fenomena ini menjadi-jadi dalam masyarakat kita, sehingga menjadi “alah bisa tegal biasa”, lagi peratusan perceraian semakin tinggi. Budaya yang tidak membina ini, tidak membawa kepada keserasian bahkan membawa kepada melempiaskan nafsu manusia untuk mendekati kaum bukan sejenis dengannya, yang akan meruntuhkan lagi akhlak umat Islam.

Rasulullah pernah bersabda:
لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ

Maksudnya: Ketika lelaki dan perempuan berdua-duan, maka orang yang ketiga (yang menggoda mereka untuk melakukan maksiat) ialah syaitan. (Riwayat al-Termizi)






Wednesday, June 24, 2009

Kenapa beriman dengan Malaikat

Mereka adalah pembawa wahyu daripada Allah, kalau tidak beriman dengan mereka maka tentulah kandungan yang dibawa kepada Rasululah itu perlu ditolak.

Mereka merupakan makhluk Allah yang taat pada perintah Allah. Ini merupakan tanda kekuasaan Allah taala dalam mentadbir alam semesta ini. Ramainya orang suruhan menandakan kehebatan Allah.

Malaikat ditugaskan untuk menjaga manusia dikenali sebagai malaikat hafazah. Sedarkah kita bahawa kita di kelilingi malaikat. Buktinya, kalau orang mati di kerumuni semut dan lain-lain serangga. Adakah semut masuk telinga kita bila kita tidur?

Taraf malaikat merupakan tahap tertinggi kepada kerohanian lantaran malaikat merupakan makhluk yang tidak langsung menyanggah perintah Allah, dan mereka merupakan makhluk yang setia pada perintah Allah. Manusia berusaha mencapai taraf ini lantaran manusia telah dibekalkan dengan sifat kehaiwanan yang menghalang manusia mencapai taraf malaikat. Namun dengan usaha yang gigih, manusia mampu melaksakannya.





Friday, June 19, 2009

Beberapa perbahasan mengenai “pemikiran Islam kontemporari”

a. Gabungan antara parti melayu dan bukan melayu tidak sekadar gabungan parti politik, tetapi lebih jauh dari itu ialah gabungan antara pemikiran melayu dan bukan melayu. Pemikiran orang melayu secara amnya adalah traditional manakala bukan Islam adalah secular, liberal dan democracy. – Sila lihat sejarah kebangkitan barat dan asas pemikiran mereka.

b. Gabungan pelbagai kaum atau lebih dikenali dengan masyarakat majmuk cenderung kepada sekularisme kerana dominasi pemikiran barat yang mengatakan bahawa agama hanyalah hak individu dan tidak boleh menjadi paksaan, serta autoriti agama hanyalah dalam bentuk yang ritual sahaja. – Sila lihat buku karangan (asalnya adalah tesis phd) Anis Malik Taha, Ta’addudiyyah diniyyah; Ru’yat islamiyyah.

c. Cabaran terhebat pada masa ini ialah “modernity” iaitu falsafah yang mengagungkan akal dan rasional yang menuntut Ulama Islam agar tidak beretorik mengatakan bahawa “al-Quran merupakan panduan yang lengkap”, tetapi cuba memikirkan bagaimanakah melaksanakan Islam di dalam kehidupan pada masa ini.

d. Orientasi pendidikan yang berbeza antara yang mendalami ilmu wahyu (yang dikenali dengan pengajian Islam atau pengajian agama) dengan ilmu kemanusiaan (yang lebih dikenali dengan bidang profesional). Orientasi pengajian ilmu wahyu (walaupun tidak sepatutnya begitu) yang banyak menumpukan aspek hafalan berbeza dengan orientasi pengajian ilmu kemanusiaan yang berorientasikan rasional. Pelajar yang menyertai bidang ilmu wahyu banyak yang terdiri di kalangan mereka yang sudah gagal memilih di dalam bidang professional. Fenomena ini memberikan kesan kepada pergolakan di dalam jemaah Islam sekiranya tidak diurus dengan baik.






Thursday, June 18, 2009

UG – thinking outside the box atau perlu dimasukkan dalam box?

Saya terasa ingin mengulas isu ini kerana ramai yang mengajukan persoalan tentang perkara ini dan memohon pandangan saya. Apa yang difahami dengan kerajaan perpaduan atau unity government (UG) ini ialah

1. PAS, UMNO, PKR, DAP, MCA dll bersama membentuk sebuah kerajaan, tetapi masing-masing parti ada identiti masing-masing. Bukan PAS bergabung dengan UMNO, tetapi melibatkan semua parti.

2. Dalam pembentukan kerajaan ini, mestilah mengubah beberapa perkara seperti badan kehakiman, SPR, dll yang bagi Pakatan Rakyat tidak berlaku adil. Dengan ini, jentera kerajaan tidak semudahnya digunakan oleh UMNO dan BN. Umum mengetahui bahawa kekuatan UMNO terletak pada wang dan jentera kerajaan terutamanya media perdana. Ini merupakan strategi PAS (pada bacaan saya) usaha melemahkan UMNO, manakala PAS dan PR tampil membetulkan keadaan ini. Menerusi UG, UMNO tidak lagi mampu untuk mengekalkan kekuatannya lantaran talian hayatnya, kalau tidak diputuskan, tetapi disempitkan. Ruang ini juga dapat memberi ruang kepada PAS untuk ke depan menjelaskan dasar Islam dengan lebih berkesan terutamanya di dalam ruang yang tidak pernah dimasuki oleh PAS.

3. UG memberi ruang kepada semua pihak untuk membangkang apa yang difikirkan tidak baik termasuk idea dari partinya sendiri. Selama ini, orientasi berasaskan kepada sentiment parti sangat mengukuh sehinga tidak boleh mengemukakan pandangan yang bertentangan dengan pandangan parti.

4. Dengan system kehakiman yang telah diperbetulkan menerusi UG, pihak yang bersalah dapat diadili sebaiknya, bukan dilindungi. Orang yang bermasalah dalam kerajaan seperti penyalah guna kuasa dapat diseret kemahkamah. (mahkamah yang tiada tangan ghaib seperti syarat awal pembentkan kerajaan ini)

5. Memecah tradisi kepimpinan negara yang berasaskan kerajaan dan pembangkang. Dengan cara ini rakyat dapat memikirkan apa yang terbaik, bukan mengikut parti.

Akhirnya, sebagai benda baru dalam politik Malaysia tentunya UG akan menimbulkan isu dan polemic.